Bab 20

447 61 2
                                    

    Furqan memandang kiri dan kanannya sebelum dia menyelinap ke belakang Pasar Awam. Keadaan di situ sunyi sepi tanpa kehadiran seorang pun manusia.

    Furqan tersenyum nipis seraya menghempaskan punggungnya ke atas tanah sambil bersandar pada dinding. Dia menekan tapak tangannya pada permukaan Memoirnya yang berkedip sedari tadi.
    Terpampang satu imej hologram yang berbentuk seorang lelaki.

    "Assalamualaikum, tuan," ujar Furqan.

    "Waalaikumussalam. Lama tak bersua dengan kamu wahai Furqan," balas imej lelaki itu.

    Furqan tersengih.

    "Bagaimana misi kamu?" Soal lelaki itu.

    "Baik-baik sahaja semuanya di sini. Oh ya, dia sudah sedar tuan. Petang ini baru dia dibenarkan pulang. Jadi, apa tuan mahu saya lakukan dengan budak itu?"

    Lelaki itu mengusap dagunya yang berjanggut nipis. "Perhatikan sahaja dia dahulu. Kita pun masih belum boleh melakukan apa-apa tindakan dalam keadaan sekarang".

    "Tetapi air yang tenang kalau dilontarkan batu, berkocak juga. Saya pasti keadaan tenang ini tak akan lama. Kalau tuan mahu saya gegarkan ketenangan di sini pun saya sedia sahaja," ujar Furqan sambil tersenyum lebar.

    Lelaki itu memandang Furqan tajam. Faham dengan maksud tersirat yang hendak disampaikan oleh pemuda itu. "Jangan bertindak sesuka hati, anak muda. Bila-bila masa saya boleh arahkan kamu pulang dan gantikan kamu dengan orang lain. Ayah kamu pun sedia mengantikan kamu di situ".

    Wajah Furqan berubah cuak. "Eh, janganlah tuan. Saya bergurau sahaja. Ya, ya, saya ikut arahan tuan. Tuan boleh percayakan saya. Saya janji tak akan gegarkan keamanan AIM dan hanya perhatikan dia, tuan putera dan keluarga Emir buat masa ini," akurnya.

    Lelaki itu tersenyum mendengar janji Furqan. "Kamu tahu mengenai keris milik Saif tidak?"

    Furqan mengangguk sekali. "Tahu. Saya pernah nampak Saif keluarkan keris itu".

    "Curi keris itu. Keris itu sebenarnya kunci kepada semua ruangan rahsia yang wujud di AIM. Salah satu ruangan itu adalah bilik kawalan lama yang mengawal semua sistem di AIM. Boleh kamu buat?"

    "In sha allah. Senang sahaja. Saya tahu di mana Saif sorokkan keris itu," balas Furqan.

    "Emm, kalau tiada apa-apa lagi, saya pinta diri dahulu, Tuan. Nanti terbongkar pula identiti saya kalau terserempak dengan sesiapa nanti," pinta Furqan, sopan.

    Lelaki itu mengangguk faham. "Iyalah. Assalamualaikum".

    Furqan membalas salam itu seraya menekan punat kecil di tepi Memoirnya.

    Imej lelaki itu terpadam.

    Furqan kemudiannya berjalan pulang ke kelasnya dengan tenang seakan-akan tiada apa yang berlaku.

------------------------------------------------------

    Fathul menghentikan langkahnya. Dia pelik melihat Furqan muncul dari belakang Pasar Awam pada waktu kelas sebegini. Laju sahaja pemuda itu melangkah pergi. Apa yang Furqan buat disitu?

    "Fathul? Kenapa berhenti? Cepatlah, kita sudah lambat!" Gesa Hilal.

    Fathul memandang Hilal sekilas sebelum kembali mengalihkan pandangannya ke arah Furqan. Malangnya pemuda itu telah tiada di situ. Fathul menggeleng-gelengkan kepalanya.

    Mungkin dia hanya berkhayal.

    "Emm, tak ada apa-apa. Maaf. Mari pergi," ajak Fathul lalu beredar ke padang bersama Hilal. Sempat dia menoleh ke belakang melihat tempat Furqan berdiri tadi.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now