BAB 43

924 65 7
                                    


MASUK kali ini, sudah lima kali Syuhada meronda seisi rumah. Kepala digaru tanpa sebab. Baru lima jam orang dalam rumah ini keluar, dia sudah jadi bosan. Sejurus mereka keluar, Syuhada terus mengemas rumah. Dari atas ke bawah, porch hingga ke belakang rumah. Sehinggakan dia sudah tidak punya kerja. Nak memasak, bahan pula tak ada. Hanya ada beberapa biji telur, makanan segera dan bertin. Sudahnya, dia hanya memanaskan sardin dan digoreng telur dadar bersalut bawang. Itu pun sudah siap. Hanya perlu tunggu Syahadat pulang ke rumah sajalah.

Telefon rumah di rak televisyen dipandang lama. Dia teringat helaian kertas yang ibu Summayah beri. Nombor itu masih dia simpan. Laju dia mencari semula kertas itu. Memandangkan tiada orang di rumah, boleh rasanya kalau dia berborak dengan Ibu Sumayyah. Tak adalah rasa bosan.

"Assalamualaikum, ibu."

"Syu ke tu?"

Melebar senyuman Syuhada mendengar suara yang dia rindukan. Dia dilayan seperti anak sunti wanita itu, mustahil dia tidak rindu. "Syu ni."

"Ya Allah... Syu okey tak? Ibu dengan abi risau sangat dekat sini."

"Ibu jangan risau. Syu baik-baik dekat sini."

Talian sepi di hujung sana. Syuhada jadi tertanya-tanya.

"Ibu?" Panggilnya.

"Aizat ada buat apa-apa dengan Syu?"

"Itulah yang Syu nak borak dengan ibu sebenarnya." Syuhada membetulkan duduk. Gembiranya bukan kepalang.

Sangkanya, telefon itu tidak berfungsi tetapi tak sangka boleh digunakan. Yalah, zaman sekarang sudah kurang masyarakat gunakan telefon rumah ini semenjak  telefon pintar mula diperkenalkan.

"Aizat buat apa? Dia pukul Syu ke?"

"Tak, ibu..." Syuhada menggeleng hatta ibu Sumayyah di sebelah sana tidak dapat melihat dirinya.

"Kalau dia tak pukul, dia buat apa?"
Syuhada menguis paha dengan hujung telunjuk. Mulutnya berbicara dengan lancar tentang kejadian selepas di rumah ibu Summayah. Dari perwatakan Aizat yang marah-marah sehinggalah dia menjadi lembut habis lebih-lebih lagi pada malam hari lahir Syahadat.

"Ibu..." Serunya.

"Ya?"

"Syu buntu. Aizat dah pulih dari santau ke?"

"Syu yakin ke dia disantau?"

Lidah Syuhada kelu. Dikemam dua ulas bibir bersama. Dibiarkan soalan ibu Sumayyah tidak terjawab.

"Doa pada Allah supaya rumah tangga Syu dengan suami sentiasa terpelihara. Tak perlu fikir sama ada dia disantau atau pun tidak. Sekarang, misi Syu untuk ikat semula ikatan suami isteri. Jangan biarkan retak sekali lagi. Kesian pada anak Syu, terpaksa lalui hubungan ibu bapa yang berkelahi. Syu mesti tak nak Syah sedih tengok ibu dengan ayah dia bergaduhkan?"

Dalam diam Syuhada mengangguk bersetuju.

"Tapi... Jangan lupa semua amalan Syu dekat Mersing. Jangan tinggalkan, sentiasa amal. Ibu dengan abi tak ada nak tengok-tengokkan Syu. Syu jaga diri Syu sendiri. Jangan malas-malas, lagi syaitan suka."

"Baik, ibu."

"Ibu letak dulu ya? Nak hidang lauk untuk abi."

"Okey, ibu."

Selepas bertukar salam, Syuhada meletakkan panggilan. Keratan kertas kembali disimpan ke dalam dompetnya. Disembunyikan kertas kecil itu supaya tidak dijumpai oleh orang lain. Andai hilang, dia tidak mampu menghubungi Ibu Sumayyah lagi.

.

.

SEBAIK dia turun dari tingkat atas, pintu rumah terbuka. Tersembul dua susuk tubuh yang amat dia kenali. Anaknya dan adik ipar.

Dedicated To Wife ✓Where stories live. Discover now