29: Hari Perkabungan

1.8K 170 107
                                    

"Bunyi apa tu?" Soal Kirana sebaik saja mendengar bunyi yang besar dan membingitkan gegendang telinganya.

"Itu bunyi gong. Apa yang terjadi?" Soal Puteh kembali.

"Sudah lama kita tidak mendengar bunyi itu semenjak mangkatnya Putera Asmara tahun lepas," celah Awang.

Ketiga- tiga mereka berpandangan antara satu sama lain. Awang dan Puteh bagaikan sudah mengerti apa yang sedang terjadi. Kirana memandang mereka berdua bersilih- ganti, masih menantikan jawapan.

"Bagitahulah aku. Apa yang terjadi?" Soal Kirana dengan nada yang tidak puas hati.

"Ada kerabat diraja yang telah mangkat," jawap Awang dengan wajah yang kosong.

"Siapa?" Tanya Kirana dengan berdebar- debar.

Awang dan Puteh mengangkat bahu. Mereka juga ingin tahu. Bunyi gong sudahpun berhenti. Namun perasaan ingin tahu tidak berhenti. Kelihatan beberapa dayang- dayang berlari anak menuju ke setiap bilik- bilik di dalam istana tersebut. Kemudian, tibalah seorang dayang menghampiri Kirana dan rakan kerjanya dengan wajah yang sugul.

"Puteri Menchanai sudah mangkat," ucap dayang itu dengan berat.

Mendengarkan berita itu, kesemua mereka menunjukkan tiada reaksi kerana seakan tidak percaya dengan apa yang didengar.

"Benarkah katamu itu, Neng? Adakah baginda sakit?" Soal Puteh inginkan kepastian.

Dayang yang dipanggil dengan nama Neng itu mengangguk, sambil mengesat air matanya yang membasahi pipinya.

"Puteri Menchanai?" Tanya Kirana dengan suara yang sayu.

Dia terduduk di bangku berdekatan. Matanya terpejam rapat. Sukar untuk menerima hakikat wanita sebaik baginda puteri pergi meninggalkan mereka semua di usia yang muda.

"Semua diarahkan untuk memberi penghormatan terakhir di istana kediaman Putera Rizal," ucap Neng.

Kirana tersentak. Baru dia teringat Putera Rizal. Hati Kirana dipukul lagi dengan kepiluan. Bagaimana baginda putera menghadapi pemergian isteri tercinta baginda? Kirana seakan dapat merasakan sakit yang dialami apabila kehilangan seorang insan yang disayangi.

"Kalau begitu, mari kita pergi sekarang," ajak Awang tanpa berlengah.

------

Tiba di istana kediaman Putera Rizal, ramai sudah para kerabat diraja yang mengerumuni ruang utama. Kedengaran dari luar suara orang menangis dan meraung.

Hati Kirana sebak dan airmata mulai mengalir laju. Seakan dapat merasakan kesedihan mereka, Kirana turut menangis.

Semakin mereka menghampiri pintu masuk, semakin kuat kedengaran suara tangisan dan semakin deras airmata yang mengalir. Ruangan istana sudah tidak ada untuk sesiapa menghampiri jenazah kerana keutamaan diberi kepada kerabat diraja.

"Teh, aku ingin melihat wajah baginda puteri buat terakhir kali," ucap Kirana dengan tersedu- sedu.

"Kiran, aku rasa kita tidak ada peluang. Tengoklah betapa penuhnya ruangan itu. Mari kita pulang saja, ya? Cukuplah kita ada di sini dan merasakan suasana yang hiba ini," balas Puteh sambil menepuk- nepuk bahu Kirana.

"Tak, aku nak tengok juga," ujar Kirana berkeras.

"Kalau macam tu, kau pergilah tempuh orang ramai di situ. Aku tunggu di sini, ya?" Cadang Puteh.

Kirana sekadar mengangguk dan menghayunkan langkahnya ke depan. Cuma dua langkah yang mampu dia perolehi memandangkan jumlah lelaki lebih banyak di sana berbanding perempuan. Namun, Kirana tetap menggagahkan niatnya dan mendorong perlahan- lahan tubuh- tubuh yang menghalang jalannya.

Lagenda Cinta Seribu Tahun (Bhg 1)Where stories live. Discover now