Bab 3

623 91 9
                                    

    Saif termenung jauh menghadap laut yang terbentang luas di hadapannya. Seperti biasa, lidahnya tidak sunyi dari mengalunkan zikir secara perlahan. Tangannya memeluk kedua-dua lutut hingga rapat ke dada. Kaki yang tidak beralas dibiarkan disapa oleh ombak yang bergulung tanpa henti.

    Sesekali, dia menarik nafas dalam nan panjang lalu dilepaskan perlahan-lahan. Terasa jiwanya kembali terasa lapang. Diisi dengan kekaguman terhadap kehebatan Allah SWT yang mencipta alam yang serba indah ini.

    "Assalamualaikum," ujar Saif tiba-tiba tanpa berpaling.

    Terus mati niat Furqan untuk mengejutkan sahabatnya yang disangka sedang khusyuk termenung. Dia menjeling ke arah Fathul yang rancak tertawa tanpa suara dibelakangnya. Malas nak mempedulikan Fathul, Furqan mengatur langkah menghampiri Saif.

    Saif tersenyum nipis. Dia masih memandang ke arah laut tanpa berpaling menghadap sahabat-sahabatnya sedikit pun. Walaupun Furqan telah berhati-hati, telinganya lebih cekap menangkap bunyi tapak kasut pemuda itu dan Fathul yang bergesel dengan pasir pantai. Bunyi ombak yang kuat tidak mampu mengagalkan dirinya dari mengesan pergerakan sahabat-sahabatnya.

    "Saudara sekalian dari mana?" Soal Saif tatkala Furqan dan Fathul telah selesa mengambil tempat disisinya. Furqan memilih tempat disebelah kanannya manakala Fathul berada dikirinya. Kedua-dua sahabatnya turut duduk secara memeluk lutut dan membiarkan kaki mereka disapa ombak kerana mereka berada betul-betul di gigi laut.

    "Dari kelas. Saudara bukan ke ada latihan bersama Guru Afkar?" tanya Fathul memandangkan pemuda itu tiada di lapangan latihan semasa mereka mencarinya di sana tadi.

    "Latihan dibatalkan," pendek Saif membalas.

    Suasana kembali sepi. Mereka bertiga khusyuk menikmati keindahan ciptaan Allah yang terbentang luas di depan mata sambil mengalunkan zikir secara perlahan, seiring dengan irama ombak yang tidak putus-putus menghempas pantai.

    Terasa nyaman dan lapang.

    "Saif...apa kata saudara bercerita apa-apa kisah bagi mengisi masa lapang kita ini..." pinta Fathul tiba-tiba setelah hampir suku jam mereka menikmati suasana damai. Dia sudah kebosanan.

    "Bercerita mengenai apa?" Soal Saif pula.

    Selama seminggu ini, mereka bertiga banyak menghabiskan masa bersama-sama. Setiap kali melepak bersama, pantai ini sering menjadi pilihan mereka selain bilik mereka sendiri. Tanpa sedar, mereka telah pun menjadi sahabat akrab. Keakraban itu teramat erat sehinggakan warga AIM menggelar mereka tiga kembar tidak sedarah.

     Fathul tersengih. Kepalanya digaru. "Mengenai saudara?" Ujarnya dalam nada teragak-agak.

     Saif tersenyum simpul. Furqan yang tadinya khusyuk memandang laut, kini telah beralih memandangnya. Tampak jelas pandangan kedua-dua sahabatnya yang begitu mengharap agar dia bersetuju.

    Saif menarik nafas dalam.

    Dia kembali memandang ke arah laut.

    "Tak ada apa-apa yang perlu diceritakan mengenai saya".

    Wajah Fathul berubah kecewa mendengar jawapan Saif. Tetapi tidak Furqan yang masih merenung wajah Saif. "Kenapa saudara terlalu berahsia?" Soal Furqan.

    "Kerana.." Saif berpaling memandang Furqan. "Saya sendiri tidak tahu apa-apa mengenai diri saya," sambung Saif sambil mengangkat bahunya. Dia menguntumkan senyuman manis.

    Furqan terkedu seketika. Terbit rasa kasihan terhadap nasib pemuda itu. Dia menjeling Fathul yang mengerutkan dahi tak faham.

    "Bagaimana mungkin saudara tidak tahu apa-apa mengenai diri saudara sendiri?"

AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now