BAB 16

1.8K 129 6
                                    

  "AIZAT, mak nak cakap sikit." Panggil Puan Halimah setelah Syuhada telahpun masuk ke bilik bersama anaknya untuk tidur. Aizat menutup televisyen dan tubuh dihalakan menghadap ibunya.

  "Cakap apa mak?"

  "Mak bukan apa. Mak kalau boleh tak galakkan Aizat kahwin dengan Syu." Katanya terus terang. Dari tadi dia menahan diri untuk bersuara. Apabila Syuhada tiada, baru dia dapat keberanian untuk menyuarakan pendapat.

  "Kenapa pula ni mak? Dulu mak juga yang suruh Aizat nikah. Aizat dah jumpa orangnya mak."

  "Mak tahu. Aizat, mak boleh nampak Syu masih sayangkan arwah suami dia." Jelasnya. Itulah hakikatnya. Dari sejak mereka sampai sehingga kini dia tahu gadis itu masih setia. Lihat saja bila Aizat memperkenalkan diri Syuhada sebagai bakal isterinya, gadis itu sendiri terkejut. Malah, gadis itu lebih banyak mendiamkan diri.

  "Mak, dia sendiri setuju nak nikah dengan orang." Aizat dapat lihat dari riak ibunya, wanita itu gusar.

  "Mak tak yakin." Tegasnya. Wajah anak terunanya ditelek.

  "Memang senang cakap Aizat tapi hati dia tak sama macam apa dia cakap. Lagipun mak risau. Kaulah satu-satunya anak lelaki mak. Bila orang cemuh mak, kau masih lagi sayangkan mak. Aizat, mak tak nak rumah tangga kamu porak peranda. Mak tak nak kalau Syu tak mampu sayangkan Aizat macam mak. Mak risau kalau dia bandingkan Aizat dengan arwah suami dia. Lagi satu, kamu tengok anak dia. Mak tak yakin dia mampu lebihkan kamu dari anak dia." Ulas Puan Halimah panjang lebar. Dia suka dengan Syuhada. Sungguh! Tapi hatinya tidak sedap. Dia hanya mengambil langkah berjaga-jaga sahaja.

  "Mak, orang yakin dia boleh bahagiakan anak mak ni." Tangan tua itu diambil lalu diusap. Senyuman terlakar pada bibir.

  "Mak tahu tak, orang tak pernah rasa tenang macam ni. Rasa damai. Walaupun dia sudah ada anak besar, orang tak kisah. Orang sayang Syah tu. Orang dah anggap dia macam anak orang sendiri. InshaAllah mak, kami serasi bersama."

  Aizat tidak putus asa. Bagilah beribu gadis sekalipun, hatta yang dara, dia masih pilih Syuhada. Entah kenapa hatinya seperti melekat dengan gadis itu. Macam susah nak larikan mata dari melihat wajah itu.

  "Mak tak kisah Aizat. Mak restu kalau kamu masih bertegas nak kahwin dengan Syuhada. Satu benda mak perlu tegaskan dekat sini, mak dah bagi pendapat mak sendiri. Kalau ditakdirkan kamu tak bahagia, jangan salahkan mak."

  "Apa pula cakap macam tu. Mak doakanlah yang baik-baik untuk kami." Tangan kanan Puan Halimah dilekapkan pada pipinya. Hangatnya tangan yang bersusah payah membesarkan dirinya dan Izzati tanpa bantuan si suami. Sebak melanda diri. Berpuluh tahun maknya terpaksa tahan telinga dengan orang kampung tapi masih utuh hati wanita ini untuk meneruskan kehidupan.

  "Mak doakan orang bahagia dengan Syuhada."

  Puan Halimah senyum tipis melihat tubir mata anaknya berair. Terus dia tarik anaknya ke dalam pelukan. Sungguh, anak itu bernilai buat dirinya. Dia tak tahu apa akan jadi kalau insan dalam pelukannya pergi.

.

.

  SYUHADA melajukan langkah. Jam di tangan dikerli sepintas. Aduh, sudah hampir 30 minit dia terlewat untuk bertemu dengan Amri. Janjinya jam 3 petang tapi dia sudah lewat. Dia tidak jangka meeting di sekolah akan berlarutan lama. Katanya sehingga jam 2 petang namun bersambung hingga jam 3. Langsung dia pecut mencapai segala peralatan untuk dibawa pulang. Kakinya lincah berjalan ke pejabat untuk thumb print. Kalau dia lambat, terpaksa dia berebut dengan cikgu lain. Di atas jalan raya pula, terus dia pecut. Terpaksa dia langgar had laju maksima.

  "Sorry Amri saya lambat!" Tas tangan laju dia letak ke atas kerusi. Nafasnya mengah. Amri pandang bekas gurunya. Senyuman tipis ditayangkan.

  "Tak apa cikgu. Duduklah dulu."

  "Tak apa? Ya Allah, setengah jam saya lewat. Saya minta maaf sangat-sangat. Meeting habis lewat tadi." Ujarnya bersungguh. Punggung dia labuhkan bertentangan dengan Amri.

  "Cikgu minumlah air ni. Saya orderkan untuk cikgu tadi."

  Minuman di atas meja dipandang. Terus dia sambar dan teguk. Memang dia perlukan air saat ini. Penat dia berkejar ke sini dan sana kerana sedar dia telah lambat.

  "Awak tak ada kerja ke Amri?"

  "Saya cuti harini. Tak apa." Riak wajahnya tenang. Langsung tiada riak marah. Nasib saja hari ini dia dicutikan. Kalau tidak dia akan tinggalkan saja restoran ini dan menghantar pesanan ringkas kepada gurunya yang dia terpaksa masuk kerja semula.

  Syuhada terangguk faham. Nasiblah Amri cuti.

  "Ada apa cikgu nak jumpa saya? Cikgu ada jumpa apa-apa klu ke tentang arwah Farhan?"

Sudah masuk enam minggu arwah dilarikan. Sehingga kini tiada maklum balas. Hatta Ameer sendiri buntu. Kes seperti ini tak pernah tercatat dalam rekod jenayah. Pelik tapi inilah realiti yang dia terpaksa hadap.

  Syuhada lepaskan keluhan. Dia nak jumpa Amri pun bukan kerana itu. Tambah pula, dia memang tiada apa-apa info untuk dikongsikan. Arwah Farhan seperti lesap. Hilang dari radar.

  "Bukan..." Lemah suaranya. Dia juga harapkan mayat Farhan dapat ditemui dengan cepat.

  "Dan saya nak jumpa awak pun bukan sebab Farhan tetapi Aizat."

  "Aizat? Yang muka dia sama macam Farhan?" Tanya Amri semula. Hampir dia terlupa mamat itu. Syuhada mengangguk mengiyakan.

  "Kenapa dengan dia?"

  "Dia..." Syuhada tarik nafas dalam.

  "Dia ajak saya kahwin."

  Membuntang biji mata Amri. Memang luar jangkaannya. Dia tak pernah terfikir lelaki itu akan bertindak sebegini rupa.

  "Dan cikgu terima?"

  "Saya tak buat keputusan lagi." Syuhada mengeluh. Kes ini rumit. Sudahlah hal Farhan belum selesai, ditambah pula dengan hal Aizat. Boleh biul dia jadinya.

  "Kenapa tiba-tiba?" Amri menyandarkan badan. Dia masih terkejut.

  "Saya tak tahu nak cakap macam mana tapi dia ada minta saya lupakan Farhan." Ujar Syuhada lemah. Itu satu-satunya hal yang akan buat dia lemah satu badan. Mustahil! Mana mampu!

  "Sejujurnya saya masih belum boleh bezakan Aizat dan Farhan. Dua-dua punya rupa yang sama. Hampir saya tertukar nama mereka. Dan satu benda yang buat saya runsing, hati saya macam tenang bila ada dia. Perasaan dia sama macam Farhan ada dengan saya cuma kalau dengan Aizat, perasaan saya lebih. Saya tak tahu. Mungkin saya terlalu rindukan arwah ataupun hati saya yang tak betul. Saya tak tahu apa patut saya buat."

  Amri diam mendengar. Dia tak tahu kalau dia berada di tempat Syuhada. Mungkin dia sudah gila dulu. Tetapi bila bercakap soal hati, hati tak pernah menipu. Amri kekal membisu. Otaknya cuma mentafsir.

  "Buat istikharah cikgu. Itu sebaiknya." Itu saja yang Amri mampu katakan. Untuk berkata lebih, dia takut silap. Mungkin dia patut bincangkan dengan abangnya.

  Syuhada bungkam. Istikharah. Perkataan itu kerap berulang di mindanya. Dia perlukan jawapan. Dan jawapan itu ada pada Allah. Dia hanya perlu minta bantuan dari Yang Esa untuk segala yang berlaku.

  Dan istikharah adalah jawapannya saat ini.

Dedicated To Wife ✓Where stories live. Discover now