Bab 50

412 60 0
                                    

Tuan Rasyid meneliti peta Pulau Mutiara yang terpampang besar pada skrin hologram itu dengan riak yang serius. Tangannya mengusap dagu sambil akalnya ligat berfikir.

Dia pasti Blackwest tidak akan menyerah kalah begitu sahaja. Jika jaringan Tuan Haidhar itu menghalang serangan mereka, pasti akan diatur beberapa rancangan lain sebagai ganti. Maka dia, selaku Ketua Kesatuan Durrah harus bijak meneka rancangan mereka jika dia mahu terus mempertahankan tanah tumpah darahnya ini.

"Di setiap kapal perang Blackwest, ada sepuluh bot kecil yang digunakan bagi melepaskan diri," ujar Yasir, salah seorang unit Penjaga dalam Kesatuan Durrah.

"Tapi dalam keadaan ini, bot itu mungkin digunakan bagi tujuan melakukan serangan hendap," sambung Tuan Rasyid yang memahami apa yang hendak disampaikan oleh lelaki itu. Sebatang kayu panjang diangkat lalu menunjuk kawasan laut di mana Blackwest berada sekarang. Dapat dirasakan semua mata yang berada dalam bilik itu mengikut pergerakan kayu itu.

"Berkemungkinan besar mereka akan menyusup masuk melalui kawasan ini". Batang kayu itu dialihkan ke arah kiri lalu dibulatkan kawasan itu.

"Tuan pasti? Bukankah itu kawasan bukit itu curam. Bagaimana mereka hendak memanjat naik?" bantah Khalil, seorang unit Penjejak Kesatuan Durrah dalam nada terkejut.

Tuan Ammar memandang lelaki itu. "Mengenali Blackwest, mereka akan mempunyai seribu satu helah untuk memusnahkan kita. Dan saya tak akan terkejut jika mereka cuba melakukan sesuatu untuk mengalihkan perhatian Tuan Haidhar kamu untuk mendedahkan dirinya kepada mereka," balas Tuan Ammar bagi pihak adik iparnya.

"Ya benar. Sememangnya abang mempunyai perhatian tajam," sampuk satu suara yang cukup dikenali mereka itu.

Semua di situ tercari-cari bayangan Zamir, namun pemuda itu tidak kelihatan dimana-mana. Hanya suaranya yang kedengaran.

"Tak usahlah mencari Zamir. Zamir tak ada pun di sana," ujar Zamir.

"Apa maksud Zamir yang mereka cuba mengalihkan perhatian Tuan Haidhar?" soal Afkar ingin tahu.

Kedengaran bunyi nafas Zamir melatari suasana sunyi itu sebelum suara Zamir kembali bergema. "Mereka cuba mengawal Saif untuk bunuh abang Haidhar tetapi malangnya tidak berjaya. Dan sekarang, jejak abang Haidhar hilang dari pemerhatian Zamir. Mungkin dia marah benar apabila mereka menyentuh Saif sekali lagi," jelas Zamir.

Tuan Ammar dan Tuan Rasyid saling berpandangan. Sungguh berita itu mengejutkan mereka. Begitu juga Kesatuan Durrah yang lain. Hanya dua perkara yang terlintas di fikiran masing-masing. Tuan Haidhar dan Saif.

"Ke mana Tuan Haidhar pergi?"

"Bagaimana keadaan Saif sekarang?"

Serentak Tiryaq dan Tuan Rasyid berbicara.

"Saif baik-baik sahaja. Cuma dia masih pengsan selepas dikenakan renjatan elektrik oleh abang Haidhar. Mengenai abang Haidhar pula, mungkin dia mencari Blizzard sekarang. Siapa tahu.."

"Dia gila ke?!" Kali ini Tuan Ammar dan Afkar pula serentak menyuarakan ayat yang sama tetapi membawa maksud yang berbeza. Tuan Ammar terkejut mendengar Tuan Haidhar merenjat anaknya sendiri tetapi Afkar terkejut mendengar Tuan Haidhar bergerak sendirian ke tempat Blackwest. Baginya, tindakan itu sama dengan mencari maut walaupun dia tahu bahawa Tuan Haidhar pernah melakukan perkara yang jauh lebih berisiko dari itu.

Tuan Rasyid mengurut dahinya. Seperti biasa, Tuan Haidhar selalu melakukan perkara yang diluar dugaan mereka. Jika Tuan Haidhar mencari Blizzard sekarang, maka tanggungjawab melindungi AIM kembali ke tangan mereka. Tak mungkin abangnya mampu melakukan semua perkara dalam satu masa.

"Abang, aturkan unit Penjaga di kawasan perbukitan sebagai langkah berjaga-jaga. 'Ifwat, saudara dan unit saudara terus perhatikan keadaan di kedua-dua pihak. Dan Zamir, abang nak tahu apa pesanan yang abang kesayangan Zamir suruh sampaikan kepada abang," arah Tuan Rasyid.

Kedengaran bunyi Zamir ketawa perlahan membuatkan mereka yang lain kehairanan kecuali Tuan Rasyid.

"Abang memang bijak meneka. Sememangnya abang layak memegang jawatan Ketua Kesatuan Durrah ini".

"Zamir! Sempat lagi Zamir bergurau pada masa ini?!" marah Tuan Ammar dengan suara yang jelas sedang menahan geram. Sangkanya Zamir cuba menipu mereka.

"Zamir tak menipu abang. Kedua-dua berita yang disampaikannya itu benar," bela Tuan Rasyid. "Zamir, cepat katakan. Jangan main-main lagi".

"Abang sudah boleh lepaskan kapal-kapal kita dengan syarat tiada sesiapa yang dibenarkan naik ke kapal itu. Dan kapal-kapal dari Suwadi dan Ryukyu Neo sedang dalam perjalanan menuju ke sini," lapor Zamir. Nada suaranya kembali serius.

"Baiklah. Abang faham. Selepas subuh nanti abang laksanakan rancangan itu," balas Tuan Rasyid. Keluhan nipis terhembus dari mulutnya. Entah bagaimana abangnya menggerakkan angkatan dari Suwadi dan Ryukyu Neo tanpa persetujuannya selaku Ketua Kesatuan Durrah. Malas hendak memikirkan perkara itu, dia hanya mengikut rentak yang ditunjukkan oleh abangnya itu sahaja.

"Abang Ian, boleh abang merawat Saif sementara menanti subuh tiba?" pinta Tuan Rasyid sambil memalingkan kepalanya ke arah lelaki itu.

"Sudah menjadi tanggungjawab saya selaku seorang tabib. Kalau begitu, saya pinta diri dahulu," ujar tabib Rayyan seraya berdiri. Sempat dia mengucapkan salam dan berjabat tangan dengan semua yang berada di situ sebelum meninggalkan bilik itu.

Laju langkahnya membawa dia ke Balai Besar. Sampai dihadapan pintu balai itu, dia meletakkan tapak tangannya di bahagian tengah pintu itu. Sejalur cahaya biru muncul sebelum mengimbas cap jari dan iris matanya. Setelah proses itu selesai, pintu itu terbuka dengan sendiri lalu tertutup sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke dalam Balai Besar itu.

Dia terus mencari kelibat ketiga-tiga anak buah Zamir itu. Jumpa. Kelihatan Furqan dan Fathul sedang duduk bersila disisi Saif yang tidak sedarkan diri. Dia terus menghampiri mereka sambil mengucapkan salam.

Dilihat wajah pucat Saif sambil tangannya membuka beg yang berisi alat keperluannya untuk merawat Saif. Simpati. Itu sahaja yang mampu dia ungkapkan melihatkan keadaan Saif. Tak sudah-sudah pemuda itu menjadi mangsa angkara persengketaan antara Blackwest dengan Kesatuan Durrah. Diserang, diculik, diseksa sehingga hampir meragut nyawanya dan kini...mereka cuba mempergunakannya pula.

"Saif bertuah kerana mempunyai sahabat yang setia seperti kalian. Yang setia berada disisinya walaupun itu menyebabkan nyawa kalian terancam. Sungguh, saya cemburu dengan Saif," ujar tabib Rayyan seusai memeriksa keadaan Saif.

Furqan dan Fathul tersenyum tawar.

"Tidak, kami yang lebih bertuah kerana diberi peluang oleh Allah untuk mengenalinya. Kerana Saif sendiri bersahabat dengan kami semata-mata kerana Allah, maka kami membalasnya dengan perkara yang sama," balas Fathul.

"Benar. Tak mudah untuk mencari sahabat seperti Saif. Saif sentiasa menjaga kami umpama seorang abang yang penyayang. Maka, tiba masa untuk kami menjaganya pula," sambung Furqan. Membuatkan tabib Rayyan semakin bertambah kagum.

-----------------------------------------------------------

Tuan Haidhar berdiri sendirian dalam sebuah kabin kosong. Kelihatan beberapa tubuh kaku bergelimpangan di atas lantai selepas tewas di tangannya. Dia tak membunuh mereka, hanya memengsankan mereka sahaja. Benar jangkaannya, Blizzard awal-awal lagi telah melarikan diri. Yang ada di kapal itu hanya tentera-tentera bawahan yang ditugaskan untuk menjaga kapal.

Tuan Haidhar keluar dari kabin dengan langkah yang tenang. Derapan kakinya memijak lantai kayu yang usang jelas kedengaran dicelah-celahan nyanyian ombak yang tak pernah sunyi itu. Tajam matanya memerhatikan kapal-kapal lain disisinya. Seperti kapal ini, kapal lain juga kelihatan sepi. Bot-bot kecil yang selalunya tergantung disisi kapal turut tidak kelihatan.

"Kau tak pernah mengambil pengajaran Blizzard. Bukankah aku sudah mengatakan, sekali lagi kau menyentuh keluarga aku, Pedang Lazuardi akan memusnahkan kau. Kau bernasib baik kerana belum menemui Pedang Lazuardi. Andai Pedang Lazuardi bangkit, aku jamin kau tak akan selamat," gumam Tuan Haidhar sendirian. Nada suaranya kedengaran begitu dingin. Seakan menahan amarah yang telah lama terkurung dalam hatinya.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifDonde viven las historias. Descúbrelo ahora