Bab 52

386 64 0
                                    

Jalur-jalur merah mula terbias pada dada langit yang masih gelap. Tuan Rasyid menatap pemandangan matahari terbit itu dari jendela Menara Utara.

Alangkah baiknya andai suasana ketika itu selari dengan pemandangan indah itu.

Malangnya, mimpi sekadar tinggal mimpi.

Realiti adalah jauh lebih kejam.Hakikatnya, sekarang adalah peperangan.

"Lepaskan kapal-kapal kita sekarang," arah Tuan Rasyid sambil memalingkan tubuhnya menghadap unit Penjejak yang telah bersedia di tempat masing-masing.

Di hadapan setiap dari mereka, ada skrin hologram kecil yang memaparkan maklumat-maklumat penting. Manakala skrin hologram gergasi yang berada di bahagian hadapan bilik kawalan itu pula memaparkan keadaan di sekitar AIM dan kawasan perairan.

'Ifwat mengangguk. Lancar jari-jemarinya meniti satu demi satu butang di atas papan kekunci hologram sambil matanya dipakukan ke arah skrin mini dihadapannya. Pergerakan jari-jarinya teramat pantas sehinggakan hanya bayangan yang kelihatan.

Dalam kesibukan jari-jemarinya menari diatas papan hologram, sesekali kedengaran suara tegasnya memberi arahan kepada anak-anak buahnya yang lain atau pun menyatakan maklumat semasa yang terpapar di skrinnya pada semua yang berada di situ. Terserlah karismanya sebagai seorang ketua unit Penjejak saat ini.

Tuan Rasyid memandang ke arah skrin hologram gergasi tanpa berganjak dari tempatnya. Melihat sebuah gua yang agak tersorok dari kawasan pantai. Gua itu sebenarnya merupakan tempat mereka menyimpan dan memperbaiki kapal-kapal milik mereka.

Di pintu gua, kira-kira tiga puluh kapal mereka mulai muncul dengan berlayar tenang menuju ke tengah lautan. Sepertimana yang diarahkan Tuan Haidhar, kapal-kapal itu kosong tanpa sebarang kehadiran seorang pun manusia. Mereka sekadar mengawal pergerakan kapal-kapal itu secara jauh dari bilik kawalan ini sahaja.

Masing-masing menarik nafas saat kapal-kapal itu menghampiri jaringan gergasi Tuan Haidhar. Jaringan itu menghalang laluan kapal-kapal dari mara ke kawasan Blackwest.

Tiba-tiba jaringan itu pecah sebaik sahaja muncung kapal yang paling hadapan menyentuh jaringan itu. Jaringan itu bertukar menjadi butir-butir debu halus yang meliputi permukaan kapal-kapal mereka. Dari jauh, kelihatan seakan-akan kapal-kapal itu dilitupi salji.

"Teruskan bergerak! Jangan menggelabah!" arah Tuan Rasyid tatkala melihat unit Penjejak yang terganggu dengan kejadian yang tidak diduga itu.

Akur dengan arahan itu, mereka kembali menumpukan perhatian pada skrin dihadapan mata. Rentak di dada kian terasa seiring pergerakan kapal-kapal mereka yang mula menghampiri kapal-kapal Blackwest.

Tak dapat menjangka apa yang akan berlaku apabila kapal-kapal kosong itu bertembung dengan kapal-kapal Blackwest.


Tiba-tiba muncul bunga api gergasi yang memancar ke langit sebelum meletup kuat. Sisa-sisa bunga api itu jatuh bagaikan hujan api ke atas kapal-kapal Kesatuan Durrah. Serbuk-serbuk putih dari jaring gergasi Tuan Haidhar terbakar marak dan menelan semua kapal-kapal Kesatuan Durrah.

Namun dek kerana kawalan jarak jauh, kapal-kapal Kesatuan Durrah itu masih terus bergerak menuju ke kapal-kapal Blackwest. Kapal mereka mula bertembung sesama sendiri. Blackwest yang tidak menduga keadaan itu mula kelam-kabut. Mereka cuba melarikan diri demi mengelakkan kapal mereka turut terbakar.

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now