Bab 46

397 58 1
                                    

Semboyan kecemasan dibunyikan. Bergema di seluruh pelosok AIM. Ketenangan malam itu terganggu. Semua penuntut AIM bangkit dari tidur masing-masing seraya berkumpul di Balai Besar manakala ahli-ahli Kesatuan Durrah mengambil tempat di posisi masing-masing.

Suasana kelihatan sedikit kelam-kabut meskipun masih terkawal. Tuan Rasyid memerhatikan keadaan itu dari Menara Utara. Ketinggian menara itu cukup untuk membolehkan pandangannya menjangkau sehingga ke arah laut di mana armada Blackwest berada.

"Siapa sangka, hari ini tiba jua..." Ujar Tuan Ammar sambil berdiri di belakang adik iparnya.

"Kita hanya mampu merancang, Allah jua sebaik-baik perancang. Rasyid mendoakan agar semua baik-baik sahaja. Dalam keadaan begini, kedua-dua pihak ada kelebihan masing-masing. Keputusannya tak dapat dijangka," balas Tuan Rasyid.

"Abang harap Rasyid berhati-hati kerana abang dapat merasakan bahawa Rasyid akan menjadi sasaran mereka kali ini." Tuan Ammar menyuarakan kerisauannya.

Tuan Rasyid hanya tersenyum manis seraya menepuk bahu abang iparnya itu perlahan. "Allah ada, itu sahaja jaminan yang Rasyid ada, " balas Tuan Rasyid tenang.

Tuan Ammar mengeluh perlahan. Dia kembali memandang tompokan cahaya yang jauh di laut sana. Tompokan cahaya itu kekal pegun menandakan bahawa Blackwest telah berhenti mara. Barangkali mereka sedang menyusun perancangan agar lebih kemas. Sejujurnya, walaupun teknologi Kesatuan Durrah jauh lebih maju dari Blackwest, namun dalam keadaan ini mereka tetap tersepit. Segalanya berlaku secara tiba-tiba.

"Abang Haidhar ada. Maka usah abang terlalu risau," pujuk Tuan Rasyid.

"Apa yang seorang Haidhar mampu lakukan? Abang tak rasa dia mampu selamatkan kita lagi kali ini".

"Yang Maha Menyelamatkan itu Allah, abang Ammar. Bukan abang Haidhar. Lagipun, Rasyid tak rasa abang Haidhar hanya berdiam diri sepanjang kehilangannya. Mungkin sudah tiba masa untuk dia membongkarkan rahsianya," bicara Tuan Rasyid sambil mengangkat keningnya.

"Kamu benar, wahai Rasyid," iya satu suara asing.

Serentak kedua-dua Keluarga Emir itu menoleh ke belakang akibat refleks. Senyuman masing-masing berbunga melihat kehadiran Sultan Faizan Rafiq di situ. Lantas, tangan dijabat erat demi meneguhkan ukhwah yang terbina.

"Maksud tuanku?" soal Tuan Ammar yang jelas keliru.

"Kalian tahukan bahawa Blackwest memburu Pedang Lazuardi? "

Tuan Ammar mengangguk manakala Tuan Rasyid kelihatan seakan sedang memikirkan sesuatu. "Apa kaitannya? " tanya Tuan Ammar lagi.

"Dari dahulu lagi saya tertanya, benarkah Pedang Lazuardi itu wujud? Kenapa tiada seorang pun diantara kita yang tahu tentang kewujudannya?" Tuan Rasyid membangkitkan persoalan yang bermain di kepalanya.

"Ya, pedang itu wujud...tetapi bukan dalam keadaan seperti apa yang kalian bayangkan," balas Sultan Faizan Rafiq dengan senyuman yang masih terukir di bibirnya.

"Sebenarnya, ketiga-tiga kami sultan negara Kesatuan Durrah telah lama tahu tentang Haidhar masih hidup. Adapun kami mendiamkan diri selama ini atas permintaan Haidhar sendiri. Haidhar menemui kami bertiga untuk mengatur rancangan sempurna untuk hari ini," jelas Sultan Faizan Rafiq.

"Hari ini? Maksudnya peperangan ini?" sampuk Tuan Ammar.

"Ya, semua telah tersedia dalam perancangan Haidhar sejak awal lagi".

Tuan Rasyid mengerutkan dahi. "Maka, apa kaitannya dengan Pedang Lazuardi yang dicari oleh Blackwest?"

Sultan Faizan Rafiq menepuk bahu ketua Kesatuan Durrah itu perlahan. "Banyak kaitannya. Cuma kalian perlu bersabar dan terus menanti apa yang akan berlaku sebaik sahaja Blackwest menggerakkan catur mereka". Sengaja Sultan Faizan Rafiq merahsiakan perkara itu.

-----------------------------------------------------------

Zamir menikam keris milik Saif ke dalam lekukan batu yang tersembunyi dicelah banir pokok hujan-hujan yang ada di Dataran Terapung. Sebuah laluan rahsia bawah tanah muncul. Tanpa sebarang rasa ragu, Zamir memasuki laluan rahsia itu. Terasa debaran yang mengocakkan dadanya. Dia terlopong seketika melihat suasana disekitarnya.

Di kiri dan kanannya, tersusun kemas replika pedang dan keris yang dipamerkan di atas tiang-tiang marmar putih disepanjang laluan sehingga ke penghujung. Replika pedang dan keris itu berbagai bentuk dan jenis. Ada yang berlok, ada juga yang lurus. Warnanya turut beraneka dari hitam ke perak.

Di bahagian atas laluan itu pula, tergantung puluhan lampu kristal berwarna keemasan yang telah diselaputi sawang labah-labah. Rekaannya sama seperti lampu di dalam Masjid al-Mukhzirin. Cuma saiz lampu disitu agak kecil.

Zamir kembali melangkah. Di setiap langkah yang teratur, pasti akan menyala satu lampu kecil itu menemani perjalanannya. Sebaik sahaja dia melepasi kawasan itu, lampu akan kembali terpadam. Zamir memandang laluan yang dilaluinya. Lantai itu diperbuat dari kaca dan kedengaran seakan-akan bunyi air mengalir dari bawah lantai kaca itu. Disebabkan kamar itu sudah lama tidak dikunjungi sesiapa, lantai kini berdebu tebal sehingga dia tidak mampu melihat apa yang tersembunyi dibawah lantai. Mengingatkan suasana di Dataran Terapung, dia mengagak bahawa ada sungai buatan yang mengalir dibawah lantai.

Tanpa sedar, kini langkahnya bertemu ke penghujung. Zamir mengangkat kepalanya. Jalan mati. Tiada lagi laluan yang kelihatan. Yang ada hanyalah pintu kayu yang halus terukir disetiap sisinya namun kelihatan agak usang. Sebahagian pintu itu sudah mereput. Zamir cuba memulas tombol pintu. Tak berganjak biarpun tak berkunci. Dia cuba merempuh pintu itu sekuat dayanya. Lansung tak bergerak sedikitpun. Kekuatan pintu itu lansung tidak padan dengan gaya pintu itu yang sudah usang.

"Kadang-kadang kita sudah terbiasa dengan cara biasa sehingga kita tidak terfikir cara yang luar biasa".

Kata-kata Tuan Haidhar terngiang-ngiang di telinganya. Zamir berundur beberapa langkah ke belakang. Keadaan pintu itu diteliti seketika. Cuba memikirkan cara lain pintu itu mampu dibuka. Tiba-tiba dia tersenyum sendirian. Zamir kembali memegang tombol pintu. Sambil mengucapkan basmallah, Zamir menolak pintu ke bawah lalu dilepaskan. Pintu itu berganjak sedikit ke bawah sebelum mengelongsor naik.

Zamir menapak masuk ke kamar rahsia itu dengan langkah bersiaga. Lampu kamar menyala terang secara tiba-tiba sehingga memaksa Zamir menutup matanya seketika akibat terlalu silau. Saat matanya kembali terbuka, kelihatan ribuan skrin hologram yang memaparkan suasana di sekitar negara-negara Kesatuan Durrah. Skrin di sebelah kanan memaparkan kawasan di sekitar negara Suwadi manakala di sebelah kiri memaparkan suasana di Ryukyu Neo. Di bahagian tengah pula, terpapar tempat-tempat di sekitar Tanah Lazuardi.

Zamir menarik nafas dalam. Di sini tugasnya bermula sebagaimana yang telah dibincangkan bersama Tuan Haidhar ketika dia mengikut abang angkatnya itu ke Ryukyu Neo. Dia akan memantau peperangan yang bakal terjadi itu dari kamar ini. Jika apa-apa yang berlaku, dia perlu terus memaklumkan kepada Menara Utara. Jari-jemarinya menari diatas papan kekunci hologram. Ratusan skrin dari belah kanan dan kirinya pecah. Meninggalkan skrin-skrin yang memaparkan situasi di Tanah Lazuardi. Zamir terus menekan-nekan papan kekunci. Skrin Tanah Lazuardi yang memaparkan tempat-tempat selain pulau ini pecah. Kini, dia hanya berdepan dengan skrin-skrin yang menunjukkan keadaan di pulau itu. Memudahkan dia untuk memantau situasi semasa perang ini.

"Abang, Zamir telah bersedia!" lapor Zamir sebaik sahaja dia mengambil tempat di hadapan skrin itu. Kedengaran suara Tuan Haidhar mengucapkan bagus sebelum abang angkatnya itu memberikan arahan seterusnya.

Zamir tersenyum kecil. Matanya menjeling skrin yang memaparkan keadaan di Balai Besar. Dari ratusan penuntut yang berlindung di situ, cekap matanya menangkap kelibat ketiga-tiga anak buahnya sedang mengaji al-quran bagi mengisi masa yang terluang. Ketenangan yang terpancar di wajah mereka kelihatan kontra dengan hakikat keadaan sekarang. Tanpa sedar, dia tersengih sendirian. Melihatkan mereka, hilang segala kerisauan yang bermain di hatinya.


AIM-Akademi Irsul Muta'afifWhere stories live. Discover now