Bab 54

361 56 0
                                    

"Furqan..." panggil Fathul dalam nada berbisik.

Furqan memandang sahabatnya itu buat beberapa detik sebelum kembali memandang Saif yang sedang mengorak langkah pantas menyusuri denai kecil di dalam hutan ini.

Semakin lama, langkah mereka semakin jauh memasuki hutan yang jarang dijejak orang ini melainkan ahli-ahli Kesatuan Durrah. Lincah dan cekap sahaja pergerakan Saif mengelak segala akar pokok dan rimbunan semak berduri yang cuba merintangi perjalanannya. Seakan-akan semua selok-belok hutan itu sememangnya telah tersedia dalam kepalanya.

"Betulkah apa yang kita lakukan sekarang ini? Bukan Tuan Haidhar telah melarang kita mengizinkan Saif memegang sebarang senjata?" soal Fathul dalam nada bimbang.

"Betullah. Lagipun mana ada apa-apa senjata pada Saif sekarang. Cuba lihat, dia hanya bertangan kosong sejak tadi," balas Furqan perlahan. Enggan perbualan mereka didengari Saif yang bertelinga lintah itu.

Fathul membuat muka mendengar bicara selamba Furqan. Ranting pokok dihadapannya ditepis ke tepi sambil dia terus melangkah mengekori jejak Furqan.

"Maka, saya bertambah bimbang jika Saif tidak membawa senjata. Bagaimana jika apa-apa berlaku nanti? Blizzard bukan sebarangan tentera. Kekuatannya hampir menyamai paman Rafael. Apa pula reaksi Tuan Haidhar jika dia tahu kita membiarkan Saif keluar mencari maut? Silap hari bulan, kita akan dihukum!" Laju Fathul berbicara menandakan keresahannya bukan sekadar mainan.

Furqan berhenti menapak menyebabkan Fathul yang sedang memandang tanah terlanggar sahabatnya itu. Sempat Furqan memaut bahu Fathul yang hendak terlentang kebelakang angkara impak pelanggaran mereka.

"Apa saudara ini?" marah Fathul sambil mengusap hidungnya yang terasa sedikit sakit. Dia menjarakkan dirinya dari Furqan dengan menapak selangkah ke belakang.

"Saudara inikan...hishhh..." marah Furqan. Rambutnya diramas kasar. "Bukan saudara juga yang bersetuju sebelum ini? Jadi kenapa risau sangat ini...?" bebel Furqan.

Fathul mencebikkan mulutnya, tidak puas hati. "Memang saya risau, sahabat kita itu. Sungguh saya tak fahamlah... Tuan Haidharkan ketua saudara. Kenapa saudara tergamak mengingkari arahannya pula?" bidas Fathul. Tangannya digerak-gerakkan mengikut rentak suaranya.

Furqan mengecilkan matanya. Tajam pandangannya menikam wajah sahabatnya itu sebelum dia kembali berpaling memandang ke hadapan. Terasa degupan jantungnya seakan terhenti melihatkan Saif yang telah lesap.

Dia kembali memandang Fathul yang mempamerkan riak tak bersalah.

"Saudara sengajakan?"

Fathul tersengih. "Sengaja apa?" duganya yang pura-pura tidak faham.

Furqan merengus perlahan. Sepatutnya dia sedar perkara itu lebih awal tetapi dengan mudahnya dia terjebak dalam perangkap Fathul. Kealpaannya menyebabkan Saif menyedari kehadiran mereka lalu bertindak melarikan diri.

Dan dia lansung tidak perasan akan semua itu gara-gara terlalu geram dengan kerenah Fathul yang mengada-gada itu.

"Lain kali, ingatkan saya agar jangan percayakan saudara," ujar Furqan dalam nada dingin.

"Tenanglah. Saif bukan anak kecil. Dia tahu bagaimana hendak menjaga diri sendiri. Hakikatnya, dia tak perlukan kita berdua pun untuk membantunya," pujuk Fathul.

Furqan menjeling sahabatnya itu tajam. Tangannya disilang merintangi dada. "Bukan tadi saudara yang beria risaukan dia? Konon itulah, inilah. Kenapa ubah fikiran sekarang?" bidas Furqan sinis. Keningnya diangkat menantikan jawapan Fathul.

"Atau saudara sememangnya tidak mengambil kisah tentangnya? Jika Saif tiada, saudara tak perlu rasa rendah diri lagi, bukan?"

Terbelalak mata Fathul mendengar tuduhan yang tidak disangka itu. Persoalannya, bagaimana Furqan mengetahui isi hatinya itu? Dia tak pernah meluahkan kepada sesiapa akan perasaan rendah diri yang dirasakannya setiap kali bersama Saif dan Furqan. Itu rahsianya.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now