Bab 17

431 68 0
                                    

    Zamir menarik nafas panjang. Setelah mengambil masa untuk bertenang, barulah dia mengetuk pintu sambil mengucapkan salam. Kedengaran salamnya dibalas sebelum suara di dalam mengarahkannya masuk. Zamir melihat Memoir miliknya. Ada pesanan ringkas dari Rafael memberitahu bahawa dia telah sampai di Pulau Mutiara. Hanya tinggal untuk menjejakkan kaki di AIM sahaja pada bila-bila masa.

    Pesanan itu hanya dibiar tanpa berbalas. Rafael pasti tahu di mana nak mencarinya nanti. Zamir memulas tombol pintu sebelum dia melangkah masuk ke bilik mesyuarat. Matanya bersua dengan pandangan dua orang Keluarga Emir. Tanpa membuang masa, Zamir segera mengambil tempat di hadapan mereka.

    "Bagaimana keadaan Saif?" Soal Tuan Ammar memulakan bicara.
  
    "Baik. Dia telah stabil. Bila-bila masa sahaja dia akan mula sedarkan diri," jelas Zamir lancar tanpa rasa gugup biarpun jantungnya berdegup hebat.

    "Benarkah Saif diserang oleh Blackwest?" Tanya Tuan Rasyid pula.

    Perlahan-lahan Zamir mengangguk. Dia menundukkan kepala dengan rasa bersalah. Tuan Rasyid mengeluh. Ini rupanya maksud perasaan tidak sedap hatinya tempoh hari. Sangkanya itu hanya kesan dari mimpi ngerinya. Tetapi rupanya Saif benar-benar dalam bahaya.

    "Kenapa Blackwest memburu Saif?"

    Zamir mencengkam penumbuknya erat. Perasaan bersalah semakin mencengkam jiwanya. Hampir-hampir air mata penyesalannya tumpah. "Maafkan Zamir, abang Ammar...abang Rasyid," kata Zamir tiba-tiba. Kepalanya disembamkan diatas meja berlapikkan kedua-dua lengannya.

    Tuan Ammar dan Tuan Rasyid saling berpandangan. Mereka pelik melihat Zamir tiba-tiba menangis. Lalu, mereka bangkit seraya menghampiri anak angkat Keluarga Emir itu. Bahu Zamir dipeluk mesra.

    "Kenapa ini Zamir?" Tuan Rasyid menyoal. Nadanya tidak lagi kedengaran tegas sebagaimana kebiasaannya setiap kali berbicara dengan ahli Kesatuan Durrah. Nadanya kini kedengaran prihatin sebagai seorang abang.

    Zamir mengangkat mukanya yang telah basah dihujani air mata. "Sudah lama Zamir pegang rahsia ini, sudah hampir lima belas tahun," ujar Zamir sayu. "Zamir mengaku...Zamir yang memasukkan nama Saif dalam senarai Nilam yang terpilih memasuki AIM tahun ini. Abang nak tahukan, kenapa wajah Saif begitu mirip dengan abang Haidhar?"

    Serentak Tuan Ammar dan Tuan Rasyid mengangguk. Pelukan mereka pada bahu Zamir dilepas. Memberi ruang untuk Zamir bercerita dengan selesa. Mereka menarik kerusi di tepi Zamir lalu duduk mengelilingi pemuda itu. Bermakna kini, mereka duduk dalam bulatan kecil.

    "Saif ialah anak kandung abang Haidhar. Satu-satunya putera abang hasil perkahwinannya dengan seorang wanita ketika abang menghilangkan dirinya enam belas tahun lalu," jelas Zamir.

15 tahun lalu....

    Zamir termenung sendirian di puncak bukit di belakang AIM. Sudah genap dua tahun abang angkatnya menghilang. Tiada jejak, tiada kesan. Tanpa khabar, tanpa pesanan. Malah, abang Rasyid yang mengantikan tempat abang Haidhar selaku pengerusi Kesatuan Durrah telah menutup kes abangnya. Bukan mereka terlalu mudah berputus asa, tetapi mereka lebih memerlukan ahli-ahli Kesatuan Durrah dalam perkara lain yang jauh lebih penting. Selaku Keluarga Emir, mereka tidak boleh mementingkan diri.

    Tiba-tiba hidungnya menangkap bau wangian yang cukup dikenalinya. Bau wangian itu semakin kuat sehingga dia terasa bahunya ditepuk perlahan. Hampir-hampir jantungnya melompat keluar akibat terkejut. Zamir memakukan diri tanpa menoleh. Cuak memikirkan situasi itu. Sudahlah hari sudah lewat malam.

    Kedengaran suara serak-serak basah itu melafazkan salam. Zamir mengerutkan dahi. Masakan hantu memberi salam? Tanpa sedar, Zamir menoleh ke belakang. Matanya terbeliak luas melihat Tuan Haidhar sedang berdiri tenang dibelakangnya ditemani tiga orang manusia yang asing di matanya. Seorang wanita muda dan seorang lelaki tua. Dalam dukungan wanita itu, kelihatan seorang bayi yang amat comel sedang nyenyak tidur.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now