Bab 43

466 65 0
                                    

Pagi itu sungguh nyaman. Sang mentari mula mendaki langit secara perlahan-lahan untuk memanahkan sinar cahayanya ke serata alam. Kelihatan kabus nipis yang masih menyelimuti Pekan Tualang dari puncak bukit. Saif memeluk tubuhnya apabila terasa bayu dingin menghembus perlahan. Dia terasa segar setelah sekian lama terperap dalam wad. Dia tersenyum sendirian mendengar suara unggas rimba dan nyanyian ombak silih berganti bermain di telinganya.

Saif menyandarkan tubuhnya pada banir pokok tualang gergasi yang tumbuh di puncak bukit. Kakinya dibiar tergantung ke bawah. Nafas dalam ditarik seraya dihembus perlahan. Seperti biasa, mulutnya terkumat-kamit mengalunkan zikrullah. Suaranya bersatu dengan bunyi alam sekaligus menghadirnya ketenangan yang begitu mengasyikkan jiwa.

Tiba-tiba kedengaran bunyi ranting kayu dipijak. Saif tidak berpaling sebaliknya mengeluh kecil. Zikirnya diteruskan sehingga terasa bahu kanannya disentuh lembut. Serentak itu, telinganya menangkap ucapan salam dari suara yang amat dikenalinya.

"Assalamualaikum, sahabat".

"Waalaikummussalam wa rahmatullahi wabarakatuh, ya ibnu Solihin," balas Saif.

Furqan ketawa nipis. Geli hati melihat riak menyampah Saif yang amat jarang dipamerkan itu.

Saif mengeluh lagi. Sia-sia sahaja usahanya menyelinap keluar dari hospital tadi semata-mata untuk datang ke puncak bukit itu. Niatnya yang ingin menyendiri terhapus jua dengan kehadiran Furqan. Sahabatnya itu sememangnya cekap. Pantang dia menghilang, pasti Furqan mampu mencarinya juga.

"Bagaimana saudara mampu mencari saya?" Duga Saif.

Furqan mengariskan senyuman manis. Dia meletakkan tangan di dadanya. "Naluri seorang sahabat..."

Tanpa sedar, Saif turut menguntumkan senyuman. Jawapan yang sudah diduga namun tetap membuatkan hatinya terharu.

"Mulut manis..." Balasnya.

"Saudara juga yang ajar," selamba Furqan membalas. Kemudian dia tersengih sendirian.

Saif mengangkat keningnya bertanya.

"Nama yang cantik buat pemilik akhlak yang baik". Ketawa Furqan pecah apabila mengungkapkan ayat itu.

Wajah Saif memerah. Teringat memori perkenalannya dengan Furqan di hadapan Menara Utara. Itu pujiannya kepada Furqan. Dan sungguh dia tak menyangka sahabatnya masih mengingati kenangan itu.

Furqan semakin galak ketawa melihat riak malu Saif. Bukan mudah untuk melihat Saif tersipu seperti itu. Kerana kejarangan itu membuatkan dia seronok untuk mengenakan Saif.

"Saudara masih ingat?" Soal Saif setelah mendiamkan diri lama.

Furqan memaniskan wajah dengan senyumannya. "Pertemuan pertama mestilah diingat. Itukan detik istimewa, tanda permulaan persahabatan kita berdua. Saya minta maaf kerana tidak pernah memberitahu siapa saya yang sebenarnya. Dan merahsiakan yang ayahanda saudara masih hidup".

Pandangan Saif berubah redup. Dia mengalihkan pandangannya ke pemandangan Pekan Tualang di hadapannya. Tiada lagi kabus yang menyelubungi pekan itu. Suhu pagi mulai hangat seiring suasana pekan yang kelihatan semakin sibuk. Waktu dhuha telah pun masuk.

"Tak mengapa, perkara itu telah pun berlalu. Saya faham kenapa saudara buat begitu," balas Saif.

"Bagaimana kesan jahitan pada perut saudara?" Soal Saif prihatin. Sedetik itu dia teringatkan mimpinya semasa di Blackwest. Mimpi Furqan ditikam saat ingin menyelamatkan Fathul. Sungguh dia tak menyangka mimpi itu benar-benar berlaku.

Mata sepet Furqan sedikit membulat. "Saudara tahu?"

Saif tersenyum senget membuatkan Furqan kembali ketawa. Benarlah dia tak boleh menyimpan rahsia dari sahabatnya itu. Mudah sahaja Saif menangkap walaupun tiada sesiapa mengkhabarkan perkara itu kepadanya.

"Saya tak apa-apa. Saya telah sembuh. Luka bedah saudara itu yang masih belum kering tetapi sudah pandai menyelinap keluar dari wad. Andai Fathul tahu, mati saudara dikerjakannya," ujar Furqan.

"Siapa tahu?" Tiba-tiba kedengaran sergahan seseorang dari belakang mereka. Hampir-hampir Furqan tergelincir jatuh dari tebing namun tarikan kuat pada telinganya berjaya menyelamatkannya.

"Arghhhhh!"

Fathul tersenyum kejam melihat Zamir menarik telinga Furqan dan Saif serentak. Wajah cerah Furqan mula memerah akibat menahan sakit terutama di bahagian telinga manakala Saif kelihatan lebih tenang.

"A...abang Zamir...sakit!!" Jerit Furqan memecahkan kesunyian di kawasan perbukitan itu.

"Rasakan! Siapa menyuruh saudara mengajar Saif menyelinap keluar dari hospital? Panjat bukit pula itu? Kalau ada apa-apa yang terjadi, macam mana?" Bebel Fathul.

Saif tersengih dalam menahan kesakitan. Riak masam Furqan dipandang. Jelas terlakar rasa tidak puas hati pada wajah sahabatnya itu kerana dituduh begitu.

"Bukan ada apa-apa yang berlaku pun. Saif yang keluar sendiri. Saya hanya menyusulnya sahaja. Haishhh saudara ini, jangan salah faham!" Rungut Furqan sambil menyeringai kesakitan.

"Betul?" Duga Zamir pula. Dia memandang Saif yang masih beriak tenang. Lansung pemuda itu tidak menunjukkan sebarang riak sakit.

"Maafkan Saif, abang Zamir. Saif hanya ingin bersendirian seketika. Furqan tak bersalah pun," jelas Saif.

Zamir mengeluh nipis seraya melepaskan telinga mereka berdua. Furqan pantas menjauhkan diri sambil mengusap telinganya yang sudah merah padam. Manakala Saif membetulkan posisi duduknya.

"Saudara tak sakit ke?" Tanya Fathul pelik melihat Saif yang hanya berlagak biasa.

Saif memandang sahabatnya itu seketika sebelum tersenyum nipis. "Saya sudah merasai kesakitan yang lebih teruk dari ini. Apa yang nak dikisahkan?"

Fathul, Zamir dan Furqan tergamam. Rasa simpati mula membadai jiwa mereka. Walaupun Saif tidak menceritakan apa yang terjadi semasa dia diculik, tetapi tabib Rayyan dapat menduga tatkala melihat kesan-kesan luka dan lebam yang masih berbekas pada tubuh Saif saat dia merawat pemuda itu. Ketika tabib Rayyan melaporkan perkara itu kepada Keluarga Emir, mereka terdengarnya secara tidak sengaja.

"Saudara tak apa-apa?" Teragak-agak Fathul bertanya.

"Saya tak apa-apa. Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Dan saya dapat melihat hikmah disebalik ujian ini. Daripada kesal, saya lebih bersyukur kerana Allah memilih saya untuk diuji. Bukankah itu tanda kasih dan cinta-Nya kepada saya?" Senyuman Saif melebar. Matanya turut bersinar ceria.

Hampir-hampir air mata Zamir tumpah melihat ketabahan anak buahnya itu. Furqan dan Fathul serentak memeluk Saif. Sebagai sahabat, segala perasaan dikongsi bersama. Penderitaan Saif, kebahagiaan Saif, semua yang dirasai oleh pemuda itu pasti sedikit sebanyak tertempias pada mereka juga. Melihatkan Saif yang tabah, hati mereka terharu.

Saif ketawa kecil sambil membalas dakapan mereka. Dia memandang Zamir. Zamir menguntumkan senyuman nipis. Faham maksud pandangan pemuda itu. Lantas dia menghampiri mereka seraya menyertai acara peluk berkumpulan itu.

"Ahh, nostalgia..." Luah Fathul sambil meleraikan pelukan mereka. Dia membuang pandangannya ke arah Pekan Tualang yang sayup kelihatan dari puncak bukit.

Mereka yang lain mengambil tempat di sisi Fathul, menyertai pemuda itu melihat pemandangan indah di hadapan mata. Mereka kini berdiri secara melintang menghadap tebing. Saling memeluk bahu.

"Ya, sudah lama kita tidak berkumpul sebegini. Dalam satu usrah yang sama. Sedar tak sedar, hampir setahun sudah berlalu," ujar Zamir pula.

"Setiap kenangan yang tercipta bersama, semua ada pahit manisnya. Yang pasti, selagi ukhwah kita kerana Allah, selagi itu ikatan ini tak akan terpisah. In sha allah," sampuk Saif pula.

Furqan tersengih. "Saif yang serba berbakat tetapi misteri, Fathul yang ceria tetapi setia pada persahabatan, abang Zamir yang matang tetapi juga kebudakan, dan saya yang nakal tetapi manja. Kita berbeza tetapi ukhwah ini menyatukan kita. Demi Allah, saya sayangkan usrah ini selamanya!!!" jerit Furqan diayat terakhir.

Dan empat pasang mata itu terus merenung ke hadapan dengan senyuman yang berbunga di bibir masing-masing. Matahari semakin memanjat tinggi seiring masa yang terus berjalan. Walau apa pun yang akan terjadi, mereka berempat tetap akan bersama sehingga ke syurga. Itu janji mereka.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now