49

234 6 0
                                    


≿━━━━༺❀༻━━━━≾

Hening.

Daiyan tolak tepi rasa sakit yang kian merajai diri. Keadaan sekeliling lantas diamati.

Jujur, tak begitu pasti tempat semacam apa yang menjadi tempat kereta mereka tersadai. Cuma satu yang Daiyan dapat simpulkan daripada pandangan mata kasarnya.

Mungkin kawasan ini merupakan hutan lantaran di bahagian kiri serta kanan hanya diliputi dedaun hijau semata - mata.

"Luth?" Daiyan yang masih kekal dalam pelukan lantas bersuara. Niat mahu bertanyakan keadaan pihak yang satu lagi.

"Luth," Daiyan mencuba lagi dan entah bagaimana, tautan tubuh mereka terlepas selepas itu. Hanya tolakan yang tak seberapa, namun mampu buatkan tubuh sasa itu jatuh tersandar langsung sehingga ke kerusi pemandu.

Wajah Daiyan memucat.

Keadaan Luth, teruk.

Calar sana - sini, ada darah yang mengalir menuruni wajah menjadikan wajah yang asal kejadiannya tampan berubah berantakan.

Hati Daiyan mula berdetak tidak enak namun tak lama apabila ia sedar akan dada Luth yang masih beralun. Mujur, hanya sekadar pengsan sahaja.

Cumanya, dengan keadaan kehilangan darah yang sebegitu banyak mungkin sahaja pengsan boleh membawa kepada situasi mudarat.

Tidak mahu ambil sebarang risiko, Daiyan lekas - lekas mencapai telefon pintarnya yang berada dalam kocek seluar.

"Ish," Bibir keluarkan satu decitan apabila cubaan pertamanya temui jalan buntu dek keadaan kereta yang remuk teruk betul - betul membataskan pergerakannya.

"Ya Allah...." Daiyan merintih pula apabila cubaan keduanya tetap membuahkan hasil yang sama.

Wajah Luth dikerling lagi seketika.

Gusarnya hati usah dikata apabila perasan dada yang awalnya giat beralun kini mulai perlahan pergerakannya. Semakin pasif.

"Luth tolong. Bertahan. Please, buat demi anak kita," Serak suara Daiyan menyatakan hajatnya. Tangan yang masih bebas lantas mengusap rahang si lelaki. Salurkan kekuatan.

"Tolong...."

"Tolong...." Daiyan teruskan usaha. Berharap laungan suaranya itu mampu didengari sesiapa yang berada berdekatan.

"To..."

"Uhuk! Uhuk!" Daiyan terbatuk setelah beberapa ketika berbuat perkara serupa. Sedar, keadaan tekaknya mulai kering kala itu.

Daiyan berdehem. Ikthiar buang rasa tak nyaman yang mulai bertandang di ruang tekak. Sesekali, dia kuatkan genggaman tangannya pada Luth.

Anak mata dipicingkan seketika kemudiannya. Hatinya terdetik perasaan aneh saat menangkap kepulan asap yang tiba - tiba muncul dari badan kereta.

Oh, Daiyan tahu itu petanda yang tidak baik.

Mata diliarkan ke arah sekeliling. Cuba cari apa - apa yang dapat membantu mereka keluar daripada situasi gawat ini.

Daiyan teruskan tingkahnya sehingga matanya tertancap pada sesuatu yang berkilauan pada bahagian penumpang belakang kereta.

Telefon pintar Luth!

Berbekalkan rasa tawakal sahaja kali ini, Daiyan mulakan langkahnya dengan kalimah basmalah.

Sedar keadaan kereta menghalang hampir keseluruhan pergerakan tubuh, Daiyan lantas gunakan anggota tangannya pula.

Tuhan Akhiri DeritakuWhere stories live. Discover now