Bab 1

13K 1K 34
                                    

Bab 1

"IZZ HANINA!!! BANGUN BUDAK BERTUAH!!!" Suara Abang Ahmad memecah kedamaian lenaku.

Tangan terus menggagau telefon yang kuletakkan di atas meja sisi. 4:28 pagi. Ni mengajak tahajjud ke apa ni?

"Belum subuh lagi, bagilah orang tidur sekejap. Ya Allah... Kurniakanlah common sense kepada abangku yang seorang ini." Nadaku separa merintih.

Aku memisat mata cuba menghilangkan ngantuk. Dah kenapa pula Abang bujang terlajak nan seorang ini memekak di pagi hari? Rasa macam berdosa pula panggil dia bujang terlajak kerana akulah antara punca dia tak kahwin walaupun usianya sudah mencecah lewat 30-an. Abang Ahmad menjaga aku sejak aku masih aku berusia enam tahun. Ketika itu, usianya baru sahaja mencecah 16 tahun.

Umi dan Walid meninggal kerana kebakaran di rumah lama. Hanya aku dan Abang Ahmad yang terselamat dalam kebakaran itu. Biarlah cerita lama itu tersimpan kemas dalam kotak mindaku yang paling dalam. Terlalu pahit untuk dikenang. Walaupun ketika itu aku masih seorang budak hingusan, tetapi trauma akibat kemalangan itu meninggalkan kesan yang mendalam.

"IZZ HANINA BINTI KHALID!!!" Abang Ahmad sudah berada di hadapan pintu bilikku. Diketuk pintu bilik serupa hendak roboh!

Daun pintu kupulas malas. Abang Ahmad masih tak berhenti mengetuk pintu.

"Ouch, abang! Apa yang heboh sangat ni?!" Habis dengan kepala aku diketuknya sekali. Bahagian dahi kuusap. Sakit tahu?!

"Sakit ke?" Abang Ahmad cuba menyentuh dahiku. Wajahnya kelihatan bersalah.

Elok jemarinya menyentuh dahiku, terus dijentik kuat.

"Sakit lah!" Aku menjerit geram. Dah la dia jentik sepenuh hati!

"Tahu sakit? Habistu tak sakit mata abang baru balik penat-penat tengok dapur bersepah? Pergi kemas sekarang. Abang pesan apa? Kalau nak baking, kemas terus. Ni tepung apa semua bersepah." Panjang pula bebelan abang pagi ni.

Aku terus meluru ke bahagian dapur. Bila masa pula aku sepahkan dapur? Ketuhar dah seminggu rosak sampai aku terpaksa batalkan beberapa tempahan.

"Mana ada orang main tepung seminggu ni. Abang bukannya tahupun oven tu dah se...ming...gu... Abang!!! Huaaarghhh terima kasih!!!" Aku melompat kegirangan apabila melihat kotak ketuhar berjenama yang sudah kuintip selama beberapa bulan elok terletak di atas meja makan siap dengan reben besar berwarna merah seperti hadiah cabutan bertuah.

Tersengih-sengih aku berpusing ke belakang.

"Terima kasih, abang!" Senyuman paling manis aku lemparkan untuknya.

"Ha, sama-sama. Dah jangan nak membebel lagi oven rosak la, oven kecil la. Tahi telinga abang ni tak pernah sempat nak keras sebab dengar kau membebel bertubi-tubi." Rambutku diusap kasar oleh Abang Ahmad.

"Tapi, mana abang dapat duit beli ni? Kan mahal. Dekat dua ribu kan harga dia?" Tiba-tiba rasa serba salah menampar aku kuat.

Abang Ahmad, tidak pernah sekalipun bermewahan untuk dirinya. Seluruh hidupnya seperti diabdikan untuk aku. Sejak usia 16 tahun Abang Ahmad sudah mula bekerja separuh masa di sebuah francais makanan segera kerana dia masih belum cukup umur untuk mendapatkan dan menguruskan harta peninggalan Umi dan Walid. Walaupun pada ketika itu kami berada bawah jagaan adik Walid; Mak Lang, tetapi abang tak duduk goyang kaki.

Walaupun aku masih mentah ketika itu, sebelum menjejakkan kaki ke rumah Mak Lang, aku ingat pesanan Abang Ahmad sampai ke hari ini. Jangan letak seratus peratus kepercayaan kepada sesiapa walaupun dia malaikat dalam tubuh manusia.

Benar kata orang, rambut sama hitam, hati lain-lain. Kebanyakan duit kepunyaan kami yang diberi kepada Mak Lang digunakan untuk dia anak beranak. Padahal dialah yang dianggap malaikat versi manusia dalam kalangan ahli keluarga besar. Cukup usia abang 18 tahun, dia terus mendapatkan hak faraidnya sebagai anak lelaki sulung. Itupun Mak Lang tuntut sebidang tanah sebagai upah menjaga kami selama dua tahun. Abang diamkan sahaja. Katanya tanah sebelah Umi masih ada untuk mereka uahakan. Lagipun tanah milik walid itu bukan di sini tapi nun jauh di Perlis sana.

Sampai sekarang, tak pernah jumpa Mak Lang. Bukan abang tak bawa setiap kali raya, tetapi pintu rumahnya tak pernah terbuka untuk kami. Pak Long duduk di Perlis hanya beberapa kali sahaja sepanjang hidup ni kami bersua. Adik-beradik Umi ada lima orang. Hubungan dengan keluarga sebelah Umi masih ada tetapi abang seperti sudah serik untuk bergantung harap kepada sesiapa.

Kami pindah daripada kampung itu ke kampung yang lebih hampir dengan tanah peninggalan Umi.

Abang terus bekerja untuk membayar yuran persekolahan aku. Tanah Umi dimanfaatkan dengan tanaman nanas dan serai. Abang seorang yang bijak membuat jaringan dengan orang lain. Dia memiliki ijazah dalam ilmu jalanan. Pertanian kampung kecil-kecilannya membuahkan hasil. Daripada tanah sekangkang kera milik Umi, kami berpindah ke tempat baharu kerana abang ingin meluaskan perniagaannya. Kini, Abang Ahmad menjaga ladang nanas Morris seluas 80 ekar dan menggaji enam orang pekerja. Tanah Umi ditanam dengan pokok-pokok buah yang tidak memerlukan penjagaan rapi. Abang wakafkan rumah kecil di tanah umi yang menjadi tempat berteduh kami dahulu dan semua pokok beserta buahnya untuk orang kampung. Abang anggap, itu sebagai balasan budi mereka kerana menerima kehadiran mereka ke kampung tersebut walaupun dalam keadaan susah dan masih mentah.

Duit bahagian aku langsung tidak diusik dalam akaun Tabung Haji yang Walid sudah buka sejak usiaku belum mencecah setahun Bahkan ditambah oleh abang semampunya setiap bulan walaupun nilainya cuma lima ringgit. Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains Rumah Tangga) dengan minor Reka Bentuk Teknologi yang aku genggam hari ini dibiayai oleh duit itu. Abang Ahmad tidak izinkan aku isi borang PTPTN kerana katanya, dia tidak mahu aku hidup dalam bebanan hutang. Selagi tulang empat kerat dia tak patah, selagi itu aku tidak perlu rungsingkan hal wang.

Pernah aku ajukan soalan, tidak teringinkah dia untuk menyambung pelajaran, katanya bukan semua orang Allah tulis rezekinya datang daripada segulung sijil tapi aku tahu selalu aku yang didahulukan. Abang memandang aku sebagai amanah yang ditinggalkan oleh Walid dan Umi untuk dijaga. Aku nombor satu dalam hidupnya. Bukan aku tak kenan-kenankan Abang Ahmad dengan kawan perempuan tapi selalu Abang Ahmad tolak. Katanya siapa yang mahu Abang busuk kerja ladang yang sekadar lepasan SPM sahaja.

Eh, busuk-busukpun pendapatan sebulan mencecah belas ribu tau sekarang.

"Abang, seriuslah ada duit ke nak beli ni? Kan abang tengah renovate rumah dekat ladang tu." Aku betul-betul rasa tidak layak menerima ketuhar mahal ini. Lagipun aku cuma berniaga main-main. Sekadar mengasah kemahiran. Maklumlah, aku kena mengajar budak yang tak tahu apa-apa tentang kulinari karang dia tanya kenapa kek dia tak naik tak lah gagap aku nak menjawab.

"Aih budak ni, karang Abang lelong balik ketuhar ni dengan kau sekali abang lelong sekali kat Shopee. Tengah ada rezeki lebih, belilah."

"Terima kasih, Abang!" Aku teruja hendak membuka kotak ketuhar baharu.

Abang Ahmad tersenyum melihat gelagat aku. Seperti anak kecil yang baru mendapat hadiah.

"Abang, kenapa awal pagi sangat ni kejut Izz? Abang nak pergi mana?" Baru aku perasan, Abang Ahmad sudah siap memakai jaket kulitnya.

"Pergi masjid, lepastu abang nak pergi tengok tapak baru untuk tanam nanas madu an Yankee. Jauh sikit dari ladang nanas yang sekarang ni dalam 45KM juga la. Pergi awal sebab petang nanti kena jumpa Uncle Muthusami tengok benih nanas." Terang Abang Ahmad.

"Ooo... Izz kena masak tak ni?" Soalku. Karang beriya masak, tak dimakan pula.

"Abang balik malam, tak makan dekat rumah rasanya."

"Okey, hati-hati abang. Taknak bawa kereta ke? Hujan karang." Jarak perjalanan 45KM bukan kerisauan, tapi cuaca sekarang yang tak menentu.

"Dahtu Izz nak pergi sekolah naik motor? Lesenpun tak ada, jangan harap abang nak bagi." Abang menggeleng kepala. Tahu benar perangai aku yang cakap dulu baru guna otak.

"Ancaman nyawa tahu tak bawa motor ni." Aku menarik muncung. Bukan tak cuba bawa, tapi dua kali aku mengelak kematian bila bawa motorsikal mnyebabkan aku insaf.

"Dah la, kejap lagi nak subuh. Abang gerak dulu. Balik sekolah kalau nak singgah mana-mana bagitahu dulu." Pesan Abang Ahmad.

Aku bersalaman dan mencium tangannya. Syurga buat kau, Abang Ahmad.

Bintang Paling TerangWhere stories live. Discover now