Bab 65

102K 5.3K 559
                                    

"Sebagai manusia kita jangan terlalu memuja dan menjadi hamba kepada cinta sesama makhluk. Wajar kita saling mencintai sesama manusia tapi ada batasnya juga."

Tengku Aiden teringat kembali kata-kata ustaz yang memberi ceramah selepas solat Isyak di sini tadi. Mengenai cinta sesama manusia yang punya batasan. Apa yang terjadi kepadanya sekarang ni berpunca kerana ini, kerana terlalu mengejar cinta sesama manusia.

Dia akui ada silapnya juga di sini kerana berikan harapan. Sharifah Ezryna kata dia beri harapan melalui caranya, Mia pula kata dia beri harapan dengan janji sepuluh tahun yang lalu. Padanya perkara sebegitu nampak remeh tapi bagi insan bernama perempuan itu bukan perkara biasa.

Walaupun layanan yang diberikan seperti adik sendiri tapi Sharifah Ezryna menganggap itu lembaran baru kepada permulaan kisah percintaan mereka. Manakala harapan melalui janji di buat sepuluh tahun ketika masih bersekolah masih diingati Mia hingga sekarang dan bekas isterinya itu ingin janji itu terlaksana. Dia sendiri pun sudah melupakan janji itu tapi Mia masih lagi ingat sampai sanggup melakukan perkara syirik.

Dan dia juga terlampau mengejar cinta seorang Melissa Sofia. Sampaikan kadang-kadang dia terleka dan lupa yang cinta di dunia ini tidak akan kekal selamanya.

"Aiden." Tangan yang menyentuh bahunya membuatkan Tengku Aiden menoleh ke sisi. Senyuman diberikan buat Syafiq.

Syafiq yang banyak membantunya selama dia berada di bawah pengaruh sihir. Ketika dia berjauhan dengan Mia buat pertama kali, rasa gelisah dan tak tenang hadir dan orang yang pertama dia cari adalah Syafiq. Pulang saja ke ibu kota masa tu, Syafiq membawanya ke sini untuk berjumpa dengan seorang ustaz dan bermula dari situ dia mula menjauhi Mia.

"Ustaz Badri mana?" Tanya Syafiq lalu mengambil tempat duduk di sisi Tengku Aiden di dalam masjid itu.

"Dia dah balik agaknya." Tengku Aiden menjawab, matanya melilau mencari orang yang Syafiq maksudkan.

Ustaz Badri yang banyak membantunya pulih. Dengan izin Allah dia kembali menemui ketenangan yang dicari, tiada lagi rasa seperti kehilangan dan jauh dari sesuatu.

"Terima kasih, Fiq." Tengku Aiden mengucapkan rasa terima kasihnya pada Syafiq.

"Macam mana kau boleh tahu Mia buat semua tu?"

"Bukan aku yang mula-mula syak Mia buat semua tu tapi Nadya," kata Syafiq. Segalanya bermula apabila Tengku Nadya mula menceritakan gerak hatinya.

"Nadya?"

"Nadya tu walaupun marah dengan kau tapi dia masih lagi sayangkan kau. Dia kata masa ada family gathering Mia tu akan kecualikan makanan untuk kau. Nadya kata dia nampak yang Mia masukkan sesuatu, mula dari tu dia mintak tolong aku." Syafiq menceritakan kembali ketika Tengku Nadya datang berjumpa dengannya.

"Entah apa dia bagi aku makan," ujar Tengku Aiden dengan suara yang lirih.

"Lepas tu apa jadi?" Dia bertanya lagi.

"Aku pasang spy intip Mia. Apa yang Nadya rasa tu semua betul, tambah lagi adik-adik kau selalu mengadu pasal kau." Syafiq menyambung lagi ceritanya.

"Teruk sangat ke aku dulu Fiq?"

"Teruk sangat. Lagi teruk dari perangai setan kau masa kita belajar dulu. Hahaha." Syafiq cuba mengawal tawanya memandangkan mereka berada di masjid. Nasib baik jemaah sudah lama balik.

"Kau je yang melebih-lebih ni." Tengku Aiden jeling ke arah Syafiq.

"Betul la. Tak percaya tanya family kau dengan staff Panglima."

Tengku Aiden hanya menggelengkan kepalanya. Kepalanya ditundukkan lalu jarinya mula mengurut dahinya. Dia langsung tak ingat apa yang terjadi, seolah-olah ada yang mengawal tubuh badannya dan dia pula berada dalam keadaan separuh sedar. Benda terakhir dia ingat adalah ketika dia heret Melissa keluar dari rumah.

Beautiful Lies Where stories live. Discover now