Bab 7

509 78 3
                                    

Masjid al-Mukhzirin dibina daripada batu-bata tanah liat yang berbentuk enam segi seperti sarang lebah. Cuma, batu-batunya padat dan tidak berongga. Lantainya pula diperbuat daripada batu marmar berwarna biru jernih umpama air laut yang tenang manakala dindingnya berwarna biru lazuardi yang bersinar cemerlang dalam kegelapan. Terpampang beberapa ayat-ayat suci al-quran menghiasi sekeliling permukaan dinding masjid yang dilakar mengunakan cat berwarna kuning keemasan. Di bahagian tengah tempat solat, tergantung sebuah lampu kristal gergasi yang dikelilingi puluhan lampu kristal kecil diselangi kipas disekitar bumbung masjid.

Di satu sudut masjid, kelihatan Saif sedang mengaji al-quran. Suaranya perlahan namun merdu dan menusuk kalbu setiap insan yang mendengar. Dibelakangnya, kelihatan pula Furqan yang sedang enak bersandar pada tiang masjid. Bibirnya rancak mengalunkan zikir sambil tangannya mengulit biji tasbih. Sesekali, matanya dilarikan memandang ke satu arah.

Sudah lama masa berlalu sejak iman memberi salam terakhir selepas memimpin solat isyak berjemaah tadi. Furqan dan Saif memilih untuk terus beriktikaf di masjid sedangkan kebanyakan penuntut lain telahpun pulang ke bilik masing-masing. Mereka menanti Tuan Ammar yang sedang khusyuk membaca al-quran tidak jauh dari mereka.

Saif menghentikan bacaannya apabila pahanya ditepuk lembut oleh Furqan. Furqan sudah melutut disisinya sambil mengerakkan kepalanya menunjuk ke arah Tuan Ammar. Saif menoleh mengikut isyarat kepala Furqan. Kelihatan Tuan Ammar telah selesai beribadah dan kini beliau sedang bergerak meninggalkan ruangan solat.

Segera Saif menutup al-quran wakaf itu lalu dicium lembut. Dia meletakkan al-quran kembali di rak yang terletak bersebelahan tiang yang menjadi sandaran Furqan tadi. Perlahan dia membuka langkah mengikut Furqan merapati Tuan Ammar.

"Assalamualaikum, tuan," sapa Furqan dengan sopan tatkala dia berada kira-kira dua langkah dibelakang Tuan Ammar.

Tuan Ammar berhenti melangkah lalu memusingkan tubuh ke belakang. Keningnya terangkat melihat Furqan dan seorang lagi penuntut yang tidak jelas wajahnya kerana terhalang dek kepala Furqan. Tambahan pula, sedari tadi penuntut itu menundukkan kepala.

"Waalaikumussalam. Oh, kamu Ibnu Solihin. Ada apa-apa yang saya boleh bantu kamu?" Balas Tuan Ammar mesra. Dia mengukir senyuman manis.

Furqan tersengih. Dia terlupa seketika bahawa Tuan Ammar sememangnya mengenali walidnya walaupun walidnya hanya merupakan seorang rakyat biasa di Ryukyu Neo. "Emm, tuan. Boleh kami meminta tuan membuka Pasar Awam sebentar untuk kami? Kami sudah kehabisan barang dapur dan terlupa untuk membelinya siang tadi".

Wajah Tuan Ammar berubah tegang. Dia memandang wajah Furqan tajam. "Kamu terlupa? Kamu sudah tahu bahawa AIM ini ditubuhkan untuk mendidik kamu semua untuk belajar hidup berdikari. Kamu sepatutnya menguruskan hidup kamu dengan teratur dan berdisiplin. Bilik kamu mempunyai tiga ahli. Tak akan ketiga-tiga kamu terlupa?!" Marah Tuan Ammar.

Furqan kecut perut namun dia memberanikan diri untuk membalas kata-kata Tuan Ammar. Sempat dia menjeling melihat wajah Saif di belakangnya. Seperti biasa, Saif kekal dengan wajah tenangnya. "Err, sebenarnya saya tidak dibenarkan untum menjejak kaki ke dapur manakala Fathul pulang ke rumah hari ini. Jadi, hanya makhluk dibelakang saya ini yang menguruskan segala hal berkaitan dapur. Tetapi...."

Tuan Ammar melempar senyuman manis tiba-tiba. "Saya bergurau sahaja. Tak perlulah kamu membela diri kamu sampai begitu sekali. Saya sudah berbelas tahun menguruskan AIM. Sudah banyak kerenah penuntut yang saya temui. Jangan risau, kamu bukan kes pertama. Emm, mesti kamu sedang lapar bukan?"

Furqan tersengih lega. "Mana ada lapar tuan. Kebulur sahaja," balasnya.

"Kebulur ya?" Tuan Ammar mengusap dagunya. "Tetapi maaflah. Hari ini bukan saya yang memegang kunci Pasar Awam tetapi Penjaga Yasir. Dan dia ada urusan kecemasan seusai solat isyak tadi. Maka, dia tiada di AIM sekarang," jelas Tuan Ammar.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now