Bab 22

407 66 1
                                    

    Bilik itu sunyi sepi biarpun ramai manusia sedang 'berkampung' di situ. Furqan merebahkan kepalanya di atas katil Fathul. Matanya terasa memberat setelah seharian dia menjaga sahabatnya yang sakit itu sendirian. Selepas waktu isyak tadi baru muncul orang lain yang melawat Fathul.

    Zamir memandang Saif yang tidak beriak dikerusinya. Pemuda itu kelihatan tenggelam dalam dunianya sendiri. Zamir mengalihkan pandangannya ke arah Furqan. Senyap sahaja dua sahabat itu sejak tadi. Ketiadaan Fathul yang selalu menceriakan suasana dengan gurau sendanya memang terasa perbezaannya. 

    Tak tahu apa yang hendak dilakukan di situ, Zamir bergerak mendekati tabib Rayyan dan Sultan Faizan Rafiq yang sedang asyik berbincang disofa yang disediakan khas buat pelawat di dalam wad itu.

    Tak bentah untuk terus berhadapan dengan suram wajah Saif dan diamnya seorang Furqan.

    "Bagaimana keadaan mangsa lain?" Kedengaran suara Sultan Faizan Rafiq menyoal saat Zamir ingin melabuhkan duduk.

    "Masih tiada perubahan. Semua masih belum sedarkan diri seperti tuan putera. Tetapi alhamdulillah pada hari ini tiada mangsa baru yang dilaporkan," jelas tabib Rayyan dalam nada mendatar.

    "Maknanya ini bukan wabak seperti kes terdahulu," ujar Zamir pula. "Siapapun dalangnya, mereka bijak mencerobohi Pasar Awam untuk meracuni segala bahan mentah disana. Sedangkan unit Penjaga AIM telah mengawal ketat tempat itu," sambungnya lagi.

    "Kalau kerja orang dalam, kalian tiada mengesyaki sesiapa?" tanya Sultan Faizan Rafiq.

    Serentak Zamir dan Tabib Rayyan menggeleng.

    Sultan Faizan Rafiq terdiam. Dia merenung tubuh kaku Fathul dari kejauhan. Sebagai seorang ayah, hatinya pilu melihat keadaan puteranya itu. Kemudian matanya terancap pula pada Furqan yang matanya sedang terpejam rapat.

    Sekali imbas, kelihatan seolah-olah pemuda itu sedang tidur dalam keadaan duduk dengan berbantalkan katil Fathul. Walhal, pemuda itu hanya memejamkan mata bagi merehatkan diri.

    Entah kenapa, dia terasa bagai pemuda itu sedang menyembunyikan sesuatu dari mereka semua.

    Sesuatu yang dia tak mampu tafsirkan...

    "Kesian mereka bertiga bukan?" Luah tabib Rayyan yang perasan pandangan Sultan Faizan Rafiq terhadap Fathul.

    "Saya pun rasa begitu. Saif baru keluar hospital, tiba-tiba Fathul pula yang masuk. Selepas seorang, seorang kena. Jangan selepas ini Furqan pula terkena sudah," sambung Zamir menyokong kenyataan tabib Rayyan.

    Tabib Rayyan terus menyiku bahu Zamir. "Hishh, kenapa cakap macam itu. Setiap kata-kata itu doa. Zamir jangan lupa yang Zamir naqib mereka. Jangan dibuatnya makbul doa itu, Zamir juga yang menyesal," tegur tabib Rayyan. Walaupun kata-katanya tegas, nada yang digunakannya tetap lembut.

    "Astaghfirullahalazim," Zamir beristighfar perlahan. Dia baru sedar yang dia terlepas cakap.

    Tiba-tiba Furqan bangun. Dia melemparkan senyuman tawar sambil membongkokkan sedikit badannya saat melintasi mereka semua untuk ke pintu. Tabib Rayyan dan Zamir berpandangan.

    Furqan terdengarkah perbualan mereka tadi?

    "Itu orang selalu pesan, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Mahu tak terasa hati budak itu bila Zamir doakan benda tak baik untuk dia," tegur Tabib Rayyan.

    Zamir meraup wajahnya kesal. "Zamir pergi pujuk dia sekejap," ujar Zamir seraya bangun meninggalkan wad itu demi mengejar langkah Furqan. Risau dia andai Furqan benar-benar makan hati dengan kata-katanya.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now