Bab 16

427 69 0
                                    

Furqan merenung wajah Saif yang kelihatan tenang dalam 'tidurnya'. Sudah lima hari berlalu sejak kejadian malang di Pekan Tualang Biru. Siapa sangka, hari yang sepatutnya untuk mereka bersuka ria bertukar menjadi bencana. Hampir sejam mereka mencari Saif yang menghilang secara tiba-tiba dari pandangan mereka sebelum menemui pemuda itu terbaring berlumuran darah di belakang deretan kedai.

"Furqan..." Panggil Fathul yang duduk berhadapan dengannya.

Furqan mengalihkan pandangan. Kelihatan wajah sugul sahabatnya bertamu di pandangan matanya.

"Bila dia nak sedar?"

Pemuda itu tersenyum tawar. "In sha allah, tak lama lagi. Allah ada, Fathul. Yakinlah sesungguhnya dia Maha Menyembuhkan," balas Furqan tenang. Dia kembali memandang Saif.

"Saya rindu..." luah Fathul tanpa rasa malu.

"Saya juga. Jika kita bertiga sering diibaratkan seperti kembar, maka Saif adalah abang yang paling tua. Siapa tak merindui abang sendiri?"

Fathul menarik nafas panjang. Sungguh hatinya sakit melihat sahabatnya terbaring tak berdaya seperti ini. Saif yang dikenalinya sangat cergas, jarang pemuda itu duduk bersahaja tanpa melakukan apa-apa. Paling tidak pun, dia akan berzikir perlahan sambil menghayati pemandangan. Tetapi sekarang ini...pemuda yang sangat dia hormati itu sekadar terbaring berhari-hari di katil itu tanpa sedarkan diri.

"Assalamualaikum," sapa Zamir sambil menolak pintu wad itu dengan luas. Dia berjalan mendekati katil Saif seraya berdiri di sisi kerusi Fathul. Bungkusan makanan yang dibawa untuk Fathul dan Furqan diletak diatas almari kecil di sisi katil.

"Bagaimana keadaan Saif hari ini?"

"Masih sama abang," jawab Fathul sayu.

Zamir mengusap kepala Fathul lembut bagai cuba menyalurkan semangat untuk anak buahnya itu. Sementara matanya tak lekang melihat Saif yang kepalanya dibalut kemas. Pucat wajahnya.

'Saif...' bisik suara hati Zamir. Teringatkan perbualannya dengan Rafael empat hari lalu. Walaupun suara Rafael tenang berbicara tetapi dia tahu betapa kecewanya lelaki itu apabila dia gagal menunaikan amanah Rafael untuk menjaga Saif. Rafael sedaya-upaya menyembunyikan rasa marahnya kerana lelaki itu sendiri sedar yang perkara sebegini lambat-laun akan berlaku juga. Kini, bila-bila masa sahaja lagi Rafael akan tiba di AIM. Bila itu berlaku, dia terpaksa bersiap sedia menghadapi Keluarga Emir.

"Abang, tabib Rayyan panggil abang," suara Furqan mematikan lamunannya. Zamir menoleh ke belakang. Kelihatan tabib Rayyan sedang mengamitnya agar mendekati lelaki itu.

"Kenapa abang Ian?" Soal Zamir setelah berada di luar bilik wad Saif.

"Tuan Rasyid arahkan Zamir datang ke bilik mesyuarat sekarang," jelas tabib Rayyan.

"Baiklah," jawab Zamir lemah. Sudah sampai masanya untuk dia berterus-terang. "Tolong jagakan budak-budak itu. Pastikan mereka makan makanan yang Zamir bawa".

"Amboi, pandai Zamir nak arahkan abang sekarang ini ya?" Gurau tabib Rayyan.

Tanpa sedar, Zamir tertawa tanpa suara. Tabib Rayyan tersenyum nipis melihat reaksi pemuda itu. "Seronok abang lihat Zamir ketawa," ujar tabib Rayyan.

Tawa Zamir terhenti. Dia merenung pelik ke arah tabib Rayyan. "Maksud abang?"

"Dua tiga hari ini...Zamir nampak tak bermaya sangat. Nampak Zamir akan hujan bila-bila masa sahaja. Semua sebab budak itukan?" Balas tabib Rayyan seraya menundingkan jari telunjuknya ke dalam wad, tepat ke arah tubuh kaku Saif.

Zamir senyum hambar. Matanya memandang arah yang ditunjukkan oleh tabib Rayyan. "Dia ialah ahli usrah Zamir, abang Ian. Abang mana tak risau kalau adiknya sedang sakit," jelasnya sebelum memandang tabib Rayyan kembali.

"Zamir tak menganggap dia sebagai penganti Tuan Haidhar, bukan?" Duga Tabib Rayyan.

Zamir menggeleng perlahan. "Saif adalah Saif. Abang Haidhar adalah abang Haidhar," tegas Zamir.

Tabib Rayyan menepuk bahu pemuda itu. "Abang tahu...Lega hati abang mendengar Zamir tahu membezakan mereka berdua. Sudah, cepat pergi. Kesian Tuan Rasyid dan Tuan Ammar menunggu," balas tabib Rayyan. Tanpa menunggu balasan Zamir, dia masuk wad Saif. Sempat dia melemparkan senyuman apabila pandangan matanya bersua dengan Furqan yang kebetulan sedang melihat kearahnya.

Keadaan Saif segera diperiksa. Tangannya menari-nari di atas kertas bagi menulis laporan tentang perkembangan keadaan Saif. Tanpa sedar, fikirannya mula melayang. Lama dia menyimpan keinginan untuk bertemu dengan Nilam yang dikatakan begitu mirip dengan Tuan Haidhar itu. Tetapi siapa sangka, mereka bertemu dalam keadaan begini. Dalam keadaan Nilam itu tidak sedarkan diri dan menjadi pesakitnya. Satu kenangan datang bertamu di kotak fikirannya.

"Oh, saudara ialah ahli Kesatuan Durrah. Selamat datang," ujarnya cuba beramah mesra dengan pesakitnya itu sambil tekun membalut lengan pemuda itu. Sengaja dia bertanyakan begitu saat terpandangkan Memoir pemuda itu. Luka yang panjangnya hampir lapan sentimeter itu perlahan-lahan tertutup dek balutannya.

Pemuda itu melemparkan senyuman manis. Seolah-olah luka panjang itu lansung tak memberi kesan apa-apa kepadanya. "Terima kasih. Abang sudah berapa lama jadi Kesatuan Durrah?" Soal pemuda itu pula.

"Sudah lima tahun agaknya. Tetapi masa abang lebih banyak disini daripada menyertai misi".

"Mestilah. Abangkan tabib. Tugas utama tabib untuk merawat pesakit bukan mencari penyakit," sakat pemuda itu. Tapi itulah kebenarannya. Dalam Kesatuan Durrah, mereka telah dilatih dengan pelbagai jenis kemahiran. Tak hairanlah jika seorang tabib seperti tabib Rayyan diarahkan untuk mengendali misi selain tugas utamanya merawat orang lain. Begitu juga ahli Kesatuan Durrah yang bekerja dalam bidang lain. Dalam keadaan kritikal, mereka akan turun padang bagi merawat pesakit dan membantu para tabib. Contoh paling mudah adalah ketika wabak penyakit melanda Tanah Lazuardi akibat virus ciptaan Blackwest tiga puluh tahun lalu.

Tabib Rayyan tertawa kecil sambil menyudahkan tugas membalut lengan pemuda itu. "Saudara ini.." geleng tabib Rayyan. Sungguh dia terhibur dengan gelagat pemuda itu walaupun baru pertama kali mereka bersua.

"Oh ya, siapa nama saudara? Mana tahu selepas ini kita akan bertugas sekali," soal tabib Rayyan seraya berdiri. Dia membuka sarung tangan getahnya.

Senyuman pemuda itu melebar, "Nama saya Haidhar Emir, salam perkenalan".

"Tabib Rayyan?" Tegur Fathul apabila melihat lelaki itu terpaku sambil kepalanya tunduk memandang Saif.

Lamunan Tabib Rayyan pecah. Terpinga-pinga dia memandang Fathul yang sedang menarik hujung lengan bajunya. Fathul hanya tersengih seraya menarik tangannya kembali. "Kenapa tabib termenung?"

Tabib Rayyan mengukir senyuman. "Sahaja. Terkenangkan kisah lama," ujarnya sambil merenung wajah Saif. Kenangan pertemuan pertamanya dengan Tuan Haidhar sebelum lelaki itu diangkat sebagai pemimpin Kesatuan Durrah. Tak kira Saif ataupun Tuan Haidhar, kedua-dua mereka bertemu dengannya sebagai seorang pesakit. Betapa kuatnya persamaan diantara mereka berdua walaupun masih tiada bukti kukuh bahawa Saif adalah anak kandung Tuan Haidhar Emir.

"Abang Zamir kamu pesan yang jangan lupa makan makanan yang dia bawakan itu. Kalau nak menjaga orang sakit, boleh. Tetapi jangan sampai kamu berdua sendiri jatuh sakit pula nanti," ujar Tabib Rayyan lagi. Dia mengusap kepala Fathul lembut.

Fathul tersengih melihat Furqan memandangnya dengan penuh rasa menyampah. Cemburulah itu melihat kepalanya diusap dua kali oleh orang yang berbeza pada hari ini. Abang Zamir dan tabib Rayyan.

"Dasar manja!" Mulut Furqan bergerak-gerak tanpa mengeluarkan suara.

Sengihan Fathul melebar. Walaupun suara Furqan lansung tak didengarinya, namun dia masih mampu membaca pergerakan bibir Furqan. Sebaik sahaja tabib Rayyan keluar dari wad itu, terus pecah ketawa Fathul.

"Saudara cemburu?" Duga Fathul.

"Diamlah!"

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now