Bab 36

11.7K 1K 62
                                    

Alhamdulillah, majlis sudah selesai. Meja sudah berlipat, kerusi sudah tersusun. Tiada periuk belanga untuk dicuci seperti zaman dahulu kerana semuanya diuruskan oleh pihak katering. Kalau tak, memang pengantinlah yang akan menyental. Rumahpun sudah kemas.

Lepas subuh, aku terus masuk dapur untuk membantu menyediakan sarapan. Walaupun dapur ni dapur ibu mertua aku, tak boleh nak buat macam dapur sendiri. Ini kawasan dia. Segala cara memasak termasuk menu makanan adalah di atas keputusan dia. Jangan nak memandai.

Pagi tadi Amirul Mukminin kejut aku lagi pukul 4:50 pagi. Dia keluarkan Iqra' dan ajar aku huruf hijaiyah alif ba ta untuk betulkan sebutan huruf aku. Katanya semua huruf perlu diberikan haknya. Disebut pada rongga yang betul. Barulah bacaan akan jadi tepat. Aku rasa macam balik ke darjah satu.

Sejak subuh tadi dia masih belum pulang walhal Abi Zakaria dah balik. Sudahlah kereta aku dibawa oleh Kak Sara kerana kata abang, aku dan Amirul akan ke Sarawak tak sampai seminggupun lagi jadi kami tak perlukan dua kereta. Memang kena tunggu sehingga dia pulanglah jawabnya.

"Am bagitahu Abi tak dia pergi mana?" Aku bertanya bapa mertuaku sambil membancuh adunan roti jala di dalam pengisar untuk dicicah bersama lebihan kari ayam malam semalam.

3 cawan tepung gandum, 2 1/2 sudu besar minyak masak, 1 sudu kecil garam, 1 biji telur, 3 cawan air, dan sedikit kunyit untuk menaikkan warna kuning.

"Dia tak bagitahu Izz ke? Dia sarapan dengan kawan-kawan dia dekat simpang depan tu." Jawab Abi Zakaria yang sedang memotong buah tembikai susu.

Aku sekadar mengangguk. Agak terasa sebenarnya. Macamlah aku bangun tengah hari tak boleh buatkan sarapan untuk dia. Tapi takkanlah aku nak tarik muka depan mertua aku pula.

"Dia nak jumpa kawan-kawan dia la tu sebelum pergi Sarawak." Umi Rohayu seakan-akan dapat membaca air wajah aku.

Untunglah ada kawan, boleh jumpa. Aku ni, kawan rapat semua dah berkeluarga. Nak jumpapun susah. Dia je la kawan rapat yang aku ada. Takkanlah aku nak pergi lepak sekali dengan kawan-kawan dia.

Non-stick pan aku panaskan. Adunan yang sudah aku kisar supaya tidak berketul dipindahkan ke dalam bekas.

Bekas acuan roti jala yang sudah berisi aku larikan di atas kuali bertangkai satu itu seolah-olah membentuk jaring jala. Elok sahaja ia mengalir. Tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair.

Khaulah dan Zinnirah sedang berkemas. Mereka perlu kembali ke tempat belajar masing-masing hari ini. Roti jala inipun atas permintaan Zinnirah.

"Adli, panggil Am balik. Penat Izz masak dia pergi sarapan dekat luar pula." Umi Rohayu mengarah Amirul nombor dua.

"Eh, tak apalah. Biarlah dia nak jumpa kawan dia nanti tak jumpa lama. Izz dia jumpa hari-hari." Aku memberi respon sambil memujuk hati.

Setakat roti jala cikai je, bukan aku beria buat nasi lemak ayam goreng berempah.

"Betul ni? Umi taknak Izz makan hati dengan Am." Hebat... Aku tak cakap, Umi boleh tahu. Iyalah diakan makan garam rumah tangga lebih lama daripada aku.

Aku mengangguk sambil tersenyum dan terus menjala. Kalau dipanggil balik, kasihan suami aku. Nanti digelar takut isteri pula. Aku taknak dia rasa tak senang dengan aku.

"Pandai Izz menjala. Cantik pula tu. Kalau Umi tak jadi roti jala dia jadi macam lempeng. Tu yang jarang buat. Ni memandai je Zinnirah order." Umi Rohayu memegang bahu aku sambil memuji.

"Adunan cair sangat kut. Ala setakat roti jala tak ada apa sangatlah." Biarlah Amirul Mukminin dengan kawan-kawannya, boleh aku bermanja dengan mertuaku.

Bintang Paling TerangWhere stories live. Discover now