Bab 42

447 62 0
                                    

Mata Tuan Haidhar dipakukan ke wajah Saif yang sedang nyenyak lena dibuai mimpi. Tanpa sedar, tangannya mengelus pipi Saif lembut. Sedetik itu juga, rindu yang tenang terpendam selama ini mula membadai jiwanya. Inilah anakandanya, anakandanya yang terpisah belasan tahun lalu. Lama dia mendambakan saat ini muncul, dan akhirnya doanya termakbul jua.

"Ayahanda..?"

Saif tersedar dari lenanya. Dia segera meninggikan bantalnya sebelum mengesotkan sedikit tubuhnya ke arah kepala katil. Dia duduk dalam keadaan bersandar agar lebih selesa untuk berbual.

"Maafkan ayahanda kerana membuatkan Saif terjaga," ujar Tuan Haidhar dalam nada sedikit kesal. Tangannya dialihkan dari pipi Saif.

Saif menggeleng. "Tak mengapa. Kenapa ayahanda belum tidur?" Soal Saif prihatin. Jam dinding yang setia berdetik dikerling sekilas. Hari sudah jauh larut malam.

Tuan Haidhar melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Tangan Saif diraih seraya digengam erat. "Saja...ayahanda ingin melihat Saif sebelum ayahanda pulang ke rumah Keluarga Emir. Baru tenang sedikit hati ayahanda," balas Tuan Haidhar sambil tersenyum nipis.

"Ayahanda jangan risau. Saif baik-baik sahaja di hospital ini. Ada tabib Rayyan dan Kesatuan Durrah yang lain yang akan menjaga Saif," pujuk Saif sambil menepuk kekura tangan ayahandanya.

"Ayahanda tahu, cuma... alangkah baiknya jika ayahanda mampu menebus masa yang hilang selama lima belas tahun ini. Ayahanda ingin curahkan semula kasih yang tak pernah ayahanda berikan kepada Saif," luah Tuan Haidhar.

Saif mengukir senyuman. "Segala yang berlaku sentiasa ada hikmahnya, ayahanda. In sha allah. Anakanda sendiri tak pernah salahkan ayahanda dan bonda. Cuma anakanda sedikit sedih kerana tidak berpeluang untuk mengenali bonda. Maka, tak usahlah ayahanda menyalahkan diri sendiri," pujuk Saif. Mata hitam Tuan Haidhar yang pekat bersinar dipandang. Kagum sebentar dia tatkala melihat mata ayahandanya. Cantik.

"Benarkah Saif mimpikan bonda?" Soal Tuan Haidhar ingin tahu. Sungguh dia turut merindui wanita itu. Satu-satunya wanita yang berjaya menambat hatinya. Jodoh mereka singkat, perjalanan cinta mereka tak mudah, tetapi in sha allah berkekalan hingga ke syurga. Hanya seorang Yasmin Raihanah untuk seorang Haidhar Emir.

Saif mengangguk. "Ayahanda, cantikkan bonda? Umpama melihat bidadari. Melihat sinar keimanan yang terpancar pada wajah bonda, Saif lansung tak menyangka bahawa bonda juga pernah memiliki kehidupan yang kelam seperti paman Rafael," ujar Saif, sengaja ingin menduga reaksi ayahnya.

Tuan Haidhar tertawa kecil. "Itu bidadari ayahanda, mestilah cantik," balasnya sambil mengusap rambut Saif.

Senyuman Saif kian melebar. Bahagia, itu sahaja perkataan yang mampu menafsirkan perasaannya sekarang. Dia tak pernah menduga, satu hari dimana dia mampu berbual santai dengan ayahandanya seperti sekarang. Sungguh dia amat bersyukur. Tak putus-putus hatinya melaungkan tahmid.

"Ayahanda, terima kasih kerana sudi mendermakan hati ayahanda untuk anakanda," ungkap Saif sambil meletakkan tangannya di sisi pinggangnya. Terasa bekas jahitan di situ biarpun berlapikkan pakaian.

Tuan Haidhar menarik tangannya yang mengengam tangan Saif. Dia beralih posisi duduknya ke birai katil Saif. Dia turut menyandar pada kepala katil. "Saif ialah satu-satunya permata hati ayahanda dan bonda yang dianugerahkan Allah buat kami. Selagi ayahanda mampu, selagi itu ayahanda akan menjaga Saif. Ayahanda tidak akan mengalah biarpun ayahanda pernah gagal sekali," ujar Tuan Haidhar. Bahu Saif dipeluk lalu dia membaringkan kepala Saif di bahunya. Ingin memanjakan anaknya.

Saif tersenyum lebar sambil memeluk pinggang ayahandanya. Tepukan perlahan Tuan Haidhar pada bahunya membuatkan dia terbuai. Matanya kian memberat sebelum dia tertidur di bahu ayahandanya. Melihat Saif yang kembali lena, Tuan Haidhar mengukir senyuman nipis. Dia bangkit tanpa melepaskan pegangannya pada bahu Saif lalu membaringkan tubuh pemuda itu di katil semula. Dia menarik selimut Saif sehingga ke paras dada. Dahi anaknya dikucup penuh kasih sayang sebelum dia beredar dari wad itu.

-----------------------------------------------------------

"Abang Haidhar," panggil Tuan Rasyid.

Tuan Haidhar yang sedang menutup pintu pantas berpaling. Dia melemparkan senyuman manis buat adiknya itu. Dia menghampiri Tuan Rasyid yang sedang melabuhkan punggungnya di sofa ruang tamu. Dia memilih untuk duduk di hadapan adiknya itu.

"Abang dari mana?"

"Berjalan-jalan di sekitar AIM ini. Tak banyak perkara yang berubah walaupun sudah lima belas tahun berlalu," ulas Tuan Haidhar. Dia membuang pandangannya ke luar jendela. Melihat Masjid al-Mukhzirin yang tidak jauh dari rumah Keluarga Emir.

Tuan Rasyid merenung wajah abangnya. Tampak jelas pada wajah Tuan Haidhar bahawa lelaki itu merindui AIM. Lima belas tahun bukan satu jangka masa yang singkat. Tambahan pula, dia tahu betapa besarnya cinta Tuan Haidhar pada AIM ini.

"Rasyid ingin tanya sesuatu pada abang?" Soal Tuan Haidhar. Wajah Tuan Rasyid sekadar dipandang dengan ekor mata.

Tuan Rasyid sedikit tersentak. Laju dia mengalihkan pandangannya. Malu ditangkap merenung wajah abangnya sendiri. Dia berdehem perlahan, cuba mengusir rasa malunya itu.

"Kalau madu katakan madu, tidak hamba tersalah harga, kalau rindu katakan rindu, tidak hamba tersalah duga," usik Tuan Haidhar sambil berpantun. Dia tersenyum nakal.

"Siapa rindu siapa?" Soal Tuan Rasyid pura-pura tidak mengerti.

"Rasyid. Rindu. Abang," balas Tuan Haidhar, menyebut satu-persatu perkataan itu. "Kalau tidak, kenapa Rasyid merenung abang dari tadi?"

"Pandang bukan sebarang pandang, pandangan hamba punya makna, jika tuan seorang abang, mengapa tuan tinggal disana?" Balas Tuan Rasyid sambil berpantun juga. Bertanya kenapa abangnya tak pernah pulang selama ini.

Tuan Haidhar berpaling memandang Tuan Rasyid. "Rasyid rasa?" Tuan Haidhar membalas dengan soalan.

"Rasyid sudah mengenali abang lama. Tetapi untuk mengetahui apa yang abang fikirkan bukan kepakaran Rasyid. Rasyid nak tahu, kenapa abang tak pernah balik selama ini?"

Tuan Haidhar tersengih. "Rasyid rasa?"

Tuan Rasyid mengetap bibirnya. "Abang!" Ujarnya dalam nada merengek.

Pecah ketawa Tuan Haidhar melihat gelagat adiknya itu. "Janganlah marah," pujuknya sebelum kembali ketawa.

Tuan Rasyid menjeling wajah Tuan Haidhar garang sebelum dia menghela nafas perlahan. Sehingga sekarang dia sukar untuk mempercayai bahawa abangnya itu masih hidup. Tetapi, lihatlah dari sudut mana pun, nyata bahawa lelaki di hadapannya itu ialah Tuan Haidhar yang sebenar. Bukan penyamar.

"Hal itu biarlah menjadi rahsia abang. Yang penting sekarang abang telah pulang bukan?" Ujar Tuan Haidhar.

"Pembetulan. Abang bukan pulang ke sini, abang cuma ingin melihat Saif. Kalau Saif tak parah, abang mesti tak akan pulang. Rasyid tahu, selepas Saif sihat, abang akan pergi semula".

Tuan Haidhar mengangkat keningnya. Nyata, adiknya takut kehilangannya sekali lagi sehingga terlebih fikir. Hampir bibirnya menarik senyuman namun segera dikawal. "Di sini bukan lagi tempat abang," selamba Tuan Haidhar membalas.

"Bagaimana dengan Saif? Bukankah abang mahu dia membesar di AIM?"

"Dia tetap akan berada di sini. Abang tak akan merampas haknya untuk berada bersama keluarga dan sahabat-sahabatnya yang lain. Lagipun dia lebih selamat di sini".

"Tetapi kita baru sahaja berjumpa kembali. Abang juga baru sahaja berjumpa dengan Saif. Sampai hati abang..."

Tuan Haidhar tidak bersuara. Dia berdiri lalu beredar masuk ke bilik lamanya. Sempat dia menepuk bahu Tuan Rasyid beberapa kali sebagai tanda memujuk. Malas hendak menerangkan yang dia tak akan bersembunyi lagi kerana dia enggan memberi harapan kepada adiknya, kepada ahli-ahli Kesatuan Durrah yang lain. Perhitungannya dengan Blackwest masih belum selesai. Dan diantara dia dan Blizzard, dia tak tahu siapa yang akan terselamat setelah semua ini tamat.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now