Bab 1

1.5K 105 8
                                    

Salji turun menyelimuti bumi Suwadi dengan kedinginan yang mencengkam hingga ke tulang hitam. Kelihatan seorang pemuda sedang bersantai di laman rumahnya sambil merenung langit. Mulutnya terkumat-kamit melafazkan zikir, memuji kebesaran Ilahi atas segala nikmat kurniaan-Nya.

"Assalamualaika ya paman," ujar Saif apabila merasakan ada seseorang yang sedang berdiri di belakangnya.

Rafael membalas salam suci itu sambil menguntumkan senyuman tipis. Dia melabuhkan punggungnya di sisi Saif di atas buaian. Bahu Saif yang kembali khusyuk berzikir disentuh.

"Apakah Saif sudah bersedia?" Soal Rafael sambil turut mendongak merenung langit petang.

Saif terdiam seketika. Zikirnya terhenti. Esok, dia akan meninggalkan Rafael bagi menyambung pengajian di Akademi Irsul Muta'afif atau lebih dikenali sebagai AIM.

AIM merupakan sebuah akademi bertaraf dunia yang terletak di Tanah Lazuardi. Sistem pengajian di AIM yang agak berbeza jika dibanding dengan sekolah-sekolah lain menjadikan akademi itu mempunyai keunikan tersendiri dan menjadi impian setiap anak muda di negara-negara Kesatuan Durrah.

"Entahlah paman. Berat rasanya hati ini untuk meninggalkan paman sendirian. Sudahlah Saif tidak mampu pulang ke sini selalu," bicara Saif. Lembut sekali suaranya. Wajahnya dipalingkan agar menghadap ke arah Rafael yang sedang merenung langit. Wajah tua itu kelihatan begitu tenang sekali.

"Hah! Tak sangka orang tua ini punya seseorang yang merisauinya," gurau Rafael sambil menampar bahu Saif.

Berkerut wajah Saif sambil mengaduh kesakitan. Walaupun tamparan Rafael perlahan, namun bisanya terasa menyucuk uratnya. Sememangnya insan yang telah dianggap datuknya sendiri itu masih kekal bertenaga walaupun usianya sudah mencapai hampir seabad.

"Usah bicara begitu paman. Pamanlah insan yang paling Saif sayang selepas Saif kehilangan ayahanda dan bonda. Andai tidak kerana kemuliaan hati paman, tak mungkin Saif masih mampu bernafas sehingga saat ini," balas Saif sambil mengusap bahunya perlahan. Sakit ditepuk Rafael masih terasa.

Rafael tersenyum manis sambil memandang wajah Saif. Wajah anak muda itu saling tidak tumpah seperti ayahandanya. Cuma, warna anak mata Saif berwarna hazel cair berbanding dengan mata ayahandanya yang berwarna coklat kehitaman umpama biji buah mata kucing.

Diusap rambut hitam lebat milik Saif dengan penuh kasih sayang. Sudah remaja rupanya anak asuhannya ini. Lansung dia tidak sedar bahawa lima belas tahun telah pun berlalu dengan begitu pantas. Meninggalkan hari semalam yang sarat dengan suka dan duka.

Saif hanya memerhati tingkah Rafael yang agak berbeza tingkahnya dari hari-hari lalu. Jelas ada takungan air mata yang bergenang di tubir mata lelaki itu. Ada rasa sayu yang disembunyikan. Namun dia enggan bertanya. Memberi ruang kepada pamannya untuk melayan perasaan.

Rafael berhenti mengusap kepala Saif. Dia menarik tangan Saif lalu digenggam lembut. Dia berdehem perlahan. "Ingat, jika ada sesiapa yang bertanyakan soal ayahanda dan bonda Saif..."

"Katakan bahawa Saif tidak pernah mengenali mereka melainkan sekadar nama," potong Saif.

Rafael mengecilkan matanya memandang Saif. Geram apabila bicaranya disampuk sebegitu.

Saif tertawa tanpa suara. "Paman, siapa ayahanda dan bonda sebenarnya?" Soalnya di penghujung tawanya. Dia merenung wajah Rafael dengan pandangan yang penuh mengharap.

Sejak dahulu, Rafael tidak pernah bercerita tentang ayahanda dan bondanya. Dibuat bermacam cara, namun Rafael tetap setia mengunci mulutnya.

Kadang-kadang dia tertanya sendirian, mengapa Rafael begitu berat untuk membuka mulut.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now