Prolog

26.6K 1.1K 36
                                    

Prolog

"Semua asatizah ada mesyuarat jadi kelas akan dijaga oleh pengawas bertugas kelas masing-masing." Pengumuman yang dibuat oleh guru subjek Tilawah Al-Quran itu disambut dengan anggukan dan senyuman pelajar tahun 6 kelas Abu Bakar Sekolah Rendah Agama Jami'ul Redzuan. Ustazah garang, tak berani nak bersorak-sorai.

Laju jemari aku menari bersama sebatang pensel mekanikal Faber Castel 5.0 berwarna putih di atas lembaran kertas dalam buku log setebal 200 muka surat. Idea mencurah-curah keluar bagai empangan air pecah. Aksara demi aksara membentuk ayat dan perenggan. Kegilaan membaca novel membuatkan aku teringin menulis dan bermain dengan imaginasi.

Aku yang sedang tunduk khusyuk menulis terasa diperhatikan daripada hadapan. Kepala aku dongakkan. Jiran meja depan sedang memandang aku yang khusyuk menulis siap kerusinya dihalakan ke arah aku.

"Kau apahal?" Terus aku menutup buku. Malu kalau ada yang baca tulisan picisan aku.

"Nak baca weh. Macam seronok je kau tulis. Tersengih-sengih dari tadi." Pinta jiran meja depan.

"Mana boleh!" Buku itu aku simpan dalam laci meja.

"Ala, boleh la. Elok je kau bagi orang lain baca." Pujuknya.

Alamak! Nak baca? Fikir cepat Izz Hanina, fikir cara nak mengelak! Segan tahu tak?

"Kalau kau nak baca, kau kena jadi abang angkat aku!"

Ehhh... kejap! Jeda sebentar. Apa kau merepek ni wahai Izz Hanina?! Mungkin sel-sel otak berusia 12 tahun masih lagi belum berhubung dengan baik. Dulu Abang Ahmad bagi susu tak minum habis! Kan dah kurang DHA.

Aku baru minta jiran meja depan yang cuma berjarak usia 34 hari yang kurang 5 cm tinggi daripada aku jadi abang angkat. Orang lain kalau sebaya minta couple, aku minta jadi abang angkat. Ni kalau Abang Ahmad tahu, matilah aku... macam tak cukup seorang abang! Tapi, kalau minta couple, lagi parah. Berkawan rapat dengan lelakipun Abang Ahmad tak izin, kalau bercinta mahu aku kena sebat. Silap haribulan, dengan budak nipun Abang Ahmad bantai sekali.

Okay, chill. Mesti jiran meja depan ni tak mahu punya. Diakan ramai peminat jadi ada reputasi yang perlu dijaga. Mana nak layan aku yang selekeh ni.

"Okay, boleh je jadi abang angkat kau, tambah lagi adik aku seorang." Jiran meja depan menghulur tangan. Ramaikan lagi adik-beradik dia yang memang dah sedia ramai.

"Mana boleh salam, haram." Keliru aku dengan huluran tangannya. Abang angkat je bukan abang betul-betul.

"Buku kau tulis la... aku tahu la tak boleh salam. Aduhai..." Jiran meja depan menepuk dahinya. Aku termalu sendiri.

"Weh, aku gurau je bab angkat-angkat ni. Kau keding sangat tak larat nak angkat aku." Kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata tak boleh nak buat apa-apa.

Dia menggeleng kepala sambil menghulur tangan.

"Please..." Cubaan merayu tak menampakkan hasil.

"Izz Hanina, kita baru je belajar ciri-ciri orang munafik kan?" Amboi bukan main, tak bagi baca novel je kut!

Ciri-ciri munafik ada tiga. Bila bercakap, dia berdusta. Bila diberi amanah dia khianat. Bila berjanji, dia mungkiri.

"Nah ambil la pak ustaz oi. Kalau kau gelak, kau dosa." Buku log merah jambu bertukar tangan.

"Aamiin, manalah tahu makbul doa kau, boleh aku sambung kat Mesir balik sini jadi ustaz." Dia mengambil buku itu dan terus menghadap ke depan.

"Weh kau nak baca sekarang ke?" Aku cuak bercampur malu. Selama ni yang baca cuma kawan perempuan aku yang rapat sahaja.

"Dahtu takkan nak baca tahun depan." Alahai loyar buruk dia ni.

"Nantilah...modul Lughah kau dah siap ke? Kan banyak nak kena buat." Aku mencari sebab untuk ketepikan dahulu novel acah aku.

"Siap dah aku buat semalam, kau tak siap kau pergilah siapkan. Kau pergi menulis novel kenapa tahu dah kerja belum siap? Bertangguh kerja, elok sangat la perangai." Eh eh, kita pula yang kena! Jiran meja depan ni memang kuat membebel sikit.

Ah, pasrah je la. Aku mengeluarkan modul Bahasa Arab PSRA daripada dalam beg. Aku melihat sekeliling sebentar. Ada kumpulan yang berkumpul bersama nota, ada yang membuat latihan, ada yang tidur dan ada juga yang bersembang santai. Semua dengan hal sendiri. Tak lama lagi, hanya beberapa bulan sahaja lagi, kita akan terpisah mengikut sekolah dan aliran masing-masing.

Mata aku memandang ekor rambut jiran meja depan yang sudah memanjang. Rasanya aku baru tegur waktu perhimpunan sekolah kebangsaan dengan kuasa pengawas aku dan dia dah pendekkan, cepat betul rambut dia ni tumbuh. Weh, kau pergi usha rambut anak orang dah kenapa?! Karang tak fasal kena denda dengan ustazah sebab tak siap kerja.

Aku terus membuka lembaran kerja Bahasa Arab. Kadang tersekat-sekat menulis kerana aku tak jumpa perkataan arab itu dalam kamus otak aku. Sakit hati pula melihat jiran meja depan terhinjut-hinjut bahu kerana menahan tawanya daripada pecah. Kau ingat, aku tak tahu?!

Aku menyambung latihan yang perlu disiapkan. Elok aku sedang menulis, ada pula jari jemari yang mengetuk meja aku menggunakan kuku secara bergilir. Jari kelingking diikuti jari manis, jari hantu dan jari telunjuk. Berulang kali. Aku mengangkat kepala lagi.

"Kau nak apa lagi? Jangan la kacau hidup aku, ya Allah! Asal? Buku aku tulis tak best ke? Agak dah. Bak mari pulangkan." Nadaku separa marah separa geram. Jiran meja depan ni memang tak boleh tengok aku hidup dengan tenang dan aman ke?!

"Amboi, macam tu ya kau cakap dengan abang kau!" Perli dia.

Perkataan 'abang' itu menyebabkan wajahku bertukar merah bagai disimbah sos tomato. Rasa menyesal pula minta dia jadi abang angkat padahal berangkat atau tidak, kami tetap kawan macam biasa. Tetap terbatas. Bukan Habislah aku bagi dia benda untuk bahan aku dalam baki masa 4 bulan sebelum tamat sekolah rendah.

"Takkan la aku nak panggil kau abang? Abang Am? Ewww! Kau anggap je la aku tak cakap fasal berangkat ni, kita cancel aci tak? Geli pula aku."

"Mana boleh cancel." Dia menggeleng kepala kemudian tersengih. Ingat comel la macam tu?

Memang comelpun masalahnya. Dia budak yang boleh dikira baru. Masuk sekolah sewaktu tahun lima. Dek kerana parasnya yang elok, dia menjadi topik bualan. Tidak sedikit yang menyimpan perasaan terhadap jiran meja depan termasuklah budak batch lain. Aku? Tak ada maknanya nak suka budak yang kuat mengenakan orang ni sampai tahap nak couple. Tengok kawan aku yang couple bahagianya sekejap lepastu gaduh la, cemburu la, banyak sangat drama. Budak-budak lagi kut. Sibuk nak bercinta. Tapi aku suka kawan dengan dia. Walaupun kuat menyakat pakej dengan kalau gelak tak ingat dunia, dia baik. Raut wajahnya terpancar rasa tenang. Ada sesuatu tentang senyumannya yang mendamaikan. Seolah-olah bleh terhenti perang di dunia cukup dengan senyumannya.

Walaupun The Red Devil ialah pasukan bola kegilaan dia, tetapi warna merah tidaklah menggambarkan peribadinya. Personalitinya ibarat kuning Bunga Matahari. Warna yang meradiasikan keceriaan. Dia mempunyai tenaga yang tinggi tetapi kehadirannya tidak memenatkan orang lain bahkan menaikkan semangat. Mungkin untuk aku sahajalah, kawan aku tak berapa berkenan dengan jiran meja depan sebab suka menyakat.

Pap!

Dia menepuk tangan betul-betul di hadapan mukaku.

"Kau berangan apa?"

"Tak ada apa. Dah bagi balik novel aku. Belum siap lagi. Tak best kan? Tu yang kau tak baca habis kan?" Tangan kuhulur ke arah dia.

"Aih budak ni. aku dah baca habis la. Kau baru tulis 5 bab kut. Izz, kau nak jadi penulis ke?"

"Aku nak terbitkan novel sebelum habis sekolah menengah." Aku tersenyum sendiri dengan angan-angan kosong itu.

Macam mustahil nak dicapai.

"Kau jangan berhenti menulis, tau? Aku suka ayat kau. Cuma tulisan je buruk sikit." Ish dia ni!

Tercalit segaris senyuman di bibirku.

Aku tak akan berhenti menulis, percayalah.

Bintang Paling TerangWhere stories live. Discover now