BAB 28

878 75 3
                                    

LAJU kaki Syuhada melangkah masuk ke bilik anaknya. Sejak dia dan Aizat pulang, si kecil itu banyak berdiam diri. Sewaktu makan juga, Syahadat tidak berceloteh seperti kebiasaan. Mulut benar-benar dizip. Sekarang baru dia ada waktu untuk  menjenguk Syahadat. Sejak pulang, macam-macam yang mak Aizat hendak bercerita. Nak beredar, Puan Halimah lebih banyak bertanya pendapatnya. Memang tiada chance untuk dia lari.

“Syah?”

Syuhada mengambil tempat di katil anaknya. Bilik bertemakan warna biru benar-benar menyejukkan mata. Tetapi tatkala ini, hatinya masih belum tenteram. Jawapan harus dicari untuk persoalan anaknya berdiam diri.

Selimut yang menyelubungi si anak ditarik ke bawah. Bantal yang menutup wajah Syahadat juga ditarik tetapi sekejap saja bantal itu ditarik semula oleh Syahadat.

“Kenapa tutup muka dengan bantal? Tak bernafas nanti,” pujuk Syuhada lembut. Sudahlah dia rindu dengan anaknya, Syahadat pula nak merajuk. Sebab apa, dia tidak pasti. Apa yang terjadi sepanjang dia tiada di sini?

Soalan Syuhada tidak dialas. Syahadat masih menikus. Syuhada tarik kakinya naik dan menyimpul supaya bersila. Didekatkan tubuh dengan anaknya. Dengan kudrat yang ada, Syuhada cuba mengangkat anaknya dan diribakan kepala. Kus semangat rasanya!

“Anak ibu kenapa monyok aje? Tak suka ke ibu balik?” Ubun-ubun milik anak diusap lembut. Sekalipun dia bingung dengan perasaan terhadap Aizat, dia langsung tidak lupa dengan permata miliknya. Syahadat adalah kurnian terindahnya, mustahil dia akan abaikan.

Khali.

“Syahadat...” Syuhada lepaskan keluhan. Tak pernah lagi Syahadat buat perangai sebegini.

“Syah tak rindu ibu ke? Ibu ingat bila ibu balik boleh tengok senyuman Syah tapi ibu balik aje, Syah merajuk. Kenapa ni, sayang? Ibu ada buat salah ke?” nada lembut masih dikekalkan.

Kepala Syahadat menggeleng.

“Kalau ibu tak buat salah, kenapa Syah tak nak pandang ibu? Kenapa nak tutup muka?” soal Syuhada lagi. Laju si anak kecil itu menolak bantal di wajah. Saat itu juga Syahadat melingkari tangan pendeknya ke pinggang Syuhada dan didakap ibunya erat.

“Rindu...”

Syuhada tersenyum mendengar suara anaknya. Sejak dia pulang, ini kali pertama dia mendengar suara Syahadat. Betapa rindunya dia dengan anak ini...

“Ibu pun rindu sangat dekat Syah.” Syuhada bongkokkan tubuh lalu mengucup pelipis Syahadat. Hidung sempat mencuit bau wangi anaknya.

“Syah buat apa masa ibu dengan papa tak ada?”

Syahadat diam. Soalan tidak dijawab. Wajahnya kekal monyok.

“Sayang...”

Syahadat menggeleng sekali lagi. Syuhada pula yang naik hairan. “Sekolah macam mana? Okey ke ibu tak ada?”

Syahadat mengangguk.

Syuhada lepaskan nafas perlahan. Nampaknya Syahadat tidak mahu berbual dengannya walaupun sudah pelbagai jenis soalan ditanya. Mungkin anaknya penat. Yalah, dia bercuti manakala anaknya di sini bersekolah. Esok hari khamis, masih ada dua hari untuk menanti cuti hujung minggu. Pasti Syahadat berasa penat.

“Syah tidurlah. Esok nak sekolah.”

“Ibu hantarkan?” Anak kecil itu mengangkat kepala. Syuhada tersenyum seraya mengangguk.

Syahadat kemudian baringkan tubuh ke atas katil. Bantal tidak lagi ditekup ke wajah sebaliknya dipeluk erat. Syuhada mengusap kepala anak dan dihadiahkan ciuman pada dahi.

Dedicated To Wife ✓Where stories live. Discover now