Bab 26

9.5K 906 64
                                    

Bab 26

Harinya sudahpun tiba.

Keluarga Pakcik Zakaria lengkap sembilan orang datang ke rumah dengan dua buah kereta seawal jam enam setengah pagi. Siap berhenti subuh berjemaah di masjid lagi. Aku jadi segan pula dengan lima orang teruna Makcik Rohayu. Dua dara pingitannya begitu sopan dengan baju labuh longgar dan niqab yang menutupi wajah. Memang berbezalah dengan aku yang setakat biasa-biasa asal cukup syarat ni.

Ketika aku beritahu abang tentang keluarga Pakcik Zakaria, aku ingatkan abang nak marah aku kerana menyusahkan orang. Tapi abang diam. Dia terus menelefon Amirul untuk berterima kasih.

Hantaran yang akan abang beri kepada Kak Sara semuanya tersorok kemas di dalam kotak yang aku balut dengan kain berwarna coklat gelap. Warna kegemaran abang. Bunga anggerik plastic berwarna krim menyerlahkan seri hantaran. Ringkas tetapi masih elegant. Lima dulang kotak berbalut, satu dulang gelang nikah merangkap mas kahwin dan sirih junjung. Aku kena marah dengan abang sebab buat sirih junjung. Katanya membazir daun dekat pokok. Aku buat pekak. Kalau ikutkan hati, aku nak buat adat malam berinai sekali. Aku nak buat semua benda. Aku suka buat kerja-kerja kahwin.

Sirih junjung dan dulang mas kahwin dalam kereta aku, bakinya dibahagi tiga dalam kereta yang dipandu Amirul dan dua lagi dalam kereta Pakcik Zakaria.

Baju melayu putih gading lengkap dengan samping dan songkok aku masukkan ke dalam kereta. Baju melayu cekak musang ini hasil tangan aku. Kalau ikutkan abang, dia hanya mahu menyarung jubah putih sahaja. Aku tahu, setakat baju apalah sangat. Tapi aku mahu menjunjung adat. Kalau bukan Melayu yang memakai baju Melayu, takkan nak mengharapkan pak arab pakai pula? Aku beri diskaun pada songkok. Kalau tidak, sudah bertengkolok abang aku.

Bismillahirrahmanirrahim, subhanalladzi sahhorolana hadza wama kunnalahu mukrinin wainna ila robbina lamunqalibun.
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Maha suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelum itu tidak terdaya untuk menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kitalah kami akan kembali.

Wahai Allah, rahmatilah perjalanan untuk menyatukan dua hati di bawah lembayung rahman dan rahim-Mu.

Dua jam perjalanan sudah sampai ke destinasi. Akhirnya kami sampai ke masjid qariah Kak Sara. Alhamdulillah… Abang akan bernikah jam 11 pagi di rumah Kak Sara. Ada lagi satu jam sebelum majlis. Dia menukar pakaian ditemani Amirul Mukminin yang aku rasa dah dijadikan adik angkat tak rasmi abang.

Aku perhatikan Zinnirah yang sedang memegang nota. Gigihnya dia menuntut ilmu. Aku rasa serba salah pula. Tak aman budak ni nak belajar. Dia mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia STAM sama seperti Amirul. Adik beradik yang lain aku tak pasti.

“Tak apa ke bawa Zinnirah sekali? Macam sibuk je dia mentelaah nota.” Aku bertanya.

“Budak tu lagi suka adalah. Katanya sekurang-kurangnya dapat hirup udara lain. Bosan dengan tempat yang sama. Kalau tak sekolah, rumah. Bosan katanya.”

“Susah tak STAM?” Soalan itu terpacul keluar daripada mulutku.

Cuba tanya soalan cerdik sikit.

“Tak tahulah sebab Khaulah ambil asasi Bahasa Arab. Abang Am belajar macam relax je Abang Adli pun sama. Si Zinnirah ni macam kena usaha extra sikit.”

“Susah tak Bahasa Arab?” Aku sejenis derhaka sikit. Dulu ambil sampai tingkatan tiga sahaja. Itupun sebab abang suruh. Dia suruh sambung Bahasa Arab tinggi, tapi yang rendah itupun aku semput nak bawa, terima kasih sahajalah.

“Akak punya English power tak?” Soalan itu ditanya kepadaku.

“Boleh la.” Bahasa Inggeris aku agak bagus kerana aku belajar subjek aliran Sains Tulen dalam Bahasa Inggeris. Penguasaan Bahasa Inggeris aku boleh diletak dalam gred A-

Bintang Paling TerangWhere stories live. Discover now