Bab 64

350 52 1
                                    

Tirai peperangan telah dilabuhkan dengan penangkapan besar-besaran tentera Blackwest siang tadi. Tentera-tentera Blackwest yang ditangkap dikurung di penjara. Saif kembali ke bilik bawah tanah itu untuk mengambil Memoirnya semula. Sekaligus mematikan sistem pertahan lagenda AIM.

Semua yang tercedera sedang dirawat oleh unit Perubatan termasuklah tentera-tentera Blackwest. Walaupun musuh, Kesatuan Durrah masih mempunyai nilai kemanusian dari membiarkan tentera-tentera Blackwest menderita kesakitan dalam penjara tanpa sebarang rawatan.

Semua penuntut AIM yang dikawal oleh Blackwest juga telah pulih semula dengan bantuan Solihin. Dia juga turut serta semasa Tuan Haidhar mengkaji cara untuk menyembuhkan
mangsa-mangsa kawalan Blackwest. Maka dia juga mempunyai pedang yang sama seperti Tuan Haidhar.

Semua penuntut AIM dibenarkan pulang ke bilik masing-masing kerana keadaan telah kembali aman. Tanpa sedar, baik Kesatuan Durrah mahupun penuntut-penuntut AIM, mereka semua terlupa seseorang yang menjadi dalang peperangan itu. Bahaya belum berakhir...

-----------------------------------------------------------

Tuan Haidhar tersedar dari pengsan. Dia meliarkan matanya memerhati sekeliling. Suasana yang gelap menyukarkan dia mengenal pasti kedudukannya sekarang.

"Memoir aktif," ujar Tuan Haidhar sambil mendekatkan Memoirnya dengan mulut. Memoir miliknya mula bercahaya malap berwarna biru kehijauan. Satu skrin hologram kecil muncul di atas permukaan Memoir itu. Tuan Haidhar beristighfar perlahan. Nyata, sudah hampir dua hari dia tidak sedarkan diri.

"Kesan kedudukan saya!" arah Tuan Haidhar. Dia terpaksa menggunakan sistem suara akibat tidak mempunyai sebarang tenaga untuk bergerak. Bahkan untuk menggerakkan tangannya pun dia terpaksa mengerahkan seluruh tenaganya. Itupun suaranya agak serak dan hampir tak kedengaran akibat tekak yang kering.

Tidak lama kemudian, skrin itu memaparkan peta Pulau Mutiara. Satu titik merah berkedip-kedip dikawasan perbukitan tidak jauh dari AIM. Rupanya kawasan gua itu bersambungan dengan gua tempat Kesatuan Durrah menyimpan kapal-kapal mereka. Cumanya, laluan yang menghubungkan kedua-dua gua itu amat sempit dan agak berliku. Untuk ke pintu gua pula, dia terpaksa berenang kerana kawasan itu ditenggelami air laut. Tambahan pula dengan keadaannya sekarang, tak mungkin dia dapat berenang.

Tuan Haidhar memejamkan mata seketika. Cuba mengingati bagaimana dia boleh sampai ke sini. Seingatnya, dia berlawan dengan Blizzard dikawasan pantai. Pertarungan mereka seimbang. Tetapi ketika dia cuba menendang Blizzard, Blizzard berjaya menangkap kakinya serata mengunci pergerakkannya. Kuncian Blizzard boleh sahaja dileraikannya tetapi belum sempat dia buat apa-apa, dia ditembak dengan sebilah damak tepat dilehernya. Pastinya damak itu disapu dengan ubat tidur kerana dia tak sedarkan diri selepas itu. Pasti Blizzard yang membawanya ke gua ini.

"Hubungkan saya kepada Solihin," arah Tuan Haidhar lagi. Peta hologram itu menghilang lalu muncul wajah ayah Furqan. Walaupun Solihin bukan ahli Kesatuan Durrah tetapi dia turut mempunyai Memoir. Dia yang mereka Memoir itu untuk Solihin yang sembilan puluh lapan peratus serupa dengan Memoir Kesatuan Durrah. Hanya ada sedikit gubahan yang dilakukannya.

Tuan Haidhar enggan menghubungi Tuan Rasyid kerana tidak mahu adiknya risau. Dia juga tidak menghubungi Furqan kerana dia tahu bahawa Furqan sentiasa bersama dengan Saif. Jadi pilihan terbaik adalah meminta pertolongan Solihin. Walaupun Solihin kurang arif dengan selok belok pulau itu, tetapi dia mampu menjejak Tuan Haidhar menggunakan Memoir.

-----------------------------------------------------------

"Ya Allah, kenapa saudara cedera teruk itu? Saudara di mana sekarang?" tanya Solihin cemas tatkala melihat imej hologram Tuan Haidhar yang terbaring lemah di satu tempat yang asing dimatanya. Suasana tempat itu juga gelap, hanya dibiasi cahaya malap dari Memoir.

"Nanti saya ceritakan. Boleh saudara jejak saya dan bawa saya keluar dari tempat ini?" pinta Tuan Haidhar dengan suara yang semakin serak. Tuan Haidhar terbatuk kecil.

"Baik. Saya akan cuba sebaik mungkin. Tunggu saya. Assalamualaikum," balas Solihin. Satu butang kecil pada Memoirnya ditekan sebelum lancar jari-jemarinya menaip pada papan kekunci hologram. Muncul peta pulau itu yang memaparkan lokasi terkini Tuan Haidhar.

Tanpa melengahkan masa, Solihin terus menyelinap keluar dari AIM untuk mencari Tuan Haidhar. Dia lansung tidak menyedari ada sepasang telinga yang mencuri dengar segala butir perbualannya dengan Tuan Haidhar. Dan pemilik telinga itu mengambil keputusan untuk mengekori Solihin.

-----------------------------------------------------------

Tuan Haidhar menutup Memoirnya tatkala mendengar bunyi tapak kaki menghampiri. Dia pura-pura memejamkan mata. Terasa bahang api jamung pada kulit mukanya sebelum ada sesuatu yang tajam bermain-main dimukanya. Terasa pipinya ditoreh sedikit. Tuan Haidhar berusaha menahan erangan kesakitannya dari terluah.

"Light, Light..." ujar satu suara. Tanpa membuka mata pun Tuan Haidhar dapat mengecam pemilik suara itu. Blizzard!

"Mana perginya Light yang terkenal hebat dan tangkas satu ketika dahulu itu? Apa usia yang meningkat membuatkan kau semakin lemah. Sungguh aku tak sangka betapa mudahnya untuk menangkap engkau," ujar Blizzard sinis. Suaranya kedengaran semakin menjauh. Bahang api jamung juga tidak lagi terasa.

"Kau ingat aku tak tahu rahsia kau, Light? Budak yang menjadi adik angkat kau itu, bukan sekadar adik angkat bukan? Selain kau cuba sorokkan kewujudan anak kau, kau juga cuba sembunyikan identiti sebenar dia dari aku. Aku tak sangka dia hidup lagi. Apa kata aku bunuh dia". Blizzard ketawa sinis. "Sebab dia jugalah Mist berubah. Storm pula bodoh! Sayang sangat dengan perempuan tak guna itu sampai sanggup mengkhianati aku! Kalau kau tak datang, kalau kau tak dedahkan semuanya, mesti rancangan aku sudah berjaya. Enam belas tahun lalu kau berjaya merampas semuanya dari aku. Tahniah, Light! Tahniah!" Blizzard menepuk tangannya.

Tiba-tiba dia kembali berubah garang. Perut Tuan Haidhar disepak kuat beberapa kali. "Kau ingat kau boleh menang selamanya? Heh, kalau aku mati, aku akan pastikan kau juga mati. Genius Kesatuan Durrah konon! Kerana kau, aku hilang segalanya! Maruah aku bagai dipijak-pijak apabila kau menghasut Storm mengkianati aku! Aku hilang kuasa! Aku hilang maruah! Sebab kau! Semua sebab kau!!" jerkah Blizzard.

"Kau bunuh aku, tiada apa yang kau akan dapat. Dendam itu satu penyakit. Selagi kau berdendam, selagi itu hati kau akan sakit. Hidup kau tak akan pernah tenang. Bahagiakah kau hidup begitu?" ujar Tuan Haidhar dalam nada lemah. Pun begitu, dia masih mampu mengukirkan senyuman manis tetapi pada pandangan Blizzard senyuman itu seperti sedang mengejeknya.

Blizzard berhenti membelasahnya. "Hoho, kau sudah sedar rupanya". Dia mencangkung ditepi Tuan Haidhar. Leher baju Tuan Haidhar dicengkam kuat menyebabkan tubuh Tuan Haidhar yang terbaring lemah turut terangkat.

"Mana Pedang Lazuardi? Atau kau menipu aku selama ini? Pedang yang akan musnahkan aku konon." ujar Blizzard bengis. Dia meludah ke atas tanah.

"Aku tak akan menipu Blizzard. Aku bukan kau yang hidup dalam penipuan. Jawapan aku tak pernah berubah, cuba bunuh aku dan Pedang Lazuardi akan memusnahkan kau. Impian kau tak akan pernah tercapai selagi Pedang Lazuardi masih wujud. Kau tak akan mampu musnahkan Keluarga Emir. Jangan bermimpi disiang hari, Blizzard!" balas Tuan Haidhar.

Blizzard menghempaskan tubuh Tuan Haidhar ke lantai gua. Dia berdiri seraya menarik keluar pedangnya yang kemas tersarung. "Kalau dengan membunuh kau baru Pedang Lazuardi itu muncul, biar aku bunuh kau sekarang!" marah Blizzard. Pedangnya dihayun pantas ke batang leher Tuan Haidhar.

Tuan Haidhar memejamkan mata. Dia kehabisan tenaga untuk mengelak serangan itu. Kalimah syahadah dilafazkannya perlahan. Dia redha andai nyawanya berakhir di sini. Bunyi libasan angin dibelah pedang itu semakin mendekat. Dan darah bersimbahan sekali lagi di bumi Tanah Lazuardi...

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now