Bab 4

586 87 6
                                    

Sang mentari bersinar gemilang memanah jalur-jalur cahaya menembusi tetingkap kaca lalu menerobos masuk ke dalam kelas. Cuaca redup biarpun langit cerah tanpa dilitupi tompokan awan tebal. Pawana pula menghembus malas di celah-celah reranting pokok membuatkan sang dedaun menari gemalai.

Hari yang damai.

Saif leka menelaah buku 'Hikayat Keluarga Emir' yang dipinjamnya dari kutubkhanah. Suasana kelas pula sunyi sepi. Semua penuntut di dalam kelas khusyuk membaca buku yang berada di tangan masing-masing.
    
Tidak seperti sekolah lain, kelas di AIM tidak mempunyai kerusi dan meja untuk pelajar. Yang ada hanyalah hamparan tikar buluh yang diayam halus sebagai alas duduk dan rehal untuk dijadikan meja.

Setiap kali sesi pelajaran, mereka akan duduk lutut bertemu lutut dalam barisan lurus seperti saf solat. Kebiasaan duduk dengan rapat membuatkan mereka menjadi akrab dengan sahabat sekelas dalam masa yang singkat.

Rekaan bagi setiap kelas juga berlainan supaya harmoni dengan ciri umum penuntut di kelas tersebut. Seperti di kelas Mawar, terdapat kolam kecil yang ditaburi pasir sungai yang halus di bahagian hadapan kelas. Dinding dibahagian hadapan kelas juga mempunyai rekaaan yang berbeza kerana dilapisi kaca lut sinar berwarna biru laut. Air jernih dialirkan menuruni dinding kaca, memberi gambaran seakan-akan sebuah air terjun. Air yang mengalir itu masuk ke dalam kolam kecil dibawahnya yang dipagari pokok bunga mawar merah putih dan batu-batu sungai yang berwarna putih. Setiap kali angin menghembus, haruman mewangi mawar akan tersebar ke serata kelas bagaikan aromaterapi.

Lazimnya, setiap kali ada pelajar yang mengantuk, mereka hanya membasuh muka di kolam itu yang terjamin bersih bahkan boleh diminum. Tetapi jarang sekali ada pelajar yang mengantuk kerana suasana kelas itu sendiri yang cukup nyaman dan menyeronokkan.

Tiba-tiba muncul layar hologram gergasi di hadapan kelas yang memaparkan mesej pendek dari pengetua AIM. Terus para penuntut di dalam kelas itu berdiri. Buku yang dibaca ditutup dan disimpan kemas pada rak khas dibelakang kelas. Rehal turut dilipat lalu disusun kemas di bahagian tepi rak buku.

Dalam kesibukan penuntut-penuntut lain mengemas dan bergerak keluar dari kelas, hanya seorang penuntut yang masih tidak bergerak ke mana-mana.

Amin tersenyum melihat Saif masih khusuk tenggelam dalam pembacaannya. Sudah masak benar dengan perangai sahabatnya biarpun baru seminggu lebih mereka berkenalan. Saif bagaikan berada dalam dunia sendiri bila membaca, meninggalkan hanya jasadnya di alam nyata.

Amin melangkah mendekati pemuda itu. "Saif..." Bahu pemuda itu disentuh perlahan.

Saif mengangkat wajahnya seraya tersenyum manis.

"Mari...kita kena berkumpul di Dataran Terapung sekarang," ajak Amin. Jarinya menunjuk ke arah layar hologram yang masih terpapar di depan kelas.

Saif mengangguk. Buku 'Hikayat Keluarga Emir' ditutup lalu diusung bersama. Dia terus mengekori langkah Amin memandangkan dia tidak menggunakan rehal untuk membaca tadi. Jadi, dia tak perlu menyusun rehal seperti mereka yang lain.

Sebaik sahaja mereka berdua keluar, pintu kelas mereka tertutup sendiri. Mereka berdua terus bergerak mengikut rakan sekelas mereka menuju ke Dataran Terapung.

"Assalamualaikum sahabat!" Sapa satu suara saat Saif dan Amin baru ingin merentasi Jambatan Tenggelam.
Saif terasa bahunya dipeluk mesra oleh si pemilik suara dengan sebelah tangan. Dengan suara yang tenang, Saif membalas salam suci Fathul yang kini sedang berjabat tangan dengan Amin.

"Mana Furqan?" Soal Saif apabila tidak melibat kelibat sahabatnya yang seorang itu.

Fathul mencebik. "Aishhh, asyik cari Furqan sahaja. Sesekali, apa salahnya kita menghabiskan masa berdua. Kalau nak bertiga juga, ini ada Amin yang boleh mengantikan tempat si Ryukyu Neo itu," balasnya sambil memaut bahu Amin.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now