BAB 29

925 68 10
                                    

USAI mengaminkan doa, Aizat segera berpaling ke arah makmumnya. Wajah Syuhada yang masih sebam direnungnya. Semalam tidurnya tidak selesa namun dia tidak kisah. Asalkan Syuhada lega, dia rela. Bahkan semalam ketika dia cuba ubah kedudukan pembaringan mereka, Syuhada terjaga dan merengek. Sudahnya, Aizat hanya kaku di atas katil. Semalaman dia merenung wajah Syuhada yang lena. Dia yakin, di balik kepolosan wajah itu tersimpan beribu rahsia.

Tangan dihulur disambut baik. Belum sempat Syuhada mengangkat wajah, Aizat lebih tangan menarik tubuh Syuhada kembali sebam di dadanya. Satu kucupan dihadiahkan di dahi isteri. Kasih sayangnya tumpah setiap kali melihat wajah kesayangannya. Selepas syurganya, insan di dalam pelukannya yang dia sayang.

“Jangan menangis lagi, saya risau.” Bisik Aizat seraya melepaskan tubuh isteri. Sempat dia usap pipi wanita itu. Senyuman terlakar di bibir.

“Saya minta maaf kalau awak tak selesa tidur semalam.”

“Tak apa. Saya tak kisah.”  Aizat mula bangkit. Songkok di kepala di simpan di tempat asal. Sejadah dilipat dan digantung ke penyangkut. Dia kembali labuhkan duduk di birai katil. Mata melihat isterinya melipat telekung yang terpakai.

“Syuhada.” Panggilnya selepas Syuhada menutup almari baju. Wanita itu berpaling dan naikkan kening sebagai pertanyaan.

“Sini kejap.”

Syuhada akur. Kaki mengorak langkah. Dia berdiri di hadapan Aizat dan menanti kata dari dua ulas bibir suaminya.

“Duduklah sini.” Tempat di sisinya ditepuk kecil. Mata tidak dilepaskan memandang Syuhada. Bagaikan patung isterinya menurut.

Jemari Syuhada dicapai dan diramas lembut. Anak mata mereka disambungkan beberapa ketika sebelum Syuhada melarikan pandangan. Tercuit hati Aizat melihat telatah Syuhada. Senyuman jelas kelihatan di bibir.

“Awak dah okey?”

Syuhada bertentang mata semula dengan Aizat. Kepala diangguk kecil.

Mind to share?” soal Aizat lembut. Kalau boleh, dia mahu jadi telinga Syuhada. Bukan sekadar suami yang memonopoli tubuh Syuhada saja. Semua milik isterinya miliknya juga. Yang dia mengharapkan lebih dari isterinya adalah hati. Hati wanita itu supaya diserahkan semua kepadanya. Dia mahu jadi seperti pasangan lain juga. Bahagia dan sedih bersama.

No?” Aizat kembali bersuara apabila Syuhada hanya mematung di tempatnya.
Syuhada lepaskan keluhan kecil. Senyumannya kelat. Perlahan-lahan, dia geleng. Kepala langsung jatuh, tidak mahu melihat wajah kecewa Aizat. Bukan apa, dia tidak sanggup membuka kisah semalam. Kalau dia tahu keputusannya begitu, dia patut suruh Dr. Hanny buang saja keputusan itu. Dia tak sanggup tahu.

It’s okay. Kalau dah bersedia nak bercerita dengan saya, my ears all for you.” Aizat hadiahkan senyuman. Jari naik mengusap pipi isteri. Pertama kali dalam hidupnya melihat seorang wanita yang dia sayangi menangis dan dia betul-betul terkesan sehingga bibir terkelu untuk memujuk. Akhirnya dia hanya mengusap tubuh itu sehingga tertidur.

Syuhada pejam mata. Sentuhan suami benar-benar menyamankan. Segera dua tangannya menyentuh jemari Aizat. Ditarik dari pipi dan digenggam lama.

“Awak...”

“Ya,” sahut Aizat. Dia kembali diam untuk memberi isterinya bersuara.

Syuhada tarik nafas dalam-dalam. Keberanian dikumpul untuk kembali bertentang mata dengan Aizat. “Awak sayang saya?”

“Kalau tak sayang buat apa saya nikah dengan awak?”

Syuhada mengangguk kecil. Dia faham maksud Aizat walaupun dia mengharapkan jawab yang lebih senang. Ya atau tidak.

Dedicated To Wife ✓Where stories live. Discover now