Bab 5

551 78 3
                                    

Tuan Ammar merenung langit malam yang dihiasi jutaan kerlipan bintang yang memagari sang rembulan purnama. Keindahannya mampu memukau setiap mata yang memandang namun tetap tak mampu menenangkan hatinya yang gundah. Pemandangan indah itu hanya mampu direnung kosong olehnya.

Wajah anak muda yang ditemuinya minggu lalu bermain di tubir mata, menyebabkan dia termenung jauh ke dalam kenangan lama. Sejak hari itu, tiada satu saat pun berlalu tanpa dia teringatkan wajah itu.

Wajah yang hampir-hampir dilupakan olehnya setelah sekian lama. Yang dahulunya dekat dihatinya dan jua hati isterinya.

Tuan Ammar menghela nafas perlahan, jiwanya benar-benar terasa serabut. Fikirannya buntu untuk menafsirkan apa yang dilihatnya itu merupakan sebuah kenyataan atau khayalan semata. Dia telah pun memeriksa semua maklumat penuntut Nilam baru yang mendaftar di AIM minggu lalu.

Hanya satu nama itu yang menarik perhatiannya...

Saiful Emir.

Malangnya maklumat yang ada hanya sekadar sepotong namanya tanpa disertaikan nama ayahnya. Jua kelas, bilik dan usrah yang dia ditempatkan. Saiful Emir yang berwajah persis kenalan lamanya itu berada di kelas Mawar, sebilik dengan putera sulung Sultan Faizan Rafiq dan anak usrah Zamir, adik angkatnya.

Maka buat masa ini, hanya pada Zamir dia boleh dapatkan maklumat yang dikehendakinya. Tetapi Zamir tiada di AIM pada masa ini. Bagaimana dia hendak menyoal siasat adik angkatnya itu?

"Assalamualaikum abang," sapa satu suara yang tidak asing di telinganya.

Salam dibalas sambil Tuan Ammar membetulkan posisi duduknya di atas sofa. Matanya memandang adik iparnya yang sedang mengambil tempat di sofa tunggal dihadapannya. Rambut depan adik iparnya kelihatan sedikit lembab. Mungkin kesan wudhuk memandangkan ketika dia lalu dihadapan bilik lelaki itu tadi, Tuan Rasyid sedang mengalunkan bacaan al-quran.

Tuan Rasyid membalas pandangan Tuan Ammar dengan merenung wajah Tuan Ammar yang kelihatan sedikit cekung dan pucat. "Abang ada masalah? Sejak akhir-akhir ini, Rasyid lihat abang selalu termenung. Makan pun tak berselera. Kenapa?" Soal Tuan Rasyid prihatin.

Tuan Ammar diam seribu bahasa. Dia menundukkan pandangan, enggan bertentang mata dengan adik iparnya. Serba salah dia untuk menceritakan perihal penuntut Nilam yang misteri itu. Takut seandainya luka lama kembali berdarah. Sedangkan dia tahu, bukan sedikit masa yang diambil untuk menyembuhkan luka hati lelaki itu.

"Rasyid...aa..ada...de..de...dengar" Ah! Sukarnya untuk dia terus berbicara. Lidahnya terasa berbelit untuk meluahkan apa yang tersirat dalam hatinya. Wajah ingin tahu Tuan Rasyid dijeling sekilas. Bertambah-tambah rasa serba-salahnya.

"Rasyid ada dengar khabar angin yang sedang meluas ke seluruh AIM sejak akhir-akhir ini?" Akhirnya, keluar juga ayat yang diaturnya sejak tadi.

Wajah Tuan Rasyid berubah walang. Kepalanya ditundukkan. "Dengar..." iyanya pendek. Baru kini dia mengerti, mengapa sukar sekali untuk Tuan Ammar memulakan bicara.

Dia sendiri, walaupun sudah tahu khabar angin itu sejak awal lagi, tetapi dia tetap tak punya kekuatan untuk menyiasat perkara itu. Dia takut untuk berdepan dengan kebenaran yang mungkin akan merobekkan hati yang baru ingin sembuh.

Tuan Ammar memandang simpati kepada adik iparnya. Nampaknya dia salah, adik iparnya telah lama tahu perkara itu. Cuma didiamkan dan kehidupannya dijalankan seperti biasa.

"Abang pernah terserempak dengan dia. Abang menyangka abang bermimpi. Senyumannya...tak ubah seperti senyuman Haidhar. Senyuman manis yang lahir ikhlas dari hati. Senyuman yang mampu menenangkan hati setiap insan yang melihat. Begitu juga dengan wajahnya yang seiras benar dengan Haidhar. Abang rasa seakan-akan Haidhar telah kembali ke sini semula," luah Tuan Ammar.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now