Bab 9

479 73 0
                                    

Zamir termenung jauh sambil memeluk lutut. Pakaiannya yang basah disimbah ombak hanya dibiarkan. Sengaja dia memilih untuk duduk disitu. Bermain dengan air laut bagi menenangkan hatinya yang bercelaru.

"Assalamualaikum, abang".

"Waalaikumussalam wa rahmatullahi wa barakatuh. Fathul, kenapa kamu berada disini? Bukan sekarang waktu kelas ke?" Soal Zamir tatkala melihat Fathul mengambil tempat disisinya. Seperti dirinya, Fathul juga duduk memeluk lutut. Punggungnya dibiarkan basah ditenggelami air laut.

Fathul ketawa kecil. "Abang, sekarang sudah masa rehatlah. Abang buat apa disini kalau abang kata sekarang waktu kelas? Abang ponteng ya?" Gurau Fathul.

Zamir tersenyum nipis. Penuntut istimewa seperti dirinya memang tidak perlu ke kelas. Selama ini, Fathul hanya mengenali dirinya sebagai Zamrud sedangkan itu bukan kenyataannya. Dia adalah seorang Berlian, iaitu perintis Kesatuan Durrah. Dia telah lama menamatkan pengajiannya di AIM dan kini dia sedang dilatih menjadi ahli Kesatuan Durrah sehingga dia benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab besar itu. Bukan sengaja dia merahsiakan dari pengetahuan anak usrahnya itu, cuma dia lebih selesa menjadi seorang Zamrud dimata mereka.

"Fathul ni...suka eh kenakan abang. Emm, mana yang lain?" Soal Zamir.

Fathul menjongketkan bahunya. "Entah. Mungkin mereka balik ke bilik. Fathul bukan sekelas dengan mereka, abang. Manalah Fathul tahu tentang dua manusia itu kalau masa kelas".

"Dan kenapa Fathul berada disini pula? Tak nak makan tengahari ke?"

"Entah. Tiba-tiba rasa nak ambil angin laut. Lagipun hari ini Fathul puasa sunat," beritahu Fathul.

"Ohh, rajin anak buah abang ini puasa. Bagus-bagus, bertuah abang ada anak buah seperti Fathul ini," puji Zamir bangga. Dia menepuk bahu Fathul mesra.

"Saif yang ajak sebenarnya. Fathul memang tak rancang nak puasa. Tetapi untung juga, dapat pahala lebih," jelas Fathul lebih lanjut.

Dia tersenyum sendirian mengenangkan wajah mencuka Furqan apabila diajak berpuasa semalam. Bukan pemuda itu tak mahu, tetapi sengaja mengada lebih. Mahu melihat sejauh mana Saif memujuk. Tetapi kerana tak tahan mendengar rengekan mengada Furqan itu, terus dia mencabar Furqan untuk masak sendiri jika tidak mahu ikut puasa. Terus diam budak itu. Mustahil Furqan akan masuk dapur untuk memasak walaupun sekadar menjerang air.

Zamir terdiam seketika. Teringatkan perbahasan antara dia dan Tuan Ammar mengenai Saif malam tadi. Dia tahu bahawa Tuan Ammar tiada niat untuk meraguinya. Cuma lelaki itu terlalu berhati-hati dan mudah berprasangka memandangkan Blackwest sentiasa menggunakan taktik licik untuk mengenakan mereka. Tetapi, apa yang mengecewakan dirinya adalah Tuan Ammar seakan meragui dia. Sudah lama dia menjadi ahli Keluarga Emir, takkan Tuan Ammar masih tidak mengenali dirinya? Dia sayangkan keluarga itu tetapi apa balasan yang diterimanya?

"Abang, abang ada masalahkah?" Soal Fathul tiba-tiba. Pelik dia melihat gelagat Zamir hari ini. Wajah pemuda itu tampak berserabut.

"Tak ada apa-apalah. Abang baik-baik sahaja," balas Zamir. Malas nak mengingat kembali pergaduhannya dengan Tuan Ammar.

"Abang, Fathul nampak yang abang ada masalah sekarang. Fathul tak buta lagi. Tetapi nak buat macam mana, abang tak nak buka mulut. Siapalah Fathul inikan?" Umpan Fathul. Sengaja dia menggunakan nada sedih.

Zamir mencebik. Faham sangat dengan taktik anak buahnya itu. Dia memandang wajah Fathul yang sedang menundukkan kepala itu. "Fathul ialah Fathul lah. Fathul Adzfar bin Faizan Rafiq," selamba Zamir membalas sambil tersengih.

"Abang ini....itu Fathul pun tahu," rengeknya.

"Sudah tahu kenapa tanya?"

"Hishhh, abang sengaja buat tak fahamkan? Merajuklah macam ini".

Pecah ketawa Zamir melihat Fathul memuncungkan mulutnya. Kedua-dua tangan pemuda itu kini disilangkan di dada. Kakinya dilunjurkan diatas pepasir itu menyebabkan kakinya ditenggelami air laut. Fathul sedikitpun tidak menunjukkan rasa peduli dengan seluarnya yang telah basah itu.

"Ala, janganlah merajuk wahai adik kesayangan abang ini. Senyumlah sedikit. Baru awet muda," usik Zamir sambil jarinya menyucuk pipi Fathul.

Fathul mengukir senyuman lebar sehingga menampakkan gigi. "Hehehe, iyalah. Tak nak Fathul nampak tua diusia semuda ini. Tapikan abang, Fathul nak abang tahu bahawa Allah tidak pernah memberikan masalah kepada hamba-hamba-Nya tanpa jalan penyelesaian. Hidup adalah ujian untuk menilai sejauh mana kita mampu bersabar sepanjang kembara kehidupan ini. Hanya yang bersabar akan berjaya".

"Senang cakap, tetapi susah nak amalkan dalam kehidupan seharian," gumam Zamir perlahan. Kemudian dia kembali tersenyum. "Abang tak apa-apalah. Cuma terasa sedikit sahaja dengan seseorang yang abang sayang," sambung Zamir. Nada suaranya semakin lama semakin perlahan. Dia mengeluh sambil melarikan pandangannya dari tatapan Fathul.

"Abang, kadang-kadang seseorang itu tak berniat pun nak menyakitkan hati kita. Kira adatlah dalam sesuatu perhubungan jika berlaku pergaduhan. Langit tak selamanya cerah. Namun mendungnya awan, membawa hujan dan bukankah hujan itu rahmat? Datanglah petir, guruh, ribut dan apa-apa pun tetapi sampai satu saat, hujan itu akan berhenti sendiri dengan kehendak Allah lalu wujudlah pelangi indah. Tengoklah Fathul dengan Furqan sendiri. Hari-hari kami bergaduh, sepanjang masa kami bertekak sampai Saif pun pening nak melayan. Tetapi akhirnya kami akan berbaik semula. Sebab kalau sudah namanya keluarga, air yang dicincang tak akan putus. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga," nasihat Fathul dengan panjang lebar.

Senyuman Zamir kembali manis. "Terima kasih Fathul," ujar Zamir. Dia memeluk bahu pemuda itu erat.

"Hal kecil sahaja abang. Emm abang, Fathul pinta diri dahulu".

Fathul menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Zamir. Tangan Zamir dicium tanda hormat. Kemudian, dia bergerak pergi. Zamir hanya mengekori langkah pemuda itu dengan anak matanya. Belum sempat bayang Fathul hilang dari pandangannya, dia menangkap sesusuk tubuh yang sedang melangkah kearahnya dari arah bertentangan dengan Fathul. Zamir mengeluh sekali lagi. Namun, dia tidak pula melarikan diri. Ditunggu Tuan Ammar menghampirinya.

"Assalamualaikum, Zamir," sapa Tuan Ammar dalam nada mendatar.

Zamir diam. Salam Tuan Ammar hanya dibalas dalam hati. Dia kembali membuang pandangannya ke arah laut.

Tuan Ammar menghela nafas perlahan. Dia sudah menduga reaksi pemuda itu. Salahnya kerana meragui Zamir hanya kerana seorang pemuda asing. Dia merapati Zamir sehingga dia berada betul-betul dibelakang pemuda itu. "Zamir, abang..."

"Zamir minta maaf abang," ujar Zamir sambil menoleh ke belakang. Wajah sayu Tuan Ammar menghiasi ruang pandangannya.

Tuan Ammar terpempam seketika sebelum bibirnya menarik senyuman lebar. Dia melutut diatas hamparan pasir itu seraya mendakap tubuh Zamir erat. Dalam diam, dia mengucapkan syukur kepada Allah kerana Zamir sudi memaafkan dirinya.

"Zamir ada pengakuan yang Zamir nak beritahu abang," ujar Zamir sambil meleraikan dakapan itu. "Sejujurnya, memang Zamir yang memasukkan Saif ke sini. Zamir tahu segala latar belakang dia dan kenapa mukanya begitu mirip dengan abang Haidhar. Tetapi sekarang belum masanya untuk Zamir menjelaskan segalanya kepada abang. Zamir cuma meminta satu perkara sahaja dari abang. Boleh abang tunaikan?"

Tanpa ragu-ragu Tuan Ammar mengangguk. Dia dapat melihat kejujuran yang terbias di kolam mata Zamir. Dia tahu, Zamir punya alasan tersendiri. Jadi, dia hanya perlu percaya. Tak mungkin Zamir akan mengkianati kepercayaannya. Sepanjang dia mengenali Zamir, tingkah Zamir banyak mengikut jejak Tuan Haidhar. Mereka suka menyimpan rahsia, suka bertindak sendiri tetapi hasilnya tetap membanggakan. Setiap kali bertindak, mereka telah menimbang baik buruk keputusan itu.

"Tolong terima kehadiran Saif disini. Dia perlu berada disini kerana dunia luar terlalu bahaya untuk dia. Hanya di sini dia akan selamat. Maka, apa salahnya jika abang membantu melindungi satu nyawa yang tidak berdosa ini?"

"Baiklah, jika itu yang Zamir mahukan," akur Tuan Ammar. Janji tetap janji. Lagipun, jauh disudut hatinya, dia dapat merasakan ikatan halus yang terbentuk antaranya dengan Saif. Terasa bagai dia bertanggungjawab untuk melindungi pemuda itu walaupun identiti pemuda itu masih misteri dimatanya.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now