Bab 39

10.9K 957 16
                                    

Hotel Flamingo

Hari taklimat guru yang akan ditempatkan ke sekolah pedalaman di semenanjung, Sabah dan Sarawak sudah tiba. Rasa macam comel pula pakai baju sedondon dengan Amirul Mukminin. Hari Jumaat sewaktu majlis perpisahan itu, bukan main tak suka. Mengada sungguh!

Kami dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut kategori P1 untuk sekolah pedalaman yang agak dekat dengan pekan, P2 sekolah yang di tengah-tengah dan P3 sekolah yang paling jauh.

SMK Karangan akan mendapat empat orang guru baharu. Aku, Amirul Mukminin dan Santesh guru sains daripada Perlis. Seorang lagi guru memang asal Borneo. Kerja si Santesh ni merakam sahaja. Dia ada pengikut yang agak ramai. Vlog ialah hobinya. Aku tak tahu macam mana dia nak hidup tanpa Internet nanti.

Kami berkenalan juga dengan rakan-rakan guru yang lain. Ada yang terpaksa berpisah daripada keluarga. Perhubungan jarak jauh pastinya mencabar. Aku tak dapat bayangkan hidup berjauhan dengan pasangan selama bertahun-tahun. Aku sangat bersyukur kerana Amirul menjadi syarat aku mengajar di sana.

"Untunglah you orang sudah kahwin, satu sekolah. Kami masih bertunang tunggu tarikh baik nak kahwin." Santesh memeluk bahu tunangnya Nithiya.

"Kenapa tak daftar kahwin je dulu?" Amirul Mukminin ni rajin pula bertanya.

"Ikutkan nak buat macam tu tapi sebab adat kan." Santesh mengerut dahinya.

Bukan Melayu sahaja terikat dengan adat. Tidak kiralah daripada mana susur galur manusia asal masih teguh dengan warisan nenek moyang, pastinya adat akan tetap dipelihara. Itu identiti dan jati diri seseorang.

Kami diberikan gambaran tentang kehidupan yang bakal ditempuhi di sana. Mengujakan bagi aku. Mungkin tidak bagi orang lain. Semakin tak sabar untuk menjejakkan kaki di sana.

Tiket kapal terbang kali pertama 'dihadiahkan' kepada para guru semenanjung yang akan berkhidmat di Borneo.

Pada penghujung taklimat, kami bersama-sama menyanyikan lagu Guru Malaysia.

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putera puteri negara kita

Ikrar ini sudah tidak terbilang kalinya meluncur di lidah. Bukan sekadar lafaz tanpa makna tetapi terlafaznya ikrar ini sebagai satu ikatan janji. Menjadi suluhan obor supaya jalan yang gelap menjadi terang. Supaya mereka lebih berani untuk menapak ke hadapan.

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada raja dan negara
Keluhuran perlembagaan
Kedaulatan undang-undang
Kesopanan dan kesusilaan

Lima teras utama Rukun Negara yang diwakili oleh setiap kelopak bunga raya. Kami, para guru yang bertanggungjawab menanam nilai patriotisme dan perpaduan dalam kalangan anak muda berbilang kaum.

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu membina
Negara yang tercinta

Bukan sesuatu yang asing bagi kamu para guru baharu daripada cerita guru zaman dahulu. Profesyen perguruan pada zaman dahulu dipandang rendah. Tidak sehebat doktor, jurutera ataupun arkitek. Sekadar mengajar separuh hari, bila cuti sekolah guru juga cuti. Pekerjaan yang mudah.

Tapi mungkin mereka lupa. Sebelum mereka bergelar bijak pandai, mereka dihantar ke sekolah untuk mengenal huruf dan nombor. Diajarkan ilmu-ilmu asas sebelum mereka meneroka dunia yang lebih luas. Daripada ilmu membaca secara membatang b, a, ba c, a, ca = baca kini mereka boleh membaca perkataan yang kompleks, menghafal dan memahaminya. Daripada ilmu mengira 1 + 1 = 2, kini mereka mampu mengira berdasarkan formula yang memeningkan kepala. Daripada sabarnya seorang guru melihat anak-anak muridnya menyambung titik ke titik membentuk huruf a, kini dia mampu menulis ratusan muka surat thesis.

Bintang Paling TerangWhere stories live. Discover now