Bab 30

441 68 0
                                    

"FURQAN RAHMAN BIN SOLIHIN!!!"

Terus tangan Furqan yang sedang memulas tombol pintu terhenti saat memdengar jeritan yang memetir itu. Dia tersengih melihat wajah menyinga Fathul yang sedang berjalan laju menuju ke arahnya. Di belakangnya, kelihatan tabib Rayyan sedang melangkah tenang sambil mengeluh lega.

"Saudara pergi ke mana?!"

"Assalamualaikum Fathul...tabib Rayyan," sapa Furqan dalam nada ceria yang dibuat-buat.

Wajah Fathul semakin menyinga. Kasar sahaja dia membalas salam itu manakala tabib Rayyan menahan gelak melihat riak Fathul. Sejak bertemu dengan Fathul dan Furqan, mereka berdua tidak pernah gagal dari menceriakan harinya dengan pergaduhan manja mereka.

"Hah, sekarang cepat beritahu ke mana saudara pergi? Disebabkan saudara, saya dan tabib Rayyan terpaksa bertawaf satu hospital semata-mata hendak mencari budak hilang. Penat tahu tak!" Rungut Fathul.

Furqan membeliakkan matanya tidak puas hati. Ada ke patut sahabatnya itu menggelar dia sebagai 'budak hilang'. Terasa macam kanak-kanak nakal yang sedang dimarahi ibunya akibat bermain sorok-sorok seorang diri pula.

"Baguslah kalau begitu. Turunlah sedikit berat badan saudara itu. Barulah Tanah Lazuardi mempunyai putera yang kurus nan segak. Betul tak, tabib Rayyan?" Selamba Furqan membalas.

Giliran Fathul menjegilkan matanya. Baru dia hendak membalas sebelum kata-katanya dipotong dengan tawa besar tabib Rayyan. Pantas dia menoleh memandang tabib Rayyan dengan mulut terlopong. Terkejut melihat tabib Rayyan yang baginya seorang yang pendiam itu ketawa sebegitu.

"Patutlah Zamir suka benar bercerita tentang usrahnya. Setiap kali dia bercerita, pasti ada sinar kebahagian yang terpancar pada matanya. Dan sekarang, baru saya memahami mengapa Zamir bisa jatuh cinta pada kamu semua," ujar tabib Rayyan.

"Abang Zamir jatuh cinta pada kami?" Furqan memandang tabib Rayyan dengan riak terkejut. Tangannya ditekup pada mulut sambil matanya terbeliak luas.

Terus belakang tubuhnya menjadi mangsa tamparan Fathul. "Bukan jatuh cinta yang antara lelaki dengan perempuan itu!. Maksud tabib Rayyan, abang Zamir jatuh sayang kepada kita sebagai keluarga".

Furqan tersengih lebar sambil mengosok belakang bahunya yang sakit. "Saya tahulah. Sengaja nak bergurau, tak akan tak boleh?" Balas Furqan dengan mulut yang dimuncungkan.

Tabib Rayyan kembali tertawa. Sungguh dia kagum melihat kemesraan yang terpancar pada persahabatan mereka berdua.

Erat.

Padanlah Zamir menggelar mereka sebagai 'tiga kembar tidak sedarah' setiap bercerita tentang mereka. Tetapi sayang...Saif tiada bersama mereka kini.

"Saya harap Saif akan segera ditemui. Semoga Allah memelihara keselamatannya walau dimana pun dia berada," ujar Tabib Rayyan.

Suasana berubah sepi. Furqan dan Fathul menundukkan kepala masing-masing. Nama Saif bagaikan satu kepantangan bagi mereka. Kerna dia yang bergelar sahabat, tiba-tiba menghilang dari sisi tanpa mereka sedari. Pasti mereka terasa kekosongan walaupun mereka masih ada antara satu sama lain.

Tabib Rayyan sedikit terkedu saat menyedari bahawa dia tersalah membuka topik. "Maafkan saya kerana mengingatkan kalian kepada dia".

Furqan menggeleng sambil tersenyum tawar. Tangannya kembali memulas tombol pintu wadnya. "Tak mengapa. Kami sememangnya sentiasa mengingati Saif. Setiap nafas terhembus adalah doa buatnya yang bersendirian di sana. Terima kasih kerana sudi mendoakannya, tuan tabib," balas Furqan seraya menjemput tabib Rayyan masuk.

"Fathul?" Tegur Tuan Ammar yang tiba-tiba muncul di belakang Fathul ketika dia hendak turut masuk ke dalam wad Furqan.

Fathul berpaling seraya mengukirkan senyuman manis. Pintu wad itu ditutup kembali. Dibiar Furqan dan tabib Rayyan berduaan di dalam wad itu. Dia tunduk menyalami tangan Tuan Ammar. "Tuan melawat ayahanda ke?" Soal Fathul.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifOù les histoires vivent. Découvrez maintenant