BAB 1

3.1K 191 20
                                    

  Tujuh tahun sudah berlalu. Kedukaan di hati telah mulai reda masa namun rasa sayang itu masih ada. Masih tersimpan untuk si dia walaupun kini mereka tidak mampu bersemuka. Dia cuba mengharapkan keajaiban namun semua itu mustahil. Yang pergi itu tetap akan pergi, yang hidup harus akur untuk meneruskan perjalanan.

  Syuhada masih kekal bergelar guru disiplin. Kini, dia berhadapan dengan pelajar dengan lebih profesional, tidak seperti dahulu kala, bergetar hatinya ketika acap kali kena berurusan dengan suami yang bergelar ketua pengawas.

  Hatta ketua pengawas masih disandang oleh pelajar lelaki, langsung tidak terdetik dalam hati dan jiwanya untuk jatuh kerana tujuh tahun telah mengajar dia erti kehidupan. Mustahil untuk dia jatuh untuk orang lain melainkan Farhan.

  Farhan adalah kiriman Ilahi untuk dirinya. Biarpun jurang usia terlalu besar, jodoh itu tetap menjadi rahsia Tuhan.

  Guru disiplin sudah bertukar. Bukan lagi Cikgu Firdaus setelah berita dia ditangkap pihak polis tersebar dek dia bersubahat dalam kes pembunuhan.

  "Ibu!"

  Farhan Syahadat, kini berusia tujuh tahun. Hati anak kecil itu kuat untuk menerima pemergian si ayah walaupun tak pernah sekali mereka bersua. Sama seperti kisah Rasululullah yang tak dapat bertemu dengan bapanya yang meninggal tatkala baginda masih dalam kandungan.

  Syuhada titipkan dalam setiap solat dan doanya agar Syahadat cekal dengan ujian ini. Membesar tanpa seorang ayah tidaklah senang. Tidak mudah juga baginya untuk menjadi ibu tunggal. Dia juga yatim piatu, tiada siapa lagi mampu dia sandarkan harapan kecuali dirinya sendiri. Dia harus kuatkan semangat demi puteranya.

  "Ibu tahu tak, tadi cikgu cakap esok mula cuti. Cikgu kata sepuluh hari. Betul ke ibu?" Syahadat angkat kesemua jarinya lalu ditunjukkan kepada Syuhada. Matanya sudah membulat.

  "Betullah. Mana ada cikgu tipu. Nanti ibu pun cuti. Bolehlah kita pergi jalan-jalan."

  "Yeay! Syah nak pergi zoo." ujar Syahadat riang sekali. Syuhada lega melihat senyuman si anak kecil tapi dia masih gusar andai dalam hatinya masih terselit persoalan tentang Farhan.

  Awalnya, Syahadat berkali-kali menyoal tentang Farhan. Lama-lama, anak kecil itu mula diam. Jawapan yang Syuhada mampu beri adalah kenyataan perit. Untuk Syahadat terima bulat-bulat bukanlah mudah. Syuhada tahu itu. Kerana itu, sedaya-upaya dia cuba membahagiakan Syahadat. Syahadat hanya punya dia.

  "Boleh sayang. Nanti kita pergi."

  Setelah berjuta cabaran hidup dia lalui, matlamatnya kini pada Syahadat. Azam dia hanya ingin melihat anak kecil ini membesar menjadi seorang yang berguna dan ada juga harapan kecilnya untuk melihat Farhan Syahadat mampu menjadi seperti arwah suaminya.

  Setiap kali memandang Syahadat, pasti wajah Farhan akan muncul. Wajah anak mereka itu saling tak tumpah seperti Farhan terutama sekali mata helang yang paling menangkap hatinya. Mana mungkin dia mampu menduakan Farhan. Tujuh tahun berlalu, bermacam jenis manusia dia temui namun langsung tiada satu pun yang mampu membuka kembali pintu hatinya. Biarlah dia tutup selamanya supaya dia dapat berpegang tangan dengan Farhan, melangkah titian As-sirat bersama sehingga ke syurga.

  "Jom balik ibu. Syah penat, lapar."

  "Nak geraklah ni. Pakai seatbelt tu."

  "Aye aye captain!"








  MALAM itu Syah membawa beg sekolahnya ke bilik ibunya. Dengan langkah terkedek-kedeknya mampu menceriakan hari Syuhada walaupun dia sedang sibuk menanda buku pelajar.

  "Ibu, lepas Syah siap buat homework, Syah nak tengok video papa boleh?" tanya anak kecil itu. Kerusi di sebelah Syuhada ditarik dan dipanjat. Diselesakan duduknya sebelum dikeluarkan alatan tulis dari beg.

  "Boleh."

  Sudah menjadi aktiviti harian mereka untuk duduk bersama pada waktu malam, melakukan tugas masing-masing dan sebelum tidur, video yang Farhan bekalkan akan dipasang. Itu satu-satunya cara untuk mereka melepaskan rindu selain menziarahi kubur Farhan.

  Itu saja yang dia mampu lakukan. Mustahil mereka tidak sunyi. Hidup berdua untuk tujuh tahun, Syuhada sendiri pernah terkilan dengan kehidupan yang kesepian. Hendak pulang ke rumah Mak Long, perlu tunggu waktu cuti. Selebihnya, inilah cara dia meluangkan harinya. Hanya bersama Syahadat.

  "Nanti cuti kita pergi zoo yang sama ke ibu? Tak ada zoo lain ke?" tanya Syahadat yang berusaha memadam ayat yang salah dibina. Sebelah tangan ditongkat ke dagu. Wajah si ibu dipandangnya.

  "Syah tak nak pergi zoo tu lagi ke?"

  "Taknaklah bosan. Nanti monyet tu kejar Syah lagi." Syahadat mula cemberut. Ngeri dia mengingat kembali kali pertama dia datang ke zoo. Beria dia nak bagi pisang pada monyet yang dibebaskan, sekali habis beg Syahadat turut dirampas dan akhirnya menyebabkan Syahadat menangis hingga ke sudah.

  Syuhada hanya mampu tergelak kecil melihat anaknya menangis. Budak baru nak kenal dunia. Kesudahannya, mereka pulang macam tu je sebab Syahadat merajuk tak nak pergi zoo tu lagi.

  "Nanti ibu fikirkan zoo lain yang best."

  "Yeay! Kita pergi negeri lain tau ibu. Cikgu kata negara kita banyak negeri. Melaka, Johor, Selangor, Pahang lagi erm..." Syahadat garu kepala. Dahi berkerut-kerut.

  "Ha! Sabah, Sarawak, Perak."

  "Lagi?" tanya Syuhada menguji daya ingatan anaknya.

  "Lupa hehe."

  "Mana boleh lupa-lupa. Nanti ibu bagitau cikgu karang."

  "Jangan! Nanti cikgu marah Syah. Seram!" Beria Syahadat bercerita sehinggakan kerja sekolah di atas meja tak terbuat. Syuhada hanya melayan, sekali sekala dia menanda buku pelajarnya. Senyuman tak lekang di bibir.

  "Tapi ada satu benda Syah tak lupa." beritahu Syahadat setelah keadaan sunyi untuk seketika. Syuhada kembali berpaling. Dapat anak seaktif Syahadat buatkan kerjanya tergendala. Terpaksalah dia layankan Syahadat, lagipun itu saja satu-satunya ubat rindunya buat suami.

  "Apa dia?"

  "Syah tak lupa nak sayang ibu setiap hari. Chia! Chia!" Syahadat melayangkan tangannya ke udara. Syuhada sembunyi senyum. Sejak Syahadat tengok video yang Farhan simpan, habis segala ilmu pickupline dia belajar.

  "Alah, ibu tak malu. Macam mana papa selalu buat eh?" Syahadat meletakkan jari kanannya di dagu. Hampir setiap hari dia belajar dari video Farhan, tetapi kenapa susah sangat dia nak ayat ibunya ini?

  "Merepeklah Syah ni. Buatlah kerja tu."

  "Mana boleh ibu. Papa buat selalu jadi. Syah kena jadi macam papa juga." Syahadat sudah berdiri dengan muka didekatkan dengan ibunya.

  "Syah, kenapa nak belajar mengayat ibu ni?" Syuhada angkat Syahadat lalu diletakkan di atas ribanya, bertentangan dengan dia. Wajah yang persis Farhan direnung.

  "Sebab papa tak ada nak ceriakan ibu. Jadi, Syah cuba nak jadi macam papa, jadi hero ibu. Yang boleh buat ibu senyum, gembira." jelasnya polos.

  Syuhada tersentak. Ubun-ubun Syahadat diusap lembut. Macam mana dia nak lupakan Farhan kalau anak mereka ini sebolehnya mahu menjadi Farhan?

"Terima kasih hero ibu sebab sayang ibu."

  Dahi Syahadat dikucup lalu dipeluk anak itu.

  _______

Maaf, hero tak muncul lagi ehek.

Dedicated To Wife ✓Where stories live. Discover now