BAB 40

1K 60 3
                                    


MATA ralit memandang gambar dari telefon pintar. Kaca matanya berair melihat seraut wajah yang dia rindu. Nak masuk dua minggu mereka tidak bersua. Syuhada rindu telatahnya. Rindu gelagat manjanya. Rindu hendak memeluk dan ketawa bersama. Dua minggu dia hilang senyuman lelaki itu.

“Syu?”

Sumayyah yang sudah lengkap berpakaian bersih menghampiri Syuhada yang berada di sofa hadapan. Wanita itu nampak termenung jauh sehinggakan panggilannya juga tidak disahut.  Sumayyah mencuri lihat skrin telefon Syuhada lalu tersenyum hambar.

“Syu rindu anak Syu?” Bahu Syuhada diusapnya lembut.

Syuhada tersentak. Telefon dimatikan skrin sebelum kepala menoleh ke arah Sumayyah.

“Ibu...”

“Amri tak ada call?” tanya Sumayyah.

Syuhada geleng. Dia ada minta Amri curi-curi berjumpa dengan Syahadat. Tak kisahlah di mana hatta di sekolah Syahadat sekalipun namun tiada berita.

“Sabarlah, Syu. Sekarang, Syu perlu fokus nak ubat diri. Mesti anak Syu sedih kalau tengok ibu dia sakit macam ni.”

Syuhada kesat hujung mata yang berair. Sunyi hidupnya tanpa Syahadat, penyeri hidupnya.

“Ibu nak keluar kejap dengan abi. Syu okeykan tinggal seorang diri? Izuan pun keluar. Kalau dia balik, jangan bagi dia masuk. Ya, sayang?”

Angguk. Mulut Syuhasa terasa berat hendak menjawab. Hanya kepala memberi isyarat kata. Tangan Sumayyah dikucup lembut sebelum mata menghantar mereka keluar.

Seketika, suasana menjadi hening. Syuhada kembali memandang gambar Syahadat. Dikucup lembut kaca skrin telefon. Ibu jari mengusap lembut. Jemari kiri menyeka air mata.

“Syah... Syah tak rindu ibu ke?” monolognya sendirian.

“Syuhada...”

Pap!

Telefon terhempas ke meja. Syuhada teguk liur. Mata memerhati sekeliling. Tak silap dia, dia terdengar satu bisikan halus. Bunyinya benar-benar halus dan bergema. Nak kata ada orang, hanya dia bersendirian di rumah.

Zap!

Cawan yang berada di atas meja jatuh ditiup angin. Sekali lagi Syuhada telan liur. Tubuh dipeluk. Bulu roma terasa mencanak. Suasana panas kampung bertukar sejuk tanpa dia sedar.

Zas!

“Ahh!” Syuhada bangkit dari kerusi. Ditolak kerusi ke belakang. Telefon pintar dicapai laju dan digenggam erat. Matanya tidak buta lagi melihat bayangan yang bergerak laju. Langsung tidak sempat dia melihat rupa si dia.

Perompakkah? Tapi... Ada ke orang di daerah Mersing ini mengenali dirinya? Dia baru dua minggu di sini, mustahil ada orang lain yang mengenali dirinya. Takkan tiba-tiba dia jadi bualan mulut? Merepek gayanya.

“Hihi...”

“Argh!” Syuhada pejam mata erat. Tangan melekap pada telinga. Tubuh dikecilkan, tidak mahu dilihat. Kaki mencorak langkah, entah ke mana. Yang dia tahu, dia mahu pergi dari bunyi itu. Menakutkan!

“Nak ke mana tu?” Hilaian bergema.

“Pergi!” Telinga digosok kasar. Bisikan tadi terasa seperti di cuping telinganya. Berderau darahnya. Kaki bergerak ke luar rumah. Tanpa Syuhada sedar, kepala tidak berbalut apa-apa hatta anak tudung sekalipun.

“Pergi! Pergi!” nafas terasa sesak. Mata juga tidak terlihat jalan. Terasa seperti sekelilingnya jalan mati. Dada berombak mencari udara yang menghilang. Syuhada terkebil-kebil mencari jalan keluar. Beberapa tapak dia berjalan dan dia akan termenung seketika. Saat dia mengelamun, bisikan tadi kembali muncul.

Dedicated To Wife ✓Where stories live. Discover now