23

288 11 2
                                    

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

"Assalamualaikum ayah," Ucap Daiyan dengan senyum nipisnya setelah menyudahkan bacaan surah Yassin.

"Maaf ya, ayah? Daiyan baru hari ni jejak kaki kat sini, melawat ayah," Daiyan usap pula batu nisan putih yang terukir namanya ayahnya di sana.

"Hari ni, Daiyan bawa sekali bakal cucu sulung ayah. Tak percaya, kan? Anak ayah yang manja ni, sekarang tiba - tiba nak jadi mak dah," Daiyan berkata dengan sebelah tangan yang masih bebas kini mula mengusap perut yang sudah mula kelihatan wujud nyawa kecil di dalamnya.

Meskipun, nyawa itu hadir dengan cara yang agak keji.

"Ayah nak tahu tak? Hari ni juga, Daiyan nak mula cari ibu dengan kakak. Daiyan tahu, kalau ayah ada lagi... mesti ayah dah mula membebel dekat Daiyan," Ujar Daiyan dengan air mata yang sudah bertakung, hanya tunggu masa untuknya mula menodai wajah.

"Macam mana Daiyan tahu? Mak Cik Hajarlah yang kata macam tu. Dia cakap, ayah kalau tahu Daiyan tengah berbadan dua sekarang ni, mesti dia dah membebel suruh Daiyan duduk diam - diam kat rumah. Yalah, cucu pertama kan? Cara dia lain sikit,"

Daiyan dongakkan wajah, memandang langit biru yang dihiasi kapas - kapas awan di atas sana. Dalam masa yang sama, dia kerdipkan mata untuk menghalang tangisannya yang hampir pecah.

"Tapi ayah jangan risau. Kali ni, Daiyan akan jaga diri Daiyan baik - baik. Kalau masa dan keadaan nanti tak mengizinkan, Daiyan akan terus hentikan pencarian tu. Sekarang ni, Daiyan tak boleh pentingkan diri. Daiyan kena belajar untuk dahulukan anak. Betulkan, ayah?"

"Kalau boleh, Daiyan nak duduk sini lama lagi dan sembang dengan ayah. Tak apalah, Daiyan pergi dulu ya ayah? Jaga diri. Sampai masa nanti, Daiyan pun akan menyusul sama sekali," Daiyan tamatkan perbualannya dengan Encik Hasnawi.

Batu nisan yang dibuat daripada batu marmar itu lantas dicium syahdu sebelum dia mula berangkat pergi.

***

Daiyan mengorak langkah, menelusuri laluan untuk keluar daripada kawasan tanah perkuburan.

Matanya pula langsung tidak menghadap jalan, sebaliknya dipusatkan langsung pada skrin telefon pintar yang menyala saat menapak.

Yalah, berapa sahaja manusia yang melewati kawasan tanah perkuburan kala ini? Nak - nak pula, pada hari bekerja seperti ini.

Aplikasi Grab lantas Daiyan buka. Mahu menempah kenderaan untuk dia berangkat kelak.

Ke mana hala tujunya selepas ini, Daiyan sendiri tak begitu pasti. Cumanya, dia kini hendak memilih tempat penginapan sementara untuknya merehatkan tubuh.

Namun, tingkah Daiyan itu terhenti ketika matanya menangkap satu figura yang berbaju kurung dengan corak tradisional itu.

Anak mata dikecilkan seketika. Daiyan merasakan, dia sepertinya mengenali insan yang cuma belakang tubuhnya sahaja Daiyan berpeluang pandang.

Skrin Samsung Z-flipnya dimatikan. sebelum Daiyan buat keputusan untuk atur langkah ke arah wanita yang berada hampir beberapa depa meninggalkannya. Langsung dihapuskan niatnya untuk menggunakan perkhidmatan Grab.

"Ustazah Daliya?" Daiyan beranikan dirinya untuk menegur.

Saat empunya badan berpaling, Daiyan tidak berupaya berbuat apa - apa melainkan hanya tayang senyum apabila telahannya benar belaka.

Kalau tadi Daiyan hanya berjalan perlahan, kini ia percepat langkah.

Daiyan hulur tangan, ingin bersalam dengan Puan Daliya merangkap guru agama sewaktunya di penjara dahulu. Wanita separuh baya itu selalunya dijemput untuk mengajarkan penghuni penjara berkenaan hal - hal rohani.

"Ustazah sihat?" Daiyan menyoal, sekadar mahu bertanya khabar sementelah sudah lama tidak bersua muka dengan gurunya apabila keluar daripada penjara.

"Alhamdulillah, sihat. Daiyan buat apa kat sini?" Puan Daliya menjawab sambil - sambil matanya dihalakan pada kawasan tanah perkuburan di belakang sana.

"Daiyan melawat kubur arwah ayah. Ustazah pula melawat siapa?" Daiyan panjangkan perbualan. Yalah, dah terlanjur berjumpa... haruslah ringan mulutnya untuk menanyakan bermacam benda.

"Kubur arwah anak. Dah setahun lebih meninggal,"

"Ooo," Daiyan hanya mengiakan dengan mulut yang melopong menghasilkan bentuk seakan - akan abjad O.

"Anak perempuan ke ustazah?" Daiyan menyoal lagi.

"Perempuan. Meninggal sebab kemalangan. Kalau dia ada sekarang, mesti umur dia dekat - dekat dengan Daiyan," Puan Daliya membalas dengan anggukan. Bibir wanitanya turut dilorek senyuman nipis saat berkata. Entah untuk menutupi rasa ralat di hati, Daiyan sendiri tak berupaya menebaknya.

Daiyan yang mendengar pula, hanya anggukkan kepala. Hati dalam masa yang sama turut mengungkap rasa simpati terhadap pemergian anak perempuan Puan Daliya.

"Dayana," Sepotong nama itu tiba - tiba terbit daripada mulut Daiyan. Terasa Daiyan seperti berada di alam bawah sedar saat nama itu meniti di bibirnya.

"Macam mana Daiyan tahu...?" Puan Daliya tidak sembunyikan riak terkejutnya saat bertanya.

"Nama dia Dayana kan?" Daiyan pasakkan renungan matanya betul - betul kepada Puan Daliya, mengharapkan jawapan daripada wanita itu.

Daiyan hela nafas panjang. Melihatkan reaksi Puan Daliya yang masih bingung itu sedikit sebanyak menguatkan tekaan hatinya itu.

Dengan kadar perlahan, Daiyan tarik keluar rantai loket rerama putih miliknya. Sebahagian daripada rantai itu ditunjukkan kepada Puan Daliya yang masih terkaku itu.

Mata Puan Daliya berkaca. Masih tak percaya dengan perkara di depan mata.

"Kakak pun ada rantai yang sama dengan Daiyan, kan ibu?" Daiyan lemparkan soalan dengan nada sebak. Lagi - lagi ketika menyebutkan perkataan ibu itu.

Semua rasa kian bergabung menjadi satu; gembira, sedih, serta terharu.

Terima kasih, Ya Allah. Terima kasih telah lancarkan semuanya.

Daiyan tak henti - henti panjatkan syukur pada Ilahi.

Perancangan Tuhan sentiasa yang terbaik, itu yang Daiyan yakini.

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

🗣: Kenapa Daiyan nak naik Grab, bukan arwah ayah dia ada kereta ke? Toyota lagi...

Well, pernah tahu tak pasal sistem KEJARA? Mata demerit apa semua?

🗣: Tapi....

Apa kata awak terus je baca bab seterusnya? Tak payah cakap apa - apa?
( '・∀・`)

Tuhan Akhiri DeritakuWhere stories live. Discover now