27

319 10 0
                                    


≿━━━━༺❀༻━━━━≾

Luth yang tika itu mendengar suara riuh rendah daripada atas sana, pantas palingkan kepala mahu mencari punca suara itu datang.

Hanya sebelum pandangan matanya menangkap figura tubuh Daiyan yang sedang berjalan beriringan dengan Puan Daliya menuruni anak tangga.

Bibir Daiyan pula terhias dengan senyuman. Manis. Tak lupa juga bunga ketawa yang tak ubah seperti halwa telinga pada Luth.

Tanpa sedar, Luth sendiri turut tersenyum melihatkan tingkah dua beranak itu. Lagi - lagi apabila melihat sisi manja yang ditonjolkan Daiyan. Membuatkan wanita kelihatan berubah 180 darjah daripada dirinya yang asal.

Atau Luth sendiri yang tak mengenali Daiyan dengan betul - betul mendalam? Entahlah.

Cuma satu yang Luth dapat simpulkan, dia benar - benar terhibur dengan telatah Daiyan itu. Serasa mahu disimpan dalam hati segala berkaitan tentangnya.

Terbayang juga, bagaimana jikalau dia yang menggantikan tempat Puan Daliya kala itu, merasakan setiap sentuhan kasih sayang Daiyan, kerana Luth sendiri tahu ia tak mampu.

"Ish, budak bertuah ni. Tak malu agaknya Abang Luth tengok dia berpeluk manja dengan mak segala," Ucap Puan Daliya setibanya mereka berdua di ruang makan.

"Memang tak malu pun," Daiyan membalas acuh tak acuh setelah mengambil tempat duduk.

Sudahlah tempat duduknya betul - betul setentang dengan Luth.

Bala!

Nasi dicedok ke dalam pinggan selepas itu, sementelah tempat Daiyan yang paling hampir dengan bekas berisi nasi.

Takkan nak suruh Puan Daliya pula? Sudahlah perempuan itu yang berhempas - pulas bekerja di dapur menyiapkan makanan tadi.

Bila ditanya ada apa yang perlu dibantu, ibunya pantas gelengkan kepala. Mengatakan yang semuanya dia boleh selesaikan sendiri. Siap suruh Daiyan pergi duduk dalam bilik diam - diam!

Siap mencedok nasi ke dalam pinggan sendiri, Daiyan berbuat perkara yang serupa pada pinggan kepunyaan Puan Daliya. Pinggan Luth pula hanya dia buat - buat buta.

"Daiyan..." Puan Daliya seru nama puterinya.

Daiyan pula hanya tayang sengih pada ibunya. Tak lama kemudian, dia capai juga pinggan Luth. Itupun dengan cara yang amat tak ikhlas miliknya. Siap pakej jeling lagi!

Satu senduk nasi dicedok. Tak adalah penuh satu senduk sangat pun. Daiyan memang sengaja pada hakikatnya.

Pinggan itu diserahkan semula kepada gerangan pemiliknya.

Puan Daliya picingkan mata tuanya melihat adegan itu.

"Cedoklah nasi tu betul - betul... kamu nak bagi Abang Luth makan banyak tu je ke?"

"Ibu ni, tengoklah Abang Luth macam mana. Mesti yang jenis jaga badan punya. Mana boleh makan banyak - banyak. Kena makan ikut portion, kan?" Daiyan reka cerita, cuba bela tindakannya.

Puan Daliya berniat untuk membuka mulut, sudah bersedia untuk membidas namun Luth lebis pantas menghalang, leraikan keadaan.

"Tak apa ibu. Betullah tu, apa Daiyan kata. Luth okey jelah makan banyak ni. Kenyang je," Luth cuba memujuk.

Puan Daliya tak banyak cakap. Dah tuan badan berkata sedemikian, dia pun tak bolehlah berbuat apa - apa.

Daiyan pula, selepas bacaan doa makan langsung tak toleh kiri kanan. Sudu bagi lauk masak lemaknya lantas dicapai. Tak sabar, mahu merasa kelazatan air tangan Puan Daliya yang kini menjadi kesukannya.

PAP!

Tangan Daiyan dan Luth berlaga. Nampaknya, kedua - duanya mempunyai minat yang sama.

"Oh, ibu baru teringat. Luth pun suka makan lauk ni, kan? Kebetulan sungguh,"

Pandangan Luth dan Daiyan bersabung selepas itu. Masing - masing lantas larikan tangan.

Luth kelu tak terkata, sedangkan Daiyan sudah tayang riak yang sebaliknya.

Luth pilih untuk beralah pada akhirnya. Dia isi pinggannya dengan sayur kangkung goreng belacan, sekali gus memberikan Daiyan kesempatan untuk mecedok hidangan masak lemak cili api itu terlebih dahulu.

Daiyan malas ambil pusing. Dah orang bagi laluan, guna ajelah.

Kalau ikut hatinya ini, rasa mahu sahaja dia habiskan semangkuk lauk itu, biar Luth hanya berputih mata. Lagi puas kalau Puan Daliya hanya masak cukup - cukup sahaja. Biar padan muka Luth tak dapat merasa!

Namun niat sekadar niat. Kalau direalisasikan, haruslah Daiyan bersedia tadah telinga untuk mendengar bebelan Puan Daliya kelak.

Nasi disuap ke dalam mulut sebelum dikunyah perlahan.

Tiba - tiba nafsu makan Daiyan terasa seperti dibunuh. Hendak pula apabila matanya bersabung pandang dengan wajah Luth.

Sudahnya, Daiyan hanyan menguis - nguis nasi di dalam pinggannya selepas menelan beberapa suap nasi sahaja.

"Dah kenapa pula duk main nasi tu?"

Daiyan angkat wajah selepas itu. Serta merta dia bawa tubuh bangkit menapak ke arah tong sampah untuk membuang sisa.

"Tak tahulah ibu. Tiba - tiba rasa selera mati," Itu yang Daiyan kata setelah siap mencuci pinggan yang digunakan sebelum mula mendaki tangga menuju ke biliknya. Jalannya pula menonong sahaja, langsung tidak menoleh ke belakang mahupun sekali.

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

Tuhan Akhiri DeritakuWhere stories live. Discover now