Bab 35

417 61 2
                                    

"Apa yang sedang berlaku?" Soal Tuan Ammar kepada tabib Khalid yang berdiri didepannya. Mereka sama-sama memandang wad Tuan Rasyid dan Furqan yang hanya bersebelahan. Di tepi Tuan Ammar, kelihatan Fathul yang sedang duduk dengan wajah sunggul.

Tabib Khalid menggeleng tidak tahu. Hasil pemeriksaannya, Tuan Rasyid hanya pengsan akibat terlalu penat. Bukan kerana menghidap sebarang penyakit. Manakala Furqan telah selamat dijahit semula perutnya. Kini, pemuda itu sedang tidur.

"Saya pergi dahulu tuan. Kalau ada apa-apa yang berlaku, sila maklumkan kepada saya," ujar tabib Khalid sambil menepuk bahu Tuan Ammar lembut. Dia beredar pergi.

"Sebelum Furqan pengsan, dia ada menyebut nama Saif..." Ujar Fathul tiba-tiba setelah suasana sepi buat beberapa ketika. Kelihatan kesedihan yang membayangi mata kuyunya.

"Eh, Tuan Rasyid kamu juga sama!" Beritahu Tuan Ammar dalam nada terkejut.

Kemudian suasana menjadi sepi. Mereka berdua berpandangan antara satu sama lain. Satu persoalan yang sama muncul di fikiran masing-masing.

"Tuan rasa...Saif dalam bahaya ke sekarang?" Fathul mengetap bibirnya. Risau andai andaiannya benar-benar berlaku. Sungguh, dia tak sanggup kehilangan Saif, sahabat yang telah dianggap sebagai abangnya sendiri walaupun mereka sebaya.

"Ya allah..." Tuan Ammar meraup wajahnya. Bila dugaan ini mahu berakhir?

------------------------------------------------------

"Furqan...marilah makan..." Ajak Fathul. Dia memegang semangkuk bubur ayam yang dimasak sendiri. Itu makanan kegemaran Furqan.

Senyap. Furqan membisu tanpa membalas. Dia hanya termenung ke luar tingkap. Riak wajahnya kosong. Sedikit pun dia tidak mempedulikan kehadiran Fathul. Fikirannya melayang mengingati Saif yang muncul di dalam mimpinya.

"Furqan...." Panggil Fathul. Masih belum berputus asa untuk menarik perhatian sahabatnya.

Sejak Furqan tersedar pagi tadi, lelaki itu hanya termenung sepanjang waktu di katilnya. Hanya pada waktu solat sahaja dia bergerak. Sepatah perkataan pun tidak terkeluar dari mulut pemuda itu. Makan pun tidak. Minum pun tidak. Seakan-akan ada yang menganggu fikiran sahabatnya.

Fathul meletakkan kembali mangkuk bubur itu diatas meja. "Saya nak keluar sebentar. Mahu apa-apa tak?" Tanya Fathul sambil berdiri.

Diam lagi. Fathul mengeluh perlahan. Dia menapak keluar dengan hati yang berat. Dia tidak ke mana-mana. Sekadar duduk di bangku panjang yang disediakan di luar wad. Dia termenung jauh sambil cuba menenangkan diri melihat perubahan sahabatnya.

Kedengaran pintu dikatup membuatkan Fathul mengangkat kepalanya. Dia memandang Tuan Ammar yang baru keluar dari wad Tuan Rasyid. Seperti dirinya, Tuan Ammar juga kelihatan sugul.

"Bagaimana keadaan Furqan?"

Fathul menggeleng lambat-lambat. "Dia asyik termenung sahaja, tuan. Bercakap tidak, makan pun tidak. Risau saya melihat keadaan dia..." Adu Fathul.

"Tuan Rasyid kamu pun sama. Cuma dia masih lalu makan dan mahu diajak bercakap. Itupun ditanya sepatah, sepatah juga yang dijawabnya," luah Tuan Ammar.

"Sesungguhnya, dugaan itu tidak bertanda, tuan. Tiada sesiapa mampu menduga bila dugaan berlaku dan bila pula dugaan itu berakhir. Kita sebagai manusia hanya mampu berdoa agar Allah memudahkan segalanya disamping kita sendiri berusaha keras untuk mencari jalan keluar," balas Fathul.

Tuan Ammar tersenyum melihat kematangan putera Tanah Lazuardi itu. "Kamu tidak bersedih dengan kehilangan Saif?" Duga Tuan Ammar.

Fathul menunduk. "Sedih. Siapa yang tidak sedih. Seperti Furqan, saya juga sahabat Saif. Jika Furqan yang pertama, maka sayalah yang kedua. Pasti saya risau dengan keadaannya di sana yang tidak saya tahu entah di mana. Tetapi...kalau saya hanya memikirkan Saif, bagaimana saya hendak teruskan kehidupan. Sedang banyak lagi perkara lain dihadapan mata saya yang memerlukan perhatian saya".

"Kesedihan, kedukaan, kesakitan itu tidak perlu ditunjuk saban waktu. Kita...sebagai muslim bukan insan yang lemah. Ada Allah bersama kita". Fathul kembali menatap wajah Tuan Ammar.

"Tetapi tak bermakna Furqan dan Tuan Rasyid itu lemah..." Sambung Fathul.

Dia membuang pandangannya ke arah wad Tuan Rasyid dan Furqan yang hanya bersebelahan. "Kita tak rasa apa yang mereka rasa. Mereka...punya ikatan istimewa dengan Saif yang kita tidak memilikinya. Tuan Rasyid mempunyai ikatan darah dengannya, manakala Furqan ialah sahabat pertama dan sahabat paling akrab dengannya. Kerana itu, jika ada apa-apa yang berlaku pada Saif...naluri mereka dapat rasa".

Dalam diam, Tuan Ammar mengiyakan kata-kata Fathul. "Semoga Allah menjaga Saif walau dimana pun dia berada. Walaupun dia dalam cengkaman Blackwest sekalipun. Kadang-kadang, naluri manusia pun boleh tersilap kerana kita bukan Tuhan tetapi hanya seorang hamba biasa," balas Tuan Ammar dalam pengharapan.

Fathul mengangguk bersetuju. Dia mengaminkan doa Tuan Ammar dalam hati. Dia tak sanggup melihat Furqan yang dikenalinya sebagai seorang yang ceria, asyik termenung sugul sepanjang hari. Sebagai seorang sahabat, dia ingin melihat Furqan yang tabah dan ceria menjalani kehidupannya hari-hari. Kerana saat ini dia hanya ada Furqan sebagai sahabat. Saif telah tiada di sisi mereka semua...

"Apa yang berlaku pada paman Rafael pula?" Soal Fathul tiba-tiba. Teringat pula kepada datuk asuhan Saif itu. Dia tertarik untuk mengetahui jika sesuatu berlaku kepada Rafael memandang lelaki itu telah hidup bersama Saif selama lima belas tahun. Hubungan mereka juga agak rapat.

"Kenapa dengan paman Rafael?" Sampuk satu suara.

"Rayyan? Saudara buat apa di sini?" Soal Tuan Ammar yang terkejut melihat kehadiran tabib yang cukup dihormati dalam kalangan Kesatuan Durrah itu.

Tabib Rayyan membuat wajah pelik. "Inikan hospital. Mestilah saya bertugas di sini," balasnya.

Tuan Ammar tersengih. Lucu dengan kesilapannya sendiri. Dia memandang tabib Rayyan yang sedang menanggalkan kot putihnya. Meninggalkan baju melayu berwarna kuning lembut di dalam. Baju melayu jenis cekak musang itu membuatkan tabib Rayyan tampak lebih kacak dari biasa.

"Bagaimana keadaan Tuan Rasyid dan Furqan?" Soal tabib Rayyan prihatin. Kali ini dia tidak menguruskan Furqan dan Keluarga Emir memandangkan dia mempunyai pesakit lain pada waktu itu. Maka, tanggungjawab itu diserahkan kepada tabib Khalid yang mempunyai kekosongan waktu.

"Alhamdulillah, mereka telah stabil. Tetapi entah mengapa, mereka asyik termenung sejak masing-masing sedarkan diri," cerita Tuan Ammar.

"Ohhh..." Hanya itu yang keluar dari mulut tabib Rayyan. Kemudian dahinya berkerut sedikit apabila mengingati sesuatu. "Paman Rafael pun pitam malam tadi. Kenapa ya, tiba-tiba semua orang jatuh sakit?" Ujar tabib Rayyan. Kotnya dilipat dua lalu diletak di atas bangku kosong di situ.

Tersentak Fathul dan Tuan Ammar mendengar bicara tabib itu. Benarlah andaian Fathul. Pasti ketiga-tiga kejadian itu berkait rapat dengan keadaan Saif disana. Entah apa yang berlaku kepada pemuda itu. Kebimbangan di hati mereka kian membesar walaupun tidak terpancar pada wajah masing-masing. Risau dengan keadaan Saif.

"Rafael tak beritahu apa-apa?"

"Tak. Dia cuma kata bahawa dia hanya kekurangan rehat. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Tetapi selepas subuh tadi saya melihat paman Rafael menangis di biliknya".

"Rafael menangis?" Tuan Ammar terkejut. Sukar untuk dia membayangkan Rafael yang pernah dikenalinya sebagai Storm menangis. Rafael di zaman ketika dia masih seorang Storm ialah seorang yang berhati kering. Tak lut dek perasaan.

"Ya, menangis. Saya terkejut, tetapi saya tidak pula bertanya sebabnya kepada dia. Nampaknya, paman Rafael benar-benar telah berubah," balas tabib Rayyan tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Sedikit pun dia tidak sedar wajah Tuan Ammar dan Fathul telah berubah.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now