16

290 14 0
                                    

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

TOK! TOK! TOK!

Encik Hasnawi yang tika itu sudah menepuk - nepuk tempat tidurnya, bersiap - sedia untuk tidur lantas mengangkat wajahnya untuk melihat gerangan yang mengetuk bilik.

Bibir mula melorek senyum saat figura anak perempuannya menyapa ruang mata.

"Ayah, Daiyan nak tidur kat sini malam ni boleh tak?" Pinta Daiyan bersama - sama kerdipan mata. Konon - konon sedang meraih simpati.

"Aik? Dah tua - tua pun nak tidur kat celah ketiak ayah lagi? Badan dah besar, tapi perangai tu macam budak - budak lagi. Ni mesti tak lain tak bukan, takut sebab baru lepas tengok cerita hantu la kan?" Encik Hansawi berseloroh.

"Mana ada.... Daiyan bukannya nak tidur kat celah ketiak ayah pun! Daiyan nanti bentang toto tidur kat bawah la...." Daiyan menjawab dengan keadaan tangan yang sudah disilangkan ke dada.

Encik Hasnawi pula tayang sengih melihat gelagat Daiyan itu. Bukannya tak sedar, bunga - bunga rajuk anaknya sedang mekar.

"Kalau ayah tak bagi. Tak apalah. Daiyan pergi tidur kat bilik dulu!" Daiyan berkata dengan keadaan muncung di bibirnya sudah ditarik seinci.

"Alolololo, princess ayah ni merajuk ya? Patik bergurau sahaja tuan puteri intan payung. Mehla sini...." Encik Hasnawi mula pasang ayat memujuk.

Daiyan yang tadinya bibirnya memuncung lantas mengukir senyum.

Dah kalau dipanggil dengan bermacam - macam gelaran manis oleh si bapa, manalah boleh dia merajuk lama - lama!

Daiyan menuju ke bilik tetamu yang terletak di tingkat dua apabila permintaannya itu mendapat lampu hijau daripada Encik Hasnawi.

Almari yang menempatkan segala kelengkapan tidur untuk para tetamu dibuka. Sebuah beg berzip yang berasaskan plastik jernih berisi tilam toto dengan corak bunga - bunga kecil dicapai. Tak lupa juga, sebiji bantal dibawa bersama - sama dengannya kembali ke bilik ayahnya.

Setibanya di sana, Daiyan bentangkan tilamnya.

Rambut yang diikat tocang satu dilurutkan ikatannya sebelum dia bawa tubuhnya berbaring.

"Daiyan nak dengar cerita tak?" Encik Hasnawi tiba - tiba bertanyakan soalan.

Daiyan yang tika itu hampir berlabuh ke alam mimpi celikkan matanya.

Daiyan ketawa kecil, cukup sekadar didengari untuk diri sendiri.

Macam - macam ayahnya ini!

Walaupun Daiyan sudah tumbuh dewasa, pada pengamatan ayahnya itu, Daiyan mungkin masih anak kecil barangkali. Harus dibacakan cerita - cerita dongeng supaya boleh tidur lena gamaknya.

"Ayah nak cerita pasal apa?" Sungguhpun begitu, Daiyan layankan sahaja ayahnya itu. Wajah ditayang penuh teruja.

"Daiyan rindukan ibu tak?" Encik Hasnawi mula sesi berceritanya dengan satu soalan.

Wajah Daiyan berubah sesaat ketika soalan itu diajukan namun pantas ia jernihkan wajahnya semula sebelum kepala dianggukkan.

"Mestilah Daiyan rindu! Teringin juga nak tanya dari dulu, manalah ibu Daiyan pergi tapi tula.... ayah selalu sibuk. Pergi kerja pagi, malam baru balik. Bila Daiyan dah besar, Daiyan pula yang sibuk dengan kerja modelling. Sudahnya, rasa rindu terpendam je dalam hati ni," Celoteh Daiyan. Dia sudah ubah posisi tubuh kepada berbaring menghadap ayahnya.

"Ibu Daiyan cantik orangnya," Encik Hasnawi memulakan bicaranya.

"Cantik? Maknanya, Daiyan macam ni sebab dapat daripada ibu?" Daiyan bertanya dalam nada bergurau.

Encik Hasnawi pula mengangguk, sekadar mengiyakam.

"Kakak Daiyan pun sama cantiknya, sebiji macam Daiyan,"

Wajah Daiyan berkerut. Dia agak kurang mengerti dengan ayat yang diungkapkan Encik Hasnawi itu tadi.

"Kakak? Daiyan ada kakak?"

Encik Hasnawi mengangguk lagi.

"Ya, beza umur dia empat tahun,"

Wajah Daiyan bercahaya. Agat terkejut sebenarnya, namun perasaan teruja itu lebih mengambil tempat.

"Kalau macam tu, mana kakak dengan ibu Daiyan? Diorang ada lagi kan? Diorang duduk mana sekarang? Apa nama kakak  Daiyan? Eh, Daiyan nak tahu nama ibu dulu!" Begitu banyak soalan yang Daiyan ajukan. Dia sudah bangun daripada pembaringan lalu melipat kaki, duduk bersila di hadapan Encik Hasnawi.

"Ayah?" Seru Daiyan.

Digoncang perlahan tubuh itu, tak lama sebelum bibirnya mengoyak senyuman tipis apabila bunyi dengkuran halus memasuki gegendang telinga.

"Ayah ni, dia yang beria - ria buka cerita, sudahnya dia yang pergi tidur dulu!" Ucap Daiyan bersama - sama kepala yang digelengkan.

Daiyan angkat tubuh sedikit. Dikemaskan gebar selimut yang menutupi tubuh si ayah. Diberikan satu kucupan juga tepat pada dahi Encik Hasnawi.

"Assalamualaikum ayah. Selamat malam. Daiyan sayang ayah," Kata Daiyan sebelum dia turut mengikut langkah ayahnya itu.

***

"Ayah, bangun. Dah 6 lebih ni. Kang subuh gajah nanti," Daiyan bersuara sambil mengatur langkah ke arah Encik Hasnawi yang masih tertidur pulas itu.

Lena betul ayahnya tidur!

Sewaktu Daiyan terjaga tadi, ada juga dia terdetik untuk mengejutkan ayahnya namun saat terpandangkan wajah Encik Hasnawi yang matanya terpejam rapat, tak sampai hati pula dia teruskan niat.

"Ayah...?" Daiyan tepuk perlahan bahu Encik Hasnawi namun ayahnya itu tidak menunjukkan sebarang tanda untuk bangun.

Tidak menunjukkan sebarang tanda untuk bangun?

Mata Daiyan membulat saat menyedari sesuatu.

Jari telunjuk pantas dilalukan di bawah hidung Encik Hasnawi.

Satu saat,

Dua saat,

Tiga saat,

Bibir Daiyan menggeletar. Tubuhnya terasa melembik. Tak sedar, dia sudah melorot jatuh. Betul - betul bersebelahan katil yang menempatkan tubuh ayahnya.

"Mak cik...." Daiyan memanggil pembantu rumahnya. Suaranya kian tenggelam timbul dengan tangisan yang berlagu.

Mak Cik Hajar yang kebetulan baru keluar daripada bilik rehatnya menapak segera ke arah bilik Encik Hasnawi, tempat dia mendengar suara Daiyan memanggilnya tadi.

"Ya, Daiyan? Kenapa ni?" Mak Cik Hajar bertanya setelah memasuki kamar beradu majikannya.

Timbul persoalannya di minda ketika pandangan matanya bersabung dengan Daiyan yang wajahnya sudah memerah, basah dengan air mata.

"Mak cik, ayah dah tak ada!!"

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

Okey ke tak tu, you?

⸜(。˃ ᵕ ˂ )⸝🧻

Nah tisu

Tuhan Akhiri DeritakuWhere stories live. Discover now