Bab 33

438 61 0
                                    

Saif memandang Ice yang sedang bergerak keluar dari bilik itu. Nafas dihela perlahan. Entah mengapa, sejak dia pengsan tempoh hari, Ice tidak lagi menyentuh dan menyeksanya. Lelaki itu sekadar masuk untuk termenung di dalam bilik itu berjam-jam lamanya sebelum dia keluar semula.

Bercakap tidak, menyeksa pun tidak.

Kata-kata yang Ice ujarkan tempoh hari hanya tinggal kata.

Cakap kosong.

Bukan dia mengharapkan Ice kembali menyeksanya. Tidak. Cuma, dia terasa pelik apabila Ice yang dikenalinya selama ini telah berubah tiba-tiba. Wajah Ice yang selama ini beku dingin turut berubah kosong.

Tiada lagi riak yang terpapar.

Hanya kosong.

Tanpa emosi.

Apa perubahan itu mempunyai kaitan dengan kematian Stone? Sungguh, hanya Allah yang lebih mengetahui.

Saif memandang gari besi yang membelenggu tangannya. Memikirkan cara untuk membuka gari itu tanpa disedari oleh Ice. Teringat kata-kata bondanya yang meminta dia mencari lelaki yang bernama Wind.

Di mana dia boleh mencari lelaki itu?

-----------------------------------------------------------

"Ice!" Jerit Sky dari kejauhan.

Ice berhenti melangkah. Dia berdecit saat melihat Sky yang berjalan menghampirinya. Kedua-dua tangannya disilang pada dada. Dia menunggu sehingga lelaki itu tiba dihadapannya.

"Apa kau nak?!"

Sky hanya beriak kosong. Tidak tersenyum. Tidak juga berwajah tegang. "Kau dari mana?" Soalan Ice dibalas pertanyaan.

Ice merengus perlahan. "Dari tempat biasa. Kenapa?" Soalnya. Tempat biasa bermaksud bilik kurungan Saif. Dia memandang Sky penuh curiga. Dia bukan rapat dengan Sky sehingga boleh bertukar khabar. Selama ini pun, jarang-jarang sekali mereka bertegur sapa.

Sky memandang ke kiri kanan. Setelah memastikan tiada sesiapa di koridor itu, dia kembali memandang Ice. "Wind. Aku tahu kau tahu dia ada disini. Dia nampak berminat dengan mangsa kau," beritahunya dalam nada perlahan. Seakan itu adalah rahsia besar.

Ice mencebik. "Biarkan si pengkianat itu. Aku malas nak ambil kisah. Lagipun budak pewaris cahaya dan kabus itu sudah nak mati pun".

Sky menjongketkan bahunya. Duganya Ice akan melenting apabila mendengar berita itu. Selalunya, Ice pantang mendengar nama-nama yang berkaitan dengan Light dan Mist. Betullah kata mereka yang lain. Ice telah berubah. "Lantak kau lah Ice. Jangan kata aku tak beri amaran awal-awal. Kau bukan tak tahu kelicikan dia. Aku pergi dahulu," balasnya sambil menepuk bahu Ice.

Ice mengelak. Sky hanya tertawa sinis lalu beredar pergi. Langkah Sky diekori oleh Ice dengan ekor matanya sehingga bayang-bayang lelaki itu menghilang dari pandangannya.

"Keluarlah Wind. Jangan ingat aku tak tahu kau berada di situ dari tadi," ujar Ice tiba-tiba.

Kelihatan sebuah pintu berhampiran terkuak perlahan dari dalam sebelum muncul kepala Wind yang menoleh ke kiri kanan berulang kali. Dia tersengih memandang Ice lalu mendekati lelaki itu.

"Apa kau nak?!" Kasar Ice bertanya. Sudah lama dia mengagak Wind akan menemuinya. Cuma lelaki itu agak lewat dari jangkaannya.

Wind, anak buah Storm. Sama seperti dia dan Stone dahulu. Tetapi pangkat Wind lebih tinggi dari mereka kerana dia ialah pengintip elit kelas pertama. Sama seperti River, Wind seorang yang pendiam dan jarang menyertai misi. Namun jika dibandingkan dengan River, Wind jauh lebih misteri kerana peluang untuk bersua apatah lagi berbicara dengan Wind hampir sifar. Hanya orang atasan dan pasukan Storm yang mengenali lelaki itu.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now