BAB 23

2K 122 6
                                    


“IBU...” Suara Syahadat berubah sayu. Sepasang matanya sudah berkaca, menunggu masa untuk tumpah. Kain labuh Syuhada digenggam erat. Kepala mendongak melihat si ibu.

“Kenapa Syah? Ibu nak gerak ni.” Syuhada bercangkung.

“Nak ikut...” Segera Syahadat lingkarkan tangan pada leher ibunya yang dilitupi tudung. Berat hatinya ingin melepaskan ibunya. Mana pernah dia berpisah dengan ibunya selain ketika waktu sekolah. Bukan setakat beberapa jam, kali ini beberapa hari! Mana dia sanggup!

“Tak bolehlah. Papa dah cakapkan, Syah kena tinggal dengan Tok Ma dengan Kak Zati dekat sini.” Pujuk Syuhada lembut. Dia faham perasaan yang melanda anaknya. Sejak bayi hinggalah berumur tujuh tahun, mereka hidup berdua. Ke mana-mana bersama. Tiba waktu Syuhada dan Aizat berangkat untuk percutian berbulan madu, Syahadat jadi berat hati. Tidak sanggup berpisah. Syuhada juga tidak menyangka Aizat ingin membawanya berbulan madu. Sangkanya tunggu mereka sama-sama mengenali diri mereka dan setelah hati mereka bersatu barulah memikirkan hal ini. Rupanya tidak. Aizat membuat perancangan awal. Sebagai isteri, Syuhada akur.

“Ibu nak buat apa pergi lama-lama?” soal Syahadat, polos. Muka disebam di balik tudung. Menggigil bibirnya menahan perasaan.

Syuhada terdiam. Buat apa? Ayat yang sesuai cuba disusun supaya anak sulungnya ini faham.

“Ibu dengan papa nak bagi Syah adik!” jawab Aizat yang duduk bercangkung di sebelah Syuhada. Mendengar perbualan dua beranak itu, Aizat tumpang kasihan.

“Tapi lamanya ibu dengan papa pergi...” suaranya pecah. Tubir mata mula kabur. Tangan kiri segera mengelap dua kelopak mata. Wajah Aizat dipandang meminta penjelasan lagi. Tubuh Syuhada enggan dilepaskan, mahu mendakap selama mungkin.

“Syah, Syah anak baikkan?” Aizat menarik lengan Syahadat, melepaskan Syuhada yang terperangkap. Anak kecil itu mengangguk lemah. Suara hingus ditarik mula kedengaran. Aizat ringankan tangan mengusap air mata yang mengalir ke pipi Syahadat.

“Papa janji dengan Syah, papa akan jaga ibu baik-baik. Dan papa janji, papa akan cuba balik awal. Nanti papa belikan Syah ole-ole. Nak?” pujuk Aizat dengan janjinya. Dia yakin, Syuhada mudah ditangani. Syuhada isteri yang baik, tidak banyak kerenah. Begitu juga dengan si anak. Pujuk sikit dan anak kecil itu mampu terima.

“Sekolah?”

“Kak Zati ada nak hantar. Syah sekolah jangan nakal-nakal tau. Papa dengan ibu pergi tak lama. Tiga hari aje. Rabu dah balik.” Dengan penuh kelembutan Aizat memujuk. Syuhada yang memerhati agak terusik hatinya. Lelaki itu langsung tidak kekok dengan anak kecil. Mahu kata dia ada anak buah kecil, tiada pula. Bagaimana lelaki itu begitu ngam dengan kanak-kanak?

“Kak Zati macam garang aje, papa.” Syahadat berbisik. Izzati yang berdiri di sisi Puan Halimah hanya memerhati dengan ekor mata. Senyuman langsung tidak dipamerkan. Gadis itu hanya berpeluk tubuh dengan bibir mencebik ke hadapan.

“Taklah. Kak Zati baik. Papa nak gerak ni. Syah jaga diri ya?”

Sekali lagi wajah Syahadat diraup dari air mata. Dahi anak itu dikucup sekilas. Senyuman dihadiahkan. Kemudian, Aizat mula berdiri di sisi Syuhada.

“Ibu...”

“Ya?” Syahadat diam seketika. Mata merenung wajah si ibu, mengambil masa untuk tenung secukupnya sebagai bekalan. Kaki diambil mendekati.

“Syah sayang ibu.” Tubuh tua itu didakap. Bibir dikemam saat mata terasa panas. Wajah berkerut menahan air mata dari tumpah. Dia cuba menjadi kuat tetapii bilamana berhadapan dengan syurganya, hatinya lemah.

“Ibu pun sayang Syah juga. Duduk rumah dengan Tok Ma, jangan susahkan Tok Ma tau. Solat jangan tinggal.” Sedikit pesanan ditinggalkan kepada anaknya. Dia percaya anaknya akan mendengar.

“Tak susah manalah, Syu. Cucu mak jugakan.”

Syuhada hanya membalas dengan senyuman. Mak mentuanya baik, sungguh baik. Berbeza sungguh dengan cerita-cerita kurang enak yang didengarinya. Kata Zack, Halimah pengamal ilmu hitam tetapi Syuhada menyangkal. Lihat mak mentuanya cukup solat lima waktu, bila masa dia mensyirikkan Allah? Mustahil!

“Ibu gerak dulu tau.”

Syahadat mengangguk lemah. Tubuh ibunya dilepaskan. Cepat-cepat dia hadiahkan kucupan pada dahi ibunya. Tangan cekap menghapuskan bukti matanya berkaca. Syuhada turut membalas kucupan di dahi malah, menambah di kedua-dua pipi anaknya. Hidung menghirup bau anaknya, sebagai pengubat rindu.

Syahadat tidak lepaskan sepasang matanya terhadap kereta milik Aizat yang mula berderum di atas jalan raya. Sehinggalah kereta itu membelok, Syahadat pejamkan mata. Spontan, air mata terlakar.

.

.

“KENAPA awak diam aje?” soal Aizat yang fokus memandu. Jalan agak lengang memudahkan perjalan mereka. Anggaran masa untuk tiba ke tanah tinggi Cameron adalah kira-kira tiga jam dari tempat mereka. Harapnya dapat tiba awal dengan keadaan kosong di lebuh raya ini.

“Tak ada apalah.” Syuhada sandarkan kepala. Mata meliar melihat pemandangan. Kepalanya memikirkan Syahadat di rumah. Baru sekejap dia bergerak, rindu sudah menggunung. Sama seperti dia merinduikan Farhan. Farhan, awak dekat mana?

“Rindu Syah?” teka Aizat.
Syuhada membetulkan duduk. Soalan Aizat tidak dijawab. Sudah tahu lagi ditanya.

“Janganlah risau. Mak dengan adik saya ada.” Tangan kiri Aizat beralih dari stereng dan menangkap jemari Syuhada. Diramas lembut jemari itu untuk mengurangkan gundah. Kepala sesekali menoleh ke arah Syuhada.

“Tahu...”

“Jadi, kenapa fikir lagi?”

Syuhada memggelengkan kepala. Bebanan di kepala tidak diluahkan. Soal Farhan tidak akan dia ceritakan. Biar dia dan sahabat Farhan saja yang menguruskan. Aizat tidak patut masuk campur. Lagipun, keputusan DNA belum sampai kepadanya. Sewaktu ujian HIV tempoh hari, Aizat yang mengambilkan untuknya kerana dia mempunya meeting saat-saat akhir. Maka, keputusan itu masih di tangan Doktor Hanny.

Hendak mengambil, masa begitu pantas berlalu. Sehingga mereka bernikah pun, dia belum tahu keputusannya. Dengan kini mereka bertolak untuk berbulan madu, bertambah lewatlah dia mengetahui keputusan DNA tersebut. Dia tidaklah mengharapkan DNA Aizat dan Syahadat sama sebaliknya, dia hanya turutkan cadangan Izuan. Kata Amri, dia yakin Farhan masih hidup. Mustahil!

Yang Syuhada mahukan hanyalah tubuh Farhan dikembalikan ke tempat asal. Biarlah lelaki itu duduk di pangkuan Tuhan, jangan tarik dia ke atas dunia semula. Mengenangkan itu, Syuhada hela nafas perlahan. Sudah tiga bulan dan tiada klu yang mereka temui. Bagaimana ni?

“Awak tak percayakan mak dengan Zati?” soal Aizat tiba-tiba. Syuhada segera menoleh ke arah pemandu dengan kerutan di dahi.

“Saya tengok awak gusar sangat. Tak senang duduk.” Terang Aizat kepada soalannya. Dia yang hendak memandu juga terganggu fokusnya.

“Bukan. Saya tak fikirkan Syah. Saya...” Syuhada jedakan ayat. Sesungguhnya, dia mahukan bahu untuk lepaskan rindu kepada arwah tetapi Aizat bukan orang yang sesuai. Lelaki itu sudah bergelar suami, pasti dia akan cemburu.

“Kenapa?”

“Saya penat. Saya nak tidur.” Putus Syuhada. Tak sanggup berkongsi cerita. Dia tahu, lbat-laun cerita ini akan sampai ke telinga Aizat tetapi bukanlah sekarang. Dia tak sanggup. Tunggulah sehingga klu mengenai Farhan semakin jelas. Mungkin ketika itu akan dia terangkan kepada Aizat.

Syuhada segera betulkan duduk. Kepala disandarkan supaya selesa. Mata dilelapkan. Jemari dibiarkan berada di dalam genggaman Aizat, tidak mahu lelaki itu tergguris hati sekiranya dia menarik. Fikiran mengenai Farhan dipadam dari otak.

Aizat mengambil lorong kiri dan kelajuan diperlahankan. Kepala menoleh ke arah Syuhada yang tak berkutik. Hujung bibir ditarik perlahan. Jemari Syuhada ditarik dan dikucup lembut sebelum diletakkan ke atas paha isterinya. Tangan kiri kembali memegang stereng. Signal kanan diberi sebelum dia menukar lorong. Kereta miliknya terus pecut menuju destinasi.

Dedicated To Wife ✓Where stories live. Discover now