39

238 8 2
                                    

Last update before my assessment 1
(Pray for me (^.^))

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

Jaja hempas tubuhnya ke katil. Nafas dihela kasar. Bahagian lengan baju dengan rona merah jambu yang tersarung di tubuh diselak sedikit menampakkan kesan memar pada kulitnya. Jaja sentuh perlahan tempat itu dan bibirnya mula mendesis sakit kemudian.

Ini dah boleh kira kes dera ni! Jaja mula mengutuk tingkah Puan Jamilah terhadapnya barusan tadi. Tak sedar gamaknya, pokok takkan bergoyang kalau tiada angin. Kalau bukan kerana sikapnya sendiri tadi, mustahil Puan Jamilah akan berbuat demikian sebenarnya.

Jaja gulingkan tubuh beberapa kali. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Beberapa ketika melakukan perkara yang sama, akhirnya Jaja tiarapkan badan pula. Tangan naik menongkat dagu. Serta merta, ingatan Jaja melayang semula ke wajah tampan milik Luth.

Bibir mula menguntum senyum. Langsung sahaja, bisa sakit padanya tadi hilang saat terbayangkan Luth yang boleh dikatakan serba - serbi sempurna itu.

Hai, Mr. Perfect Ten!

Jaja sembamkan wajah pada bantal. Dia sorok wajah yang kala itu sudah berubah merah. Sesekali dia hamburkan jeritan di sana, ekspresikan rasa yang terbuku di dada.

Namun, rasa berbunga itu tidak bertahan lama sebaik sahaja wajah Daiyan turut mengambil tempat dalam ruang mindanya.

Wajah Jaja mengeruh. Hujung bantal yang tidak bersalah itu dia gigit, bagi melampiaskan rasa marahnya.

Masih tak boleh menerima kenyataan bahawa Luth itu sudah bergelar suami kepada Daiyan.

"Apa yang ada dekat dia yang aku tak ada?" Jaja menyoal tidak puas hati.

Puas bertiarap, kali ini Jaja bawa tubuhnya bersila.

"Apa, sebab Daiyan tu dulu model? Eleh, dapat pun sebab body figure bolehlah cerita. Aku, kalau tinggi tak terbantut dapat aje benda yang sama. Eh, silap - silap beratur berbelas agensi nak melamar. KL Fashion Week tu, tiap - tiap minggu muka aku!" Jaja masuk bakul angkat sendiri kelebihan diri.

Skrin telefon dihidupkan sebelum tangannya menekan ikon kamera. Refleksi wajah yang terpapar di skrin lantas direnung penuh minat.

"Muka pun dah eksotik. Tanned skin gitu. Silap kat tinggi je. Kalau tak, aku ni dah boleh saing - saing Haneesya Hani!" Jaja masih terus dalam dunianya.

"Dahlah limited, sense of fashion pun boleh tahan. Daiyan tu, modal dia muka Pan Asia dengan badan je. Entah - entah skil pun ke laut dalam sebenarnya!" Jaja membanding beza dirinya dan Daiyan.

Dia bingkas bangkit dari duduknya pula. Almari kayu bersaiz sederhana miliknya dibuka, menampakkan gantungan helaian baju di dalamnya. Tak lupa juga, beberapa longgokan kain yang sekadar diletakkan semata - mata.

Sehelai gaun kuning terang dicapai lalu digayakan ke tubuh. Kalau tadi wajahnya dilihat melalui skrin telefon, kini Jaja melihat pantulan tubuhnya melalui cermin solek pula.

"Ha tengok ni. Kalau pakai baju ni keluar, orang dari jauh pun boleh kenal. Kan menyerlah tu? Semua orang tahu itu Jaja. Kalau Daiyan tu, tak habis - habis dengan baju warna gelap - gelap. Eee, boring! Nak berkabung ke apa? Cuba jadi macam aku. Ceria je selalu warna," Jaja cebik bibirnya pula sebelum teruskan lagak bergaya di hadapan cermin.

"Entah - entah, abang Luth tu bukannya kahwin dengan Daiyan sebab cinta. Kahwin paksa macam dalam drama tu. Tak pun, Abang Luth kena jadi pak sanggup untuk tutup malu belah keluarga perempuan," Jaja keluarkan segala teori yang ada dalam ruang mindanya.

"Tak apa, Daiyan.... kau tunggulah. Gembira selagi boleh. Risau kalau aku dah mula langkah nanti, kau yang menangis tak berlagu sampai ke sudah!" Ucap Jaja dengan senyuman jahatnya. Bermcacam - macam rancangan sudah dirangka, tunggu masa sahaja mahu melaksanakannya.

"Jazlin Nurisma'!" Jeritan nyaring Puan Jamilah menghentikan tingkah Jaja.

Jaja menapak ke pintu bilik dengan malasnya. Dress kuning itu dilempar ke katil sewaktu sedang dalam perjalanan.

"Mak ni. Hari - hari menjerit. Tak sayang kotak suara ke?" Jaja menyoal selamba sebaik sahaja daun pintu bilik dibuka.

"Kamu tu tak sayang nyawa? Aku panggil dari tadi tak menyahut. Buat apa dalam bilik tu? Berangan pasal laki orang?" Puan Jamilah pulangkan baku buah keras dengan pakej sedang mencekak pinggang.

"Halah - halah, berangan kan percuma. Apa salahnya. Lagipun mak tahu tak orang putih kata apa? Delulu is the solulu!"

"Lulu apa, aku liku kepala karang! Buat kerja rumah pun malas, ada hati nak jadi madu orang. Aku kalau jadi Luth, sebelah mata pun tak pandang. Baik setia dekat Daiyan yang terang - terang semua cukup," Puan Jamilah lantas musnahkan angan - angan setinggi lelayang terbang milik Jaja.

"Ish, malaslah cakap dengan mak ni! Cuba sekali tu sokong apa yang anak buat," Jaja tunjuk tanda protes. Dia hentak kaki sebelum hempas pintu biliknya.

"Aku cuma suruh kau berpijak di Bumi yang nyata. Lagipun, dah kenapa aku nak sokong kau jadi peruntuh masjid orang? Eh, budak bertuah ni!"

"Jazlin, kain kat luar yang bersidai tu siapa nak kutip?! Takkan nak Maghrib baru nak bawa masuk rumah? Kau nak suruh syaitan yang tolong angkat ke apa?" Puan Jamilah ketuk daun pintu milik si anak bertalu - talu.

"Pandailah kain tu berjalan sendiri..." Acuh tak acuh Jaja menjawab.

"Ha, loyar buruk! Kamu ni, cubalah elok sikit perangai tu? Tengok Daiyan. Lemah - lembut, rajin, berbudi bahasa. Macam manalah Luth tu tak jatuh hati dekat dia? Mak yang perempuan pun suka,"

Jaja ketap bibir. Telinga ditekup dengan bantal selepas itu.

Bernanah pula telinganya saat mendengar pujian melambung - lambung yang diberikan kepada Daiyan.

BUK!

Sudahnya, sebiji patung beruang berbulu putih dengan saiz sederhana dicampak mengenai pintu untuk melepaskan rasa frustrasi yang terbuku.

Yalah, yang baik, yang molek semuanya Daiyan! Yang aib, yang jelik semua dituju kepada Jaja!

Api kebencian dalam diri semakin marak. Dendam di hati tak usah dikata, semakin membara hendaknya.

Semakin berkobar - kobar juga, semangat Jaja untuk hancur ranapkan kesempurnaan seorang Daiyan.

≿━━━━༺❀༻━━━━≾
Kadang - kadang, tanpa ibu bapa sedar, sikap banding membanding anak ini boleh membunuh dari dalam.

Tak salah menasihati, tapi jangan sampai biarkan benih iri bercambah dalam diri anak sendiri.

Tuhan Akhiri DeritakuWhere stories live. Discover now