Bab 3

10.8K 1K 39
                                    

Bab 3

Tiga waktu pertama sudah tamat. Semua pelajar berjaya menyiapkan kerja kayu walaupun hasilnya pelbagai. Rak alat tulis mudah yang baru sahaja dilapisi dengan kemasan syelek aku biarkan ia kering. Setiapnya sudah dilabel dengan nama tuan empunya kerja kayu.

Teringat zaman belajar dahulu. Arahan yang diberi hanyalah 10 X 20 cm. Reka bentuk kerja kayu atas imaginasi sendiri tetapi perlu mendapat pengesahan pensyarah sebelum memulakan kerja kayu. Berapa banyak kali kena ulang lukis daaa... segala reka bentuk dipertikaikan fungsinya. Nilai estetik kerja kayu itu turut ditekankan. Kawan aku sampai pergi cari tempurung kelapa lagi tau! Gigih jugalah nak cari tempurung kelapa di Flat Ikan belakang fakulti pendidikan UPM tu. Kayu yang diberi kepada kami ialah kayu besar 1 x 2 meter. Pandai-pandailah berkongsi kayu dan memotongnya. Siap berperang dingin lagi dengan budak-budak Sains Pertanian kerana kes kecurian bahagian kayu yang sudah diukur elok di atas kayu.

Kit kerja kayu yang diberi kepada pelajar ni mudah sahaja, hanya perlu diukur sedikit dan dipotong dengan gergaji elektrik. Itupun alahai, ramai gadis-gadis ketakutan walhal sudah aku demonstrasikan caranya. Muncul lah pula hero macho acah cool nak tolong potongkan kayu. Memang tak la aku nak bagi. Semua orang kena hadapi ketakutan yang Cuma nampak besar dalam kepala sahaja walhal sebenarnya tak ada apa-apapun! Jangan fikir sampai ke bulan. Tak adanya sampai terpotong jari kalau tak bergurau senda dalam bengkel. Belum lagi tengok gelagat mereka memaku kerja kayu. Senget la, kayu pecah la, paku bengkokpun ada! Aduhai, cikgu dah lalui dah semua tu dalam keadaan yang jauh lebih mencabar. Saiz pakupun kami kena tentukan sendiri tau!

Kerja kayu yang sudah siap dan kering aku atur rapi untuk kunilaikan terus. Balik sekolah nanti bolehlah mereka ambil kembali hasil kerja mereka. Tak ada ruang dah nak simpan hasil kerja. Bayangkan satu kelas lebih kurang 30 pelajar, aku sahaja mengajar 5 kelas. Mana nak simpan segala eviden ni? Baiklah bagi mereka bawa balik daripada jadi tukun mengumpul habuk.

Satu per satu aku belek. Tepung penyumbat terlebih sumbat, syelek tak ikut ira kayu, paku bengkok, kayu pecah. Banyaklah kurangnya tapi aku tetap berbangga sebab mereka tak putus asa. Sekurang-kurangnya tahulah budak-budak bandar ni pegang penukul dan paku. Ada kerja yang sangat kemas, bangga aku melihatnya macam nak tayang dekat satu Damansara, ni kerja anak murid aku!

Siap pembahagian markah dan sesi kemas-mengemas, aku terus ke kantin sekolah. Aku ada jarak satu masa sebelum ke kelas Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan satu masa sebelum rehat dan 3 waktu akhir kelas Sains Rumah Tangga di Bilik Sains Rumah Tangga. Lepastu sebelah petang ada latihan rumah sukan pula.

Nasiblah cikgu, kita memang kerja lebih masa tak kira masa. Tak apalah, demi menyahut seruan kerajaan membangunkan modal insan kelas pertama. Kerja kita adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Ambil kau, semangat punya fasal, Falsafah Pendidikan Kebangsaan aku keluarkan.

Kantin agak lengang kerana pelajar masih belum rehat. Hanya ada beberapa orang guru sedang duduk sarapan di ruangan guru. Geng kelas awal pagi la ni.

"Salleh, Milo Dinosaur ais satu." Aku perlukan gula lebih hari ini.

Padahal alasan! Kalau dekat rumah, Abang Ahmad tak bagi ratah Milo alasannya nanti gigi rosak. Ingat aku budak-budak lagi ke?

"Bang, Milo Mammoth satu!" Suara yang membuatkan jantungku jadi tak keruan menyapa telinga.

Apa kau ingat ni Milo dedikasi untuk haiwan yang sudah pupus?

"Milo Mahmud?" Salleh menggaru kepala.

"Gurau, gurau. Teh 'O' suam satu."

Tak berubah langsung jiran meja depan ni, ada je benda nak kenakan aku walhal belum lagi bercakap secara berdepan. Seronok agaknya masuk sekolah baru lepastu jumpa pula dengan orang yang dia kenal. Aku memang sah kena buat laporan penuh dekat Abang Ahmad!

"Suka la kenakan orang macam tu?" Orang? Ewww! Ya Allah tolong aku. Kekok gila kot! Apa aku nak bahasakan diri ni? Aku-kau, okay set.

Aku memalingkan badan dan mahu menikamnya dengan jelingan mata membunuh. Matikau!

Tapi, aku yang terbunuh.

Sudah hampir 12 tahun sejak aku melihatnya, dia masih memiliki aura tenang dalam nakalnya mengusik. Matanya redup memandangku sambil wajahnya mengukir senyuman tipis.

"Tak ada kelas ke?" Aku bertanya soalan kurang cerdik. Kalau dia ada kelas tak adalah dia muncul dekat sini. Aduhai, Izz Hanina...

"Eh, tengah ada kelas ni. Keluar makan jap sementara budak-budak tu siapkan latihan." Sah, dia ni memang tak boleh cakap elok-elok. Ada sahaja benda nak dibahan.

"Malas aku nak layan kau. Kak, ni kira dengan Milo dinosaur saya." Aku mengambil sebungkus Nasi Lemak dan dua biji karipap.

"4 ringgit 50 sen, cikgu." Ujar Mak Tom seusai mengira.

Aku terus mengambil tempat bersama cikgu perempuan yang lain bagi mengelak perbualan dengan Amirul. Apabila dia melihat aku duduk bersama kelompok perempuan, terus kakinya ke meja kaum Adam. Hah, ada berani kau nak duduk sini?

Aku rasa diperhatikan. Bukan daripada meja guru lelaki, tapi daripada warga meja perempuan ini sendiri.

"Hang kenai ka dengan ustat baru tu?" Cikgu Dibah memulakan soal siasat. Aduhai, orang yang dia tanya tu tak sampai dua meter jaraknya, Mata yang lain tertumpu ke arah aku.

Dah aku je yang bujang trang tang tang dalam sekolah ni, sibuklah orang nak kenan-kenankan. Risau sangat aku kahwin lambat. Tenang la, baru 26.

"Kawan sekolah rendah saya." Jawapan aku bersulam dengan air Milo Dinosaur.

"Ustaz, single ke double special?" Cikgu Jannah siap berpusing kerusi lagi. Tersedak anak teruna orang dengan soalan cepumas itu. Ingat burger ke apa?

Cakap fasal burger, teringat Burger Hot yang Abang Ahmad beli minggu lepas. Beef double special cheese burger yang dimasak depan mata oleh sekumpulan anak muda. Kalori dia tak payah cerita, kita tutup mata, telan je. Sia-sia belajar subjek nutrisi dekat universiti dulu.

"Tak payah la nak berustaz dengan saya. Mentah lagi. Tak kahwin lagi. Panggil Am je. Nak panjang sikit, Amir, panjang lagi Amirul, lagi panjang full terus, Amirul Mukminin." Jawabnya punyalah panjang lebar. Mudah betul mesra dengan orang.

Aku mengangguk kepala secara spontan. Ooo... tak kahwin lagi, patutlah perut belum maju ke depan seperti para suami mithali di sekolah ini. Belum lagi melalui frasa 'pengorbanan seorang ayah dan suami'.

"Cik Izz kita ni pun single juga." Usik Cikgu Jannah

"Diberi sepuluh jutapun, saya tak hingin kak!" Aku bangun bersama pembungkus Nasi Lemak dan cawan.

"Ha, elok cakap macam tu. Karang melekat." Tu dia, Cikgu Dibah menyumpah aku.

"Tak apalah kak, orang tak ingin sayapun tak sudi!" Eh eh budak ni. cepat pula dia buat geng dengan orang.

"Gerak dulu la ye, karang lambat masuk kelas tak fasal viral saya kak." Aku meminta diri.

Bintang Paling TerangHikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin