Bab 11

9.6K 913 24
                                    

Bab 11

Selepas solat Zohor, aku terus ke bilik seni untuk melihat bunga hiasan dan kain lycra. Tema yang dipersetujui ialah ungu dan putih. Set gubahan bunga berwarna putih dan kain lycra ungu putih aku keluarkan daripada dalam stor.

"Assalamualaikum Cik Izz, kerusi dengan meja dah turun. Nak kami buat apa?" Aniq menyapa aku.

Bersamanya ada lima orang lagi pelajar aliran Sains Rumah Tangga seorang lelaki dan empat orang pelajar perempuan. Pelajar lelaki yang mengambil subjek ini tidak ramai, Aniq dan empat orang lagi rakan sekelasnya setahu aku ambil dalam keadaan yang tak rela pada asalnya kerana hendak memenuhi kuota. Buku merah jambu tingkatan 4 itu agak mengerikan dan sering dijadikan bahan ejekan pada awal tahun dahulu. Tapi katanya selepas aku cerita tentang matlamat Sains Rumah Tangga dan mula mengajar, mereka faham tentang peranan mereka sebagai lelaki dalam aliran ini. Walaupun tidaklah berbangga sehingga menjunjung buku teks keliling sekolah, mereka sudah tidak malu untuk belajar. Aku perlukan keazaman mereka untuk belajar kerana subjek ini bukanlah satu subjek yang mudah jika tiada minat dan kecenderungan untuk belajar.

"Tolong saya angkat bunga dan kain ni. Aniq tolong angkat tangga." Aku menunjukkan bunga dan kain yang sudah aku keluarkan daripada stor.

Semua terus membantu aku untuk mengangkat segala perhiasan. Aku mengangkat kotak yang mengandungi peralatan untuk dekorasi seperti stapler gun, tukul, dawai, pelayar muncung tirus dan macam-macam lagi. Agak berat jugalah tapi tak adalah sampai aku tak mampu nak angkat.

Kotak itu aku letak dahulu di atas lantai supaya aku boleh menyarung kasut sukan. Nak menghias ni tak boleh pakai baju kurung, kurang bebas.

Tiba-tiba kotak itu terapung. Eh, ajaib! Aku dongakkan kepala. Amirul Mukminin berlalu dengan kotak itu. Ish, bukan aku minta tolong pun. Aku biarkan dia jalan jauh sedikit daripada aku supaya kami tidak sampai serentak. Bukan aku tak tahu tentang desas desus tentang kami berdua yang sedang berlegar di sekolah ini. Kalau kami berbualpun cuma di bilik guru sahaja. Bila terserempak di kantin kadang bertegurlah juga tapi tidaklah sampai bergurau senda. Disebabkan kami berdua masih belum berkahwin, kami perlu jaga batas kerana ramai mata yang memandang.

Kotak itu dia letakkan di tangga pentas. Aku tunduk sedikit tanda terima kasih. Dia mengumpulkan ahli jawatankuasa protokol dan teknikal. Aku terus fokus kepada hiasan pentas dan susun atur perabot di atas dan bawah pentas. Lakaran hiasan pentas aku tunjukkan kepada mereka. Ringkas sahaja, cukup sekadar menaikkan seri pentas kerana mereka akan menjemput penceramah daripada luar.

Sedang aku sibuk memberi arahan kepada Aniq yang sedang memanjat tangga untuk mengikat kain supaya menjadi scallop langsir, seorang guru sesi petang dalam lingkungan usia awal 30-an datang menerpa aku sambil marah-marah. Aku tak berapa ingat nama kerana kami berada pada sesi persekolahan yang berbeza.

"Jangan pegang kain tu! Budak lelaki jangan buat kerja perempuan. Jangan buat hiasan-hiasan ni nanti jadi pondan! Maknyah! Cikgu ni betul ke cikgu?! Kenapa galakkan budak jadi LGBT?! Jangan buat kerja ni. Dah, turun! Aku cakap turun sekarang!" Dia menjerit-jerit dan separa meraung.

"Astaghfirullahalazim, cikgu! Apa cikgu merepek ni? Bila masa saya galakkan pelajar saya buat benda terkutuk?" Aku cuba memegang cikgu yang tiba-tiba muncul macam ribut.

Tak semena-mena, pipi aku ditampar kuat.

"Kau, sebab cikgu macam kau la suami aku jadi gay. Sebab cikgu macam kau la yang tukarkan lelaki sejati jadi pondan! Pikat laki aku. Kalau kau tak ajar budak-budak ni buat kerja perempuan, jadi lembut suami aku takkan jatuh dekat tangan maknyah yang jahit baju tu! Semua salah cikgu macam kau!" Beg tangannya hendak dicampak kepada Aniq tapi aku halang dengan tubuh aku. Tangannya cuba mencapai tudung aku.

Bintang Paling TerangWhere stories live. Discover now