Bab 32

10.1K 963 35
                                    

Jumaat

Terlalu pantas minggu ini berlalu. Hari terakhir di sekolah ini. Juga hari terakhir aku bergelar cik. Aku sudah nampak Cikgu Murni tersengih-sengih dari kejauhan.

"Pengantin kena kerja dulu ya? Alahai kesian. Mana pengantin lelakinya." Cikgu Murni paling galak mengenakan aku.

Masin mulut cikgu ni. Iyalah mak orang kan?

"Entahlah tak tahu dia dekat mana." Manalah aku tahu, bukan gerak sekali.

"Cikgu SRT ni pandai menjahit. Punya beria kata tak mahu, diam-diam rupanya dia menjahit dua hati. Iya tak Kak Dibah?" Dia jumpa geng daaa...

"Akak cakap dah. Kuat gaduh budak-budak ni, nikah juga nanti. Tapi eloklah, nak pergi jauhkan, bila ada suami ni rasa selamat. Taklah risau keluarga dekat sini." Sambung Cikgu Dibah.

"Dah jomlah kita turun nak baca Al-Kahfi kan? Jumaat ni." Sebelum bertambah seronok mereka mengenakan aku, baiklah aku ajak turun surau.

Sekolah ini memang peruntukkan waktu pertama hari Jumaat untuk bacaan Al-Kahfi sepuluh awal dan sepuluh akhir. Bagi pelajar bukan Islam ada Program Bina Insan.

Kami duduk di kawasan guru muslimat.

Bacaan Al-Kahfi bermula setelah zikir dan bacaan Al-fatihah. Pelajar sendiri yang jalankan program ini di bawah pantauan panitia Pendidikan Agama Islam.

Habis sahaja program, aku cepat-cepat beredar. Tak mahu terserempak dengan Amirul Mukminin.

Hari Jumaat memang aku tak banyak kelas. Meja Amirul sudah hampir kosong. Aku rasa dia dah kemas semalam sebab semalam dia balik lewat daripada aku. Balang bintang sebanyak-banyaknya tu juga dibawa balik.

Dua waktu terakhir, semua pelajar sesi pagi berhimpun di tapak perhimpunan. Mereka buat seperti perhimpunan sahaja. Mudah untuk berkemas lagipun kami bukan guru lama. Ada majlis dua masa ni pun dah kira beruntung sangat.

Aku tak tahu kerja siapa, tapi mereka letak dua buah kerusi di tengah pentas. Satu untuk aku dan satu lagi untuk Amirul Mukminin. Tolonglah, nikah petang ni kut. Ni apa? Pre-wedding ke?

Aku nampak dia dari jauh. Dalam banyak-banyak spektrum warna yang ada dalam dunia ni, kenapa dia pakai baju melayu warna merah jambu? Masalahnya warna itu masuk dengan warna merah jambu lembut kurung songket yang aku sedang pakai. Petunjuk jodoh kut...

Aku disuruh duduk terlebih dahulu kemudian Amirul Mukminin pula naik. Bersorak-sorai mereka apabila kami duduk bersebelahan. Dia tarik kerusi dia ke kanan. Sedikit menjauhi aku padahal bukannya kerusi itu diletak rapat dengan akupun.

"Halal gap dik. Nak rapat-rapat kejap lagi." Aku seorang sahaja yang dengar.

Oh tuhan... Kurniakan aku sabar. Kalau habis sabar aku ni, ada juga yang kena baling dengan kasut tumit tebal satu inci. Cerita petang nanti jangan buka sekarang. Bagi aku nikmati gelaran anak dara yang akan jumpa tarikh luput beberapa jam sahaja lagi.

Guru bertugas menenangkan pelajar kemudian dia memberitahu tentang perpindahan kami ke Sarawak. Dia bacakan biodata penuh aku terlebih dahulu kemudian biodata penuh Amirul Mukminin.

"Cik Izz dan Ustaz Amirul satu sekolah rendah bertemu kembali di sekolah kita dan akan terus bersama mencurah bakti di SMK Karangan." Pelajar bersorak dan bersiul dengan fakta itu.

Ruang diberi untuk aku berucap.

Cik Izz Hanina Binti Khalid, anda dilarang untuk menangis semasa berucap.

Ini sekolah pertama aku setelah mengenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Rumah Tangga. Lebih dua tahun aku mengajar di sini sebagai guru kontrak atau nama rasminya guru interim.

Bintang Paling TerangWhere stories live. Discover now