Bab 57

376 55 2
                                    

Tuan Haidhar mengendap sekumpulan tentera Blackwest yang bersembunyi di dalam gua kecil itu. Kelibat Blizzard pula tidak kelihatan di situ. Beberapa orang tentera Blackwest itu sedang cuba menggodam sistem Kesatuan Durrah. Tuan Haidhar tersengih sendirian. Wajah kusut mereka menandakan mereka masih belum berjaya melakukan apa-apa.

Tuan Haidhar melabuhkan punggungnya berlapikkan tanah sambil bersandar pada batu yang sebesar almari pakaian itu. Memoirnya dihidupkan. Lincah sahaja jari-jemarinya meniti diatas papan kekunci hologram itu. Sebelah keningnya terangkat saat jarinya menekan butang yang terakhir. Kerjanya telah selesai. Dia menutup Memoir.

Tentera-tentera Blackwest itu menjerit marah yang diselangi carutan dan kata cacian. Semua dituju kepada Kesatuan Durrah. Marah benar apabila usaha mereka disekat Tuan Haidhar, menjadikan segalanya sia-sia. Malah peralatan mereka rosak diserang virus yang dihantar oleh Tuan Haidhar tadi. Kedengaran bunyi peralatan teknologi mereka dihempas ke dinding sebelum pecah berderai menjadi sisa tak mungkin mampu diperbaiki semula. Sememangnya Blackwest. Marahkan yang lain, lain yang menjadi mangsa.

Tuan Haidhar menggeleng kepala sambil mendongak. Melihat langit biru yang dicorak dengan awan nipis itu. Sengaja dia mengambil masa untuk menikmati keindahan langit yang menjadi bukti kekuasaan Ilahi. Allah Maha Besar lagi Maha Bijaksana. DIA yang mencipta langit tanpa sebarang tiang, dan awan yang tergantung tinggi tanpa tali. Langit...binaan yang tiada tolok bandingnya...

Tuan Haidhar menarik nafas panjang seraya dihembus secara perlahan-lahan. Dengan ucapan basmallah, dia berdiri. Kerisnya dikeluarkan dari sarung. Lama dia tidak menggunakan senjata itu sejak dia meninggalkan AIM. Hanya pedang dan terakol yang menjadi mainannya. Sedikit sebanyak, ada rindu yang bermain dijiwa. Kerna keris itu adalah lambang jati dirinya sebagai penduduk Tanah Lazuardi.

"Kau! Bila masa kau datang?!" jerit seorang tentera Blackwest itu apabila Tuan Haidhar tiba-tiba muncul dihadapannya.

Tentera Blackwest yang lain pantas mengepung Tuan Haidhar. Tuan Haidhar hanya mengangkat bahu bagi menjawab soalan itu. Sampingnya dirungkaikan dengan selamba. Dia terus menyapu kasar permukaan bumi menggunakan samping itu. Debu-debu tanah dan pasir berterbangan memenuhi ruang udara. Pandangan mata mereka jadi terbatas. Tambah membutakan lagi penglihatan mereka apabila Tuan Haidhar melemparkan beberapa biji bom asap. Ada yang menjerit kepedihan akibat pasir yang memasuki mata mereka. Ada juga yang terbatuk keras angkara asap tebal itu menggatalkan kerongkong mereka.

Tuan Haidhar terus bertindak dalam diam. Blackwest yang hanya berjumlah lima belas orang itu ditewaskan dalam sekelip mata. Tatkala campuran asap dan debu itu mulai menipis, kelihatan hanya dia berdiri ditengah-tengah mayat yang bergelimpangan. Semuanya tewas ditangannya.

-----------------------------------------------------------


"Assalamualaikum abang!" sergah Furqan saat panggilannya kepada Zamir bersambut.

Salam itu dibalas Zamir dengan tenang walaupun dahinya berkedut mendengar nada cemas Furqan. Matanya yang khusyuk memandang ratusan skrin hologram dihadapannya terus dilarikan ke skrin yang memaparkan wajah Furqan. Hatinya diselubungi persoalan melihat Furqan berada dihutan sendirian. Tiada Saif. Tiada Fathul. Apa yang berlaku?

"Abang, kenapa tadi pihak istana memancar cahaya kemerahan ke dada langit? Ada kecemasan yang berlaku di istana ke?"

Zamir memberikan pandangan hairan. "Tidak. Semua warga istana telah dibawa ke sini oleh Tuan Ammar. Sepatutnya istana telah kosong sekarang. Mana datangnya isyarat kecemasan pula?"

Terus membulat mata Furqan. "Habis, cahaya merah itu untuk apa? Dari siapa?"

"Bila cahaya itu muncul?" soal Zamir. Matanya liar mencari rakaman disekitar istana. Ada sesuatu yang dia terlepas pandangkah?

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now