R A Y A 4

2.8K 151 19
                                    

"Irah, tolong Nek Wan ambikkan balang-balang kuih raya kat stor belakang. Senang, lepas buat kuih dan tunggu sejuk boleh terus masuk dalam balang," kata Nek Wan. Dia masih bertelekung putih lagi. Mungkin ingin menunggu waktu masuk solat Isyak. Malam ni tak dapat nak pergi sertai tarawikh berjemaah, sebab nak buat kuih raya. Mampu tarawikh kat rumah ajelah. Tambahan pula malam ini malam terakhir untuk solat tarawikh kalau lusa diumumkan hari raya secara rasmi.

Zafriel Adrian pula entah ke mana dia. Kejap ada, kejap hilang. Mungkin tengah bersiap nak solat tarawikh kut. Zafrina pula sibuk siapkan assignment. Yalah, orang nak raya, mana boleh biar assignment tak siap. Nanti tak pasal-pasal tak feel raya tu sebab fikir assignment tak siap lagi.

Iman Nadhirah mencapai kerusi apabila melihat balang-balang kuih itu disimpan di dalam plastik besar di sebuah rak, tingkat paling atas. Plastik besar berisi balang itu diambil. Baru saja tangan ingin capai, dia memegang kepala yang terasa berdenyut-denyut. Argh, sakit balik kepala ni!

Entah macam mana, dia hilang keseimbangan. Tubuhnya ringan saja jatuh ke bawah. Mata Iman Nadhirah pejam erat. Takut ingin jatuh.

Belum sempat lantai menyambut, ada sepasang tangan menyambut tubuhnya. Laju Iman Nadhirah membuka mata. Terkebil-kebil dia melihat wajah suaminya.

Zafriel Adrian membantu Iman Nadhirah berdiri semula. "Dah tau tinggi tu, mintaklah tolong orang lain. Ish, kau ni pun!" Lelaki itu mencapai plastik berisi balang kuih yang ingin diambil Iman Nadhirah itu. Disebabkan tubuhnya tinggi, dia tidak perlukan pertolongan kerusi yang diambil isterinya tadi.

Maaf, kerusi. Suami saya tak nak guna awak, dia nak saya je! Bisik hati Iman Nadhirah memandang sayu kerusi itu.

Eh?

Zafriel Adrian menghulurkan plastik itu. "Nah!"

"Kau tak pergi solat Isyak jemaah ke? Tadi baru je dengar azan." Tambah pelik apabila melihat suaminya masih berbaju T dan seluar trek.

Zafriel Adrian geleng. "Rasa tak sedap badanlah. Ada minyak angin tak?"

"Kenapa tak mintak Nek Wan?"

"Dia tengah baca Quran tadi. Malas aku nak kacau."

"Oh, ada. Nanti aku ambik. Kau pergilah solat dulu."

Zafriel Adrian mengangguk. Dia berlalu dari situ. Iman Nadhirah memandang belakang tubuh suaminya. Dia perasan wajah lelaki itu macam pucat, tak sihat. Keningnya berkerut-kerut.

Demam ke?

Iman Nadhirah masuk ke bilik tidur selepas meletakkan balang-balang kuih di atas meja dapur. Dia lihat Zafriel Adrian terlelap di atas katil. Sebiji bantal menutup wajahnya. Nampak hidung dan mulut saja. Dadanya berombak perlahan tanda dia bernafas tenang.

Iman Nadhirah mencari minyak cap kapak yang disimpan dalam sling bagnya. Sebaik sahaja jumpa, dia mendekati suaminya itu. Dilabuhkan duduk di birai katil sebelah Zafriel Adrian yang tidur. Bantal yang menutup wajah lelaki yang disayanginya itu diangkat letak tepi. Tangan dilekapkan pada dahi lelaki itu ingin mengesan suhu.

Tak ada pula panas.

Bahu Zafriel Adrian digerakkan sikit. "Zafriel, bangun."

Perlahan-lahan mata Zafriel Adrian terbuka. "Hmm..."

"Kau sakit apa ni? Salah makan ke?"

"Entah. Pening kepalalah. Tadi pun aku dah siap muntah sekali. Kalau aku salah makan, kau pun mesti kena jugak."

Hmm... ya tak ya juga. Zafriel pun bukannya ada makan kat luar pun, makan kat rumah Nek Wan juga, gumam Iman Nadhirah dalam hati. "Nah, ni minyak angin! Kau nak apa-apa tak?"

Hero Troublemaker (edited)Where stories live. Discover now