Bab 18

440 66 2
                                    

    "Itulah kali terakhir Zamir melihat abang Haidhar. Sangka Zamir, semua itu hanyalah mimpi kerana keesokkan harinya Zamir terjaga dalam bilik Zamir sendiri. Segala apa yang berlaku pada malam itu hanya samar-samar dalam ingatan Zamir".

    "Oh, abang baru teringat. Mesti kejadian itu berlaku sebelum Penjaga Afkar menemui Zamir pengsan sendirian di bukit belakang sanakan? Tabib Rayyan pula syak Zamir demam kerana terlalu rindukan Haidhar sampai Zamir boleh pengsan," telah Tuan Ammar.

    Itu kali pertama Zamir demam teruk. Hampir sebulan demam pemuda itu melarat. Tidurnya juga selalu terganggu kerana Zamir kerap meracaukan nama Tuan Haidhar.

    Zamir mengangguk mengiakan. "Tetapi sangkaan Zamir salah. Setahun lalu, Rafael menghubungi Zamir, menuntut janji yang Zamir lafazkan malam itu. Kata Rafael, dia tak bentah untuk terus menjaga Saif lagi. Keadaan semakin bahaya kerana Blackwest sudah tahu tentang kewujudan Saif. Satu-satunya jalan untuk menyelamatkan Saif adalah dengan memasukkan Saif ke AIM kerana AIM mempunyai sistem pertahanan paling kukuh disebabkan ibu pejabat sebenar Kesatuan Durrah berada di sini. Rafael tahu tentang perkara itu dan dia mengamanahkan Saif kepada Zamir sebagaimana abang Haidhar mengamanahkan janjinya kepada Zamir," sambung Zamir lagi. Terasa bahunya ringan setelah dia menjelaskan segalanya.

    "Kenapa Blackwest begitu beria mahukan nyawa Saif?" Soal Tuan Rasyid keliru. Dia tak faham, dalam ramai-ramai ahli Kesatuan Durrah dan Keluarga Emir, kenapa Saif yang menjadi mangsa?

    "Kerana dendam Blackwest kepada Haidhar jauh mengatasi kebencian mereka kepada Keluarga Emir. Maka Saif yang menjadi sandaran untuk melunas dendam itu". Sampuk satu suara asing.

    Serentak tiga kepala di dalam bilik mesyuarat menoleh ke arah tingkap besar yang terletak berhampiran pintu keluar. Kelihatan Rafael sedang enak bersantai sambil menyandarkan tubuhnya pada bingkai tingkap. Sebelah kakinya dibiar terjuntai ke bawah manakala sebelah lagi dibengkokkan sehingga menyentuh hujung bingkai tingkap.

    Entah bila dia muncul, tiada sesiapa yang bisa meneka. Sedar-sedar, Rafael telah berada di situ dan menyampuk perbualan mereka.

    "Rafael!" Gumam Zamir terkejut.

    "Kau!" Jerit Tuan Ammar tiba-tiba. Pantas dia menerpa ke arah Rafael sebelum menarik lelaki itu turun dari tingkap. Dia melayangkan penumbuk sulungnya tepat ke pipi Rafael.

    Rafael tersungkur ke lantai. Dia menongkat tubuhnya dengan tangan kirinya sambil tersenyum sinis memandang Tuan Ammar. Tangan kanannya sibuk mengelap darah yang terbit dari bibirnya yang luka.

    "Penjaga Ammar Wildan, sudah lama berlalu sejak pertemuan terakhir kita. Kenapa? Teringatkan sesuatu?" Bidas Rafael sinis.

    "Kau!" Tuan Ammar sekali lagi mara untuk menyerang Rafael namun cepat-cepat dihalang oleh Zamir.

    "Abang! Sabar!"

    "Sabar? Sabar dengan lelaki ini? Zamir tahu tak siapa dia? Dia Storm, lelaki yang telah membunuh ayah abang! Dia bunuh Tuan Miftah! Dia juga yang membunuh Keluarga Emir yang lain! Macam mana abang nak bersabar?" Tengking Tuan Ammar. Dia meronta kuat dalam rangkulan Zamir.

    Rafael kembali berdiri. Dia lansung tak menghiraukan pandangan tajam Tuan Ammar sebaliknya mengalihkan pandangannya kepada Tuan Rasyid. "Assalamualaikum, Rasyidul Emir bin Miftahul Emir".

    Tuan Rasyid terpana mendengar salam yang dilafazkan oleh Rafael. "Kau sudah memeluk Islam, Storm?" Soalnya dalam nada pelik.

    Storm yang dikenalinya merupakan seorang jeneral Blackwest yang paling kejam antara semua tentera Blackwest yang lain. Hatinya tidak mempunyai belas kasihan terhadap musuh-musuhnya. Setiap ahli Kesatuan Durrah yang bertembung dengan lelaki itu akan berakhir dengan kematian yang mengerikan.

    Kebenciannya pada Kesatuan Durrah dan Keluarga Emir amat luar biasa.

    Jadi, bagaimana Storm boleh berubah sampai sanggup memeluk Islam?

    Rafael mengangguk perlahan. "Semuanya atas jasa Haidhar. Bukan saya seorang, malah Lady Mist dan dua orang lagi tentera elit Blackwest yang lain juga memeluk Islam atas usaha Haidhar. Kini, nama aku bukan lagi Storm tetapi Rafael," jelas Rafael.

    "Jadi kau penjaga Saif?" Soal Tuan Ammar pula. Wajahnya pucat tak berdarah akibat kejutan yang diterimanya berkali-kali pada hari ini.
    Rafael mengangguk lagi. Melihatkan Tuan Ammar tidak lagi meronta, Zamir melepaskan rangkulannya. Tuan Ammar terduduk. Terlalu sukar untuk dia mempercayai semua ini.

    "Ammar... Rasyid...maafkan dosa-dosa silam aku. Aku sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk menebus dosa lalu aku," ujar Rafael. Hilang nada sinisnya tadi digantikan dengan suara tenangnya.

    Tuan Ammar kehilangan bicaranya. Dia hanya merenung kosong wajah Rafael. Berbeza sungguh wajah lelaki itu berbanding saat Rafael menjadi Jeneral Storm yang dikenalinya dulu. Air muka Rafael kini kelihatan lebih lembut dan berseri.

    "Apa buktinya bahawa kau benar-benar berubah?" Soal Tuan Ammar dengan nada yang lebih lembut berbanding tadi. Dia cuba mengetepikan emosinya tatkala melihat kejujuran yang terpancar pada wajah Rafael.

    "Tak cukupkah dia menjaga Saif dengan baik selama lima belas tahun ini?" Sampuk Zamir pula. Geram melihat Tuan Ammar cuba mempertingkaikan kejujuran Rafael. Keras sangatkah hati abangnya itu?

    "Tak ada jaminan yang dia tidak mempunyai rancangan lain untuk memperdaya kita dengan kebaikannya itu? Siapa tahu kalau-kalau dia menukar Saif dengan orang lain awal-awal tadi. Bukankah Blackwest sememangnya pakar dalam pembedahan plastik ini?"

    "Abang!"

    Jawapan Tuan Ammar menyentapkan hati Zamir dan Tuan Rasyid yang berdiam diri sedari tadi. Mereka lansung tidak memikirkan kemungkinan itu. Kata-kata Tuan Ammar ada benarnya. Lagipun, tiada sesiapa yang pernah melihat Saif dalam tempoh lima belas tahun ini sehinggalah Saif menjejakkan kaki ke AIM.

    Rafael hanya tersenyum tenang. "Aku sudah mengagak kau akan berkata begitu". Rafael mengeluarkan sesuatu dari koceknya lalu melemparkan benda itu kepada Tuan Ammar.

    Dengan cekap Tuan Ammar menyambut biarpun sedikit kelam-kabut kerana tidak menjangkakan tindakan Rafael.

    "Memoir?" Ujar Tuan Rasyid kehairanan melihat benda yang berada di tangan abang iparnya.Rekaan Memoir berbeza untuk setiap orang dan rekaan Memoir yang berada di tangannya itu seakan selalu dilihat.

    "Memoir Haidhar.." jawab Rafael. Tiga pasang mata dalam bilik itu serta-merta terarah ke Rafael.

    "Kalau Memoir Haidhar berada dengan kau bermakna..." Kata-kata Tuan Rasyid terhenti. Dia tak sanggup meneruskan ayatnya.

    "Ya, Haidhar telah tiada. Selepas bertemu kamu malam itu Zamir, kami terus diserbu oleh Blackwest. Bonda Saif turut terkorban".

    Air mata ketiga-tiga Keluarga Emir itu mulai gugur. Tuan Ammar mengengam Memoir Tuan Haidhar kuat sambil memejamkan matanya. " Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun," lafaznya perlahan. Tuan Ammar menyeka air matanya. Dia menekan punat paling kecil di tepi Memoir Tuan Haidhar. Satu paparan hologram terpancar. Tuan Ammar meletakkan tapak tangannya pada pancaran hologram itu. Hologram itu bergulung sebelum menghilang. Kemudian, satu pancaran hologram yang lain pula muncul. Kali ini, pancaran hologram itu membentuk imej seorang lelaki muda. Lebih tepat lagi, imej Tuan Haidhar.

    "Assalamualaikum.. Keluarga Emir yang dicintai sekalian. Ketahuinya, andai kalian melihat rakaman ini, bermakna...mungkin angah telah tiada. Itu juga bermakna bahawa Saif telah selamat pulang ke pangkuan keluarganya yang sebenar. Terima kasih kerana sudi menerima kehadiran putera tunggal angah wahai Keluarga Emir yang angah cintai sekalian. Angah tahu, ini semua amat mengejutkan. Angah tak berniat untuk menyembunyikan semua ini dari keluarga angah sendiri. Sejak angah meninggalkan AIM, macam-macam perkara yang berlaku. Angah pergi untuk menyelesaikan misi yang lain tetapi Allah mentakdirkan angah menghadapi perkara lain. Alhamdulillah, di sini, angah menyaksikan keislaman Storm, Lady Mist, River dan Wind. Mereka banyak berubah dan membantu angah menyelesaikan misi disini. Angah juga tak menyangka akan bertemu jodoh di sini. Hakikatnya, Lady Mist itu kini ialah isteri angah dan bonda Saif. Kanda Ammar dan adinda Rasyid...tolong keluarga keluarga angah ini ya. Angah sayangkan Lady Mist dan Saif macam abang sayangkan kak long dan anak-anak abang..." Cerita Tuan Haidhar terus berlanjutan, merungkaikan hampir segala misteri.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now