Bab 36

400 62 1
                                    

Wind merebahkan tubuh Saif dengan berhati-hati di atas katil usang. Dia merenung Saif yang masih belum sedar sehingga sekarang. Walhal pemuda itu hanya terkena renjatan elektrik sahaja. Tetapi kenapa wajah Saif semakin lama semakin pucat? Apakah Saif mempunyai sakit yang dia tidak tahu?

"Wind..." Panggil Ice tatkala melihat lelaki itu di luar kabin kapal.

"Terus menuju ke AIM. Aku takut-takut bekas seksaan aku dahulu mula memberi kesan pada tubuhnya. Aku minta maaf atas apa yang aku lakukan dahulu. Kerana aku, Saif menderita. Aku menyesal..." Luah Ice.

Wind menepuk bahu lelaki itu perlahan untuk menenangkan Ice. Dia faham mengenai perasaan lelaki itu. Ice melihat tubuh kaku Saif sekilas sebelum mengiringi langkah Wind menuju ke bahagian atas kapal.

"Kau pasti tidak mahu mengikut kami?" Pelawa Wind. Dia tak sanggup meninggalkan Ice yang baru hendak berubah itu sendirian di Blackwest. Risikonya terlalu tinggi. Lebih-lebih lagi jika Blizzard mengetahui bahawa lelaki itu telah membantu mereka melepaskan diri. Ice pasti akan dibunuh.

"Jangan salah faham. Aku tak berniat untuk mengkianati Blackwest. Aku cuma membantu kalian atas dasar kemanusiaan. Kalau aku mati, biarlah aku mati di sini...sebagai warga Blackwest. Itu kebanggaan aku," balas Ice.

Wind memandang sayu ke arah teman lamanya itu. Dia tahu bagaimana kerasnya hati seorang Ice. Tak mungkin dia dapat mengubah pendirian Ice yang satu itu. Ice sudi membantu mereka pun dia sudah bersyukur sangat. Cuma sayang, Ice enggan memeluk Islam dan menyertai mereka yang lain.

"Baiklah jika itu yang kau mahukan. Terima kasih atas segalanya. Aku tak akan lupakan budi kau selagi hayat masih dikandung badan. Hati-hati," sempat Wind berpesan saat Ice mula menuruni tangga kapal.

Ice melompat lalu mendarat cantik ke atas jeti. Dia hanya tersenyum nipis. Tangannya diangkat tinggi melambai kepada Wind saat kapal mula bergerak. Wind membalas lambaian itu. Dia melihat Ice merenungnya lama sebelum lelaki itu masuk semula ke dalam keretanya. Lelaki itu memandu meninggalkan jeti.

"Tuan Wind...pewaris cahaya dan kabus! Dia muntah darah!" Lapor salah seorang kelasi kapal itu dalam nada cemas. Dia menyaksikan kejadian itu secara kebetulan saat dia melintasi bilik Saif.

Mata Wind terus membulat. Kelam-kabut dia mengekori kelasi itu menuju ke bilik Saif. Tangannya menekup mulut tatkala melihat Saif terbaring di atas lantai berlumuran darah. Sisa darah juga masih kelihatan di mulutnya.

Wind kembali mengangkat tubuh Saif. Dia semakin cemas melihat wajah Saif yang semakin pucat tak berdarah. Nadi Saif juga semakin lemah.

"Katakan kepada nakhoda kapal agar menggunakan kelajuan maksimum. Kita sudah tak punya banyak masa lagi!" Arah Wind, separa menjerit.

"Tetapi Wind. Jarak Blackwest dengan Tanah Lazuardi memakan masa". Kelasi itu cuba membantah.

"Aku tak kira! Yang aku tahu, dia harus selamat. Cepat!" Marah Wind. Dahulu Light pernah menyelamatkannya, kini gilirannya untuk menyelamatkan anak Light. Dia berjanji akan mengembalikan Saif ke AIM hidup-hidup.

------------------------------------------------------

Furqan sibuk merenung kosong papan hitam yang dipenuhi contengan-contengan formula dan nota ringkas Guru Tiryaq. Apa yang sedang diterangkan oleh gurunya itu lansung tidak masuk kepalanya. Ibarat kata pepatah, 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri'.

"FURQAN RAHMAN BIN SOLIHIN!"

Sebiji kapur malayang tepat menuju ke dahinya. Lamunan Furqan bersepai. Kepalanya sedikit tertolak ke belakang akibat tujahan keras kapur itu. Terus dia memandang depan sambil mengosok dahinya yang merah.

Dia menelan air liur saat melihat wajah menyinga Guru Tiryaq. Tekaknya terasa kesat. Dalam hati, dia memarahi diri sendiri. Siapa suruh cari pasal termenung di dalam kelas. Kan sudah terkena! Dengan Guru Tiryaq pula itu.

"Sudah sampai ke mana?" Meremang bulu romanya mendengar suara garang Guru Tiryaq. Furqan segera berdiri lalu menundukkan sedikit kepalanya.

"Maafkan saya guru..." Pinta Furqan dalam nada kesal.

Guru Tiryaq hanya mengangguk kecil sebelum mengarahkan Furqan kembali duduk. Dia menyambung kelas semula.

Furqan menarik nafas lega. Dia bersyukur kerana Guru Tiryaq tidak memanjangkan amarahnya. Dia mengeluarkan buku nota dan alat tulisnya. Kali ini, dia menumpukan perhatian sepenuhnya. Tidak ingin pisang berbuah dua kali. Serik! Guru Tiryaq terlalu menakutkan!

-----------------------------------------------------------

"Furqan! Sila tunggu sebentar manakala yang lain boleh pulang," arah Guru Tiryaq di penghujung kelas.

Nafas Furqan seakan terhenti. Tangannya yang sibuk mengemas alat tulisnya menjadi kaku. Sahabat-sahabatnya yang lain hanya mampu memandang simpati sebelum mereka cepat-cepat keluar dari kelas. Tak pasal-pasal nanti, mereka yang menjadi mangsa seterusnya.

"Duduk sini," arah Guru Tiryaq lagi sambil mengetuk-getuk kerusi dihadapannya dengan menggunakan sebatang rotan panjang.

Sekali lagi Furqan menelan air liurnya. Tekaknya terasa berpasir. Mahu atau tidak, lambat-lambat dia duduk dikerusi itu. Dia dan Guru Tiryaq hanya dipisahkan oleh sebuah meja. Kepalanya ditundukkan. Tahu dia salah.

"Furqan...saya tahu kamu risaukan Saiful Emir tetapi kamu tak boleh terus begini. Makan tak lalu, dalam kelas tidak tumpukan perhatian..Andai Saif melihat keadaan kamu sekarang ini, dengan pipi cengkung, mata sembab. Cuba kamu bayangkan perasaannya? Hidup kena teruskan. Bukan Saif seorang sahaja yang ada dalam hidup kamu..." Nasihat Guru Tiryaq. Lembut sahaja nadanya. Jauh dari bayangan Furqan. Tak ubah seperti teguran seorang ayah kepada anaknya.

Bisu.

Itu reaksi biasa Furqan sejak akhir-akhir ini. Walaupun pelik melihat Guru Tiryaq yang tiba-tiba membangkitkan isu itu, Furqan kekal menunduk. Guru Tiryaq mengeluh melihat perubahan ketara anak muridnya itu. Tiada lagi sinar keceriaan yang terpancar pada wajah cerah pemuda itu. Wajahnya suram sepanjang waktu. Bukan dia seorang yang menyedari perubahan itu, tetapi ramai lagi.

Kerana diam bukanlah gaya seorang Furqan.

"Furqan...saya faham perasaan kamu. Malah teramat faham. Saya juga pernah merasai erti kehilangan. Bangkitlah semula dari kesakitan itu Furqan. Saya tahu kamu cukup kuat. Kamu tak bersendirian, ramai lagi yang mendoakan siang dan malam agar Saif selamat ditemui semula".

"Jika kamu yang hanya seorang sahabat sudah berduka sebegini, cuba bayangkan jika kamu berada di tempat Keluarga Emir? Saif seorang sahaja yang menjadi penawar rindu mereka kepada Tuan Haidhar. Belum sempat mereka mencurahkan kasih sayang mereka kepada Saif, Saif terlebih dahulu menghilang dari pandangan mereka. Kesakitan yang mereka alami itu jauh lebih sakit dari kamu tetapi mereka tetap tabah meneruskan hidup. Mereka menyembunyikan kelemahan dan memperlihatkan kekuatan mereka. Belajarlah dari mereka, Furqan..." Sambung Guru Tiryaq lagi.

Buat kali pertamanya Furqan mengangkat kepalanya. Pandangan berkacanya menikam tepat anak mata Guru Tiryaq. Semakin sayu Guru Tiryaq melihatkan anak muridnya.

"Saif bukan sekadar sahabat saya..." Ujar Furqan dalam nada sebak. "Dia ibarat abang saya sendiri... Dia juga tanggungjawab saya. Amanah yang saya tak mampu tunaikan dengan baik... Kerana kelemahan saya, Saif menderita. Saya berdosa kepadanya..." Luah Furqan sebelum air matanya mula gugur dengan lebat. Bahunya turut terhinjut-hinjut mengikut rentak tangisannya.

Sungguh dia takut kehilangan Saif. Apa yang dimimpikannya sebelum ini cukup menakutkan sehingga membuatkan hatinya menjadi rapuh. Harapan tinggal harapan. Usaha mencari Saif berada di jalan buntu. Seakan-akan pemuda itu telah lenyap dari muka bumi ini tanpa sebarang kesan.

Guru Tiryaq bangun dari duduknya seraya mendakap tubuh Furqan erat. Tangannya mengusap belakang pemuda itu lembut, bagai seorang ayah yang sedang memujuk anaknya yang berduka. Walaupun dia seorang yang garang tetapi jauh di sudut hati, dia tetap menyayangi semua anak muridnya.

Mereka istimewa di matanya...

Walau siapa pun mereka.


AIM-Akademi Irsul Muta'afifDonde viven las historias. Descúbrelo ahora