Bab 2

694 87 5
                                    

"Assalamualaikum dunia!" Jerit Furqan sebaik sahaja dia menjejakkan kaki di biliknya. Terus dia menerpa dan merebahkan dirinya ke atas katil bujang yang berada di bahagian kiri bilik. Barang-barangnya ditinggalkan sahaja di hadapan pintu. Terasa nikmat katil empuk itu begitu menggoda setelah hampir seharian dia ke sana sini menyelesaikan urusan pendaftaran. Hilang rasa lenguh dan sengal badannya.

Tadi pun, selepas mendengar taklimat dari pengetua AIM tadi, mereka dihendaki menjalankan ujian bagi menentukan kelas mereka. Ujian itu diadakan di Dataran Terapung. Ujian itu lebih mirip kepada ujian personaliti untuk menentukan kelas mereka. Bagi menjawab ujian, mereka hanya perlu menekan butang pada Memoir mereka untuk mendapatkan soalan ujian yang dalam bentuk hologram.

Di AIM, terdapat tiga jenis kelas yang berbeza mengikut personaliti para penuntut AIM. Kelas pertama adalah kelas Mawar yang dikuasai oleh golongan mereka yang lazimnya kelihatan pendiam dan misteri namun mempunyai pelbagai kelebihan tersembunyi.

Kelas Anggerik pula dikhaskan oleh mereka yang nakal, aktif, sentiasa berfikir di luar kotak dan mampu menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan.

Manakala Kelas Matahari terdiri dari mereka yang ceria, baik hati dan mempunyai keperibadian yang menyerlah namun sederhana dalam kehidupan mereka.

Setiap kelas mempunyai cara pembelajaran yang berbeza selari dengan keperibadian umum pelajar kelas itu walaupun mata pelajaran dan gurunya adalah sama. Sebagai contoh, kelas Mawar yang merupakan ulat buku akan menghabiskan kebanyakan masa mereka di dalam kelas untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran. Kelas Anggerik pula lebih banyak berada di luar kelas sementara kelas Mahahari seimbang antara masa di luar dan di dalam kelas.

Menggeleng Saif melihat gelagat sahabat barunya itu. Kebetulan mereka ditempatkan di dalam satu bilik yang sama. Saif meletakkan beg pakaiannya di atas katil yang berada di tengah-tengah. Tersenyum dia melihat Furqan telah selamat berlayar ke alam mimpi. Cepat sahaja sahabatnya itu terlena. Wajah yang digarisi kepenatan itu kini kelihatan setenang bayi yang sedang tidur.

Saif kembali berlalu ke muka pintu seraya mengalihkan baki begnya dan Furqan ke dalam bilik. Diatur beg-beg Furqan dengan rapi di sisi katilnya sebelum dia mula mengemaskan barang sendiri.

Seusai mengemaskan barang-barangnya, barulah dia mengambil peluang untuk meneliti suasana bilik yang sebesar setengah padang bola sepak ini.

Kagum dia melihat rekaan bilik ini.

Lantainya diperbuat daripada jubin berwarna biru laut yang bersinar kilat umpama permukaan tasik jernih yang tenang. Bilik ini berdindingkan marmar putih yang diukir halus dengan corak awan larat terutama pada bahagian berhampiran dengan siling dan tiang. Setiap perabot yang tersedia, diperbuat dari kayu balak berkualiti tinggi yang diukir dengan corak halus yang bertemakan flora.

Bilik air dan dapur turut disediakan. Sememangnya suasana bilik itu sedikit mewah memandangkan akademi itu sebenarnya merupakan bekas Istana Lazuardi sebelum dipindahkan ke Pekan Tualang Biru yang lebih strategik.

Saif berlalu ke dapur. Terlafaz tasbih dari bibirnya melihat segala perkakas memasak dan bahan masakan telah tersusun rapi di tempat masing-masing.

Di AIM, para penuntut dihendaki hidup berdikari dari segenap aspek kehidupan. AIM bukan sekadar sekolah yang mengajar mereka ilmu akademik semata-mata tetapi turut mengasuh dan melatih mereka menjadi seorang muslim sejati. Disiplin, kebersihan, kekemasan dan hal-hal berkaitan agama amat dititikberatkan di sini.

Walaupun AIM hanyalah sebuah akademi, namun prasarananya yang lengkap tak ubah seperti sebuah bandar mini dengan kewujudan hospital dan pasar awam. Bagi memenuhi keperluan harian mereka, mereka boleh mendapatkan barang di pasar awam. Tiada duit yang diperlukan sebaliknya segala barang dibeli mengikut jumlah mata yang mereka peroleh disepanjang pengajian mereka di AIM.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now