Bab 33

120K 5.3K 309
                                    

Jam di tangan di pandang sekilas dan di pandang sekali lagi takut tersilap tengok. Eh? Dah pukul sembilan malam? Melissa memerhatikan sekali lagi jam tangannya. Pandangan matanya beralih ke arah luar bilik pejabatnya. Kosong dan hening memandangkan yang lain sudah pulang. Hanya lampu dari bilik pejabatnya saja yang menerangi ruang itu.

Terlalu leka untuk menyiapkan kerjanya sampai tidak perasan yang hari sudah lewat. Tapi itu memang sikapnya, tidak suka menangguhkan kerja. Kalau boleh nak siapkan secepat mungkin. Melissa mengemaskan barang-barangnya, tas tangannya di capai lalu suis lampu dan pendingin hawa dimatikan.

Langkahnya di atur ke arah lif, sebaik saja pintu lif terbuka terus dia masuk untuk ke tempat parking kereta di basement. Tiba saja di sana, hanya ada beberapa buah kereta sahaja di tempat parking, sudah tentu la sudah ramai yang dah balik memandangkan hari sudah lewat malam. Enjin kereta cuba dihidupkan namun ada sesuatu yang tak kena, dia keluar dari kereta dan melihat ke arah tayar kereta.

"Macam mana boleh tak ada angin pulak ni?" Melissa bertanya sendirian sambil melepaskan satu keluhan yang berat. Tayar depan sebelah kanan kereta diperhatikan, macam mana boleh tiada angin sedangkan pagi tadi elok saja.

Melissa menyeluk ke dalam beg tangannya untuk mencari telefon, namun lepas habis diselongkar tetap tidak dijumpai telefonnya. Mungkin tertinggal di pejabat, Melissa mula membuat andaian. Dia menuju semula ke lif untuk naik ke atas. Hatinya mula berasa tidak enak, rasa tak tenang makin bersarang di dalam hati. Sudah la sekarang ni Tengku Nazman dan Tengku Nadya tiada di rumah kerana ada hal yang perlu diuruskan di Kuantan.

Setibanya di bilik pejabatnya, Melissa terus mengambil iPhonenya yang berada di atas meja. Macam mana boleh tertinggal tadi sedangkan dia sudah masukkan semua ke dalam beg tangannya. Koridor yang lengang dan hanya bermandikan lampu di hujung sekali disusuri, tiba-tiba saja bulu romanya naik menegak. Ditambah lagi dengan keadaan di luar sana yang mula hujan renyai-renyai, makin bertambah rasa takutnya. Dah la sekarang ni dia berseorangan.

Melissa memejamkan matanya di saat lampu di hujung koridor tiba-tiba terpadam. Perlahan-lahan di buka matanya, hanya kegelapan yang menyapa pandangan matanya, peluh dingin mula terbit di celah rambutnya. Melissa kembali mengatur langkahnya, tiba-tiba laluan koridor menuju ke lif rasa macam panjang semacam. Langkahnya terhenti tatkala ada tangan yang menyentuh bahunya. Bukan ke dia seorang sahaja yang ada di sini? Dia pasti yang dia seorang saja yang belum pulang memandangkan keadaan yang gelap.

Matanya dipejamkan apabila terasa tangan itu mula menyentuh bahunya yang sebelah lagi, jantungnya sudah mula mula memainkan peranan, berdegup dengan laju. Bisikan halus empunya sepasang tangan itu memanggil namanya membuatkan nafas Melissa mula turun naik, menggigil satu badannya.

Tetapi kenapa suara itu macam pernah dia dengar? Macam sudah terbiasa pada pendengarannya? Bunyi ketawa dari belakangnya membuatkan Melissa perlahan-lahan menoleh ke belakangnya.

"Surprise!" Tengku Aiden berkata selepas melihat wajah pucat Melissa yang sedang memandang ke arahnya. Dilihatnya Melissa hanya kaku di situ dengan linangan air mata yang sudah mengalir.

"Melissa," panggil Tengku Aiden perlahan apabila melihat Melissa yang sudah mula terduduk. Alamak!

"Saya main-main je tadi." Tengku Aiden sudah mula duduk sekali dengan Melissa, sepasang bahu itu sudah mula terhinjut-hinjut menyembunyikan tangisan. Rasa bersalahnya makin menebal apabila tangisan halus mula kedengaran.

"Mel, jangan la nangis," pujuk Tengku Aiden perlahan. Tubuh isterinya itu dirangkul erat ke dalam pelukan. Aduh! Berdrama kat koridor pejabat la pulak kali ni. Nasib baik tiada orang. Ketika melihat Melissa masih lagi khusyuk dengan kerja, terus terbatal niatnya untuk pulang. Perancangan di atur untuk mengenakan Melissa macam tiga tahun lepas.

Beautiful Lies Where stories live. Discover now