Bab 14

466 72 0
                                    

    Langit malam mencurahkan hujan sekali lagi. Saif duduk sendirian di beranda masjid sambil menghayati suasana malam itu. Bibirnya tak putus-putus mengalunkan selawat buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

    Didalam masjid, kelihatan beberapa orang manusia sedang khusyuk beribadah sendirian. Ada yang membaca al-quran, ada yang menunaikan solat sunat dan ada duduk diam sambil berzikir sepertinya. Ada juga yang bertadarus dalam kumpulan kecil dan turut kelihatan beberapa pasang penuntut yang menyemak hafazan masing-masing. Mereka memilih untuk terus beriktikaf di masjid seusai solat isyak berjemaah tadi bagi meraih ganjaran pahala lebih.

    "Assalamualaikum," sapa Furqan sambil melabuhkan duduk disisi sahabatnya. Lama dia memerhatikan Saif yang tenggelam dalam lamunannya itu dari dalam masjid tadi. Entah apa sahabatnya itu fikirkan.

    Salam diberi dibalas seadanya oleh Saif sambil melemparkan senyumannya. Saif sememangnya terkenal dengan kemurahan dirinya memberikan senyuman tak kira dimana sahaja dan kepada sesiapa sahaja. Ditambah dengan wajahnya yang bersih dan manis membuatkan ramai yang terpikat dengan keperibadian pemuda itu. Kerana itu, tanpa banyak bicara pun, Saif mempunyai ramai sahabat.

    "Tenang sahaja malam ini, bukan?" Soal Furqan.

    Saif mengangguk sambil mendongak melihat langit yang berwarna hitam pekat. "Hujan itu tangisan langit. Allah menurunkan hujan sebagai rahmat. Bukankah itu satu petanda bahawa DIA amat mengasihi kita semua?" Ujar Saif tiba-tiba.

    Furqan turut mendongak. Dilihatnya ratusan butir-butir halus hujan melimpah turun dari langit. Cahaya lampu kalimantang yang terbias menampakkan seakan-akan butir hujan itu bersinar bak permata dalam kegelapan. "Saudara suka hujan?"

    "Suka. Hujankan rahmat, mestilah suka. Dari hujan, Allah menghidupkan bumi yang mati, menyuburkan tanaman dan membekalkan air agar manusia terus dapat hidup dengan baik. Mendengar bunyi hujan yang turun sahaja sudah cukup menenangkan.".

    "Tetapi saya lebih suka hari yang cerah," ujar Furqan sambil tersenyum senget memandang Saif disisinya.

    "Cerah, gelap, siang, malam, matahari, bulan, semuanya diciptakan Allah dengan bersebab. Sebagaimana diciptakan malam untuk kita berehat dan siang untuk mencari rezeki. Hanya yang berakal berupaya untuk mengerti," sambung Saif lagi.

    Furqan tersengih lagi sambil menanggalkan serbannya. Serban itu dibalut ke tubuhnya untuk dijadikan selimut bagi menahan kedinginan malam itu. "Hai saudara, tak cukupkah masa bertazkirah tadi sampaikan saudara menyambungnya disini?" Gurau Furqan.

    Saif tergeleng sambil tersenyum. "Bukan begitu. Cuma bercakap perkara yang terlintas di akal sahaja".

    "Sudah, mari kita pulang. Sudah pukul sepuluh malam. Saya mahu siapkan tugasan Guru Munirah," ajak Furqan.

    Dia kembali berdiri. Kain serbannya diselempangkan di bahu kanan. Dia menarik tangan Saif, memaksa pemuda itu untuk turut berdiri.

    
-----------------------------------------------------------

    Zamir mengerutkan dahinya. Kepalanya terasa berpinar akibat membaca terlalu lama. Kelihatan di hadapannya bertimbun buku-buku tebal memenuhi meja. Zamir menutup buku. Dia bersandar pada kerusi bagi merehatkan dirinya.

    "Penat?" Soal Tabib Rayyan yang masih leka membaca dihadapannya.

     Zamir tersengih walaupun tahu Tabib Rayyan tidak melihatnya. "Penat sedikit. Huh, bagaimanalah abang Ian mampu baca tanpa henti sejak tadi?" balas Zamir.

    Tersenyum nipis Tabib Rayyan mendengar jawapan anak muda itu. Dia mengangkat kepala dari pembacaannya. Buku dihadapannya turut ditutup lalu ditimbunkan di atas buku-buku yang lain. "Sebab abang sudah biasa. Abangkan kelas Mawar dahulu. Kelas si ulat buku. Manalah si kelas Anggerik seperti Zamir hendak faham".

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now