Bab 18

9.7K 917 22
                                    

Bab 18

Jam 10:00 malam.

"Dik, buatkan unggun api dekat dengan buaian abang. Kayu abang dah alihkan dekat situ." Abang Ahmad memanggil aku yang sedang bersiap sedia mengalas lantai dengan beg tidur.

Abang tidur di luar.

Tudung sarung aku sauk malas. Mengada, bukan dia tak boleh buat sendiri.

"Abang boleh buat sendiri, kan?" aku merungut sambil turun daripada pondok.

"Sia-sia la kau jadi Pengakap Kelana. Suruh buat unggun apipun kau nak bising." Abang mengungkit status Pengakap Kelana aku yang akan tamat pada tahun ini.

Aku berjalan malas ke arah longgokan kayu api, ranting dan daun kering. Aku dah mandilah! Nanti mesti bau asap. Ingat ni perkemahan Pengakap ke apa?

Aku duduk mencangkung di hadapan tapak unggun api yang telah aku bersihkan. Perlu dipastikan tiada bahan kering bergelimpangan yang boleh menyambar api karang tak fasal, terbakar dusun Umi. Ish, sensitif pula sebut terbakar ni.

Daun, ranting kecil dan rumput kering aku jadikan alas api kemudian ranting yang agak besar dan beberapa kayu api aku dirikan seperti khemah tepee berbentuk kon di atas alas api tadi. Susunan berongga supaya ada oksigen. Dua batang kayu api besar aku letakkan secara melintang di kiri dan kanan binaan kon kemudian secara menegak di atasnya. Aku ulang sehingga mencapai ketinggian lutut. Struktur 'log cabin fire' sudah siap. Dengan cara ini api akan digunakan dengan lebih efisyen. Tiga keping kapas muka aku selitkan di rongga besar ke alas api yang sengaja aku tinggalkan. Pemetik api kupetik dan api mula membakar kapas. Daun pisang kering aku halakan ke arah api kemudian aku tiup perlahan. Api mula hidup dan dalam beberapa minit, ia mula menjadi besar dan marak.

"Kau dah tak takut dengan api?" Suara itu hampir membuatkan aku melompat.

"Kau tak reti balik rumah ke? Malam buta dah ni." Aku berpaling.

Aku masih ada rasa tak selesa dengan api yang marak. Aku takut dan trauma dengan api sewaktu membesar dahulu. Hatta api gas masakpun aku tak boleh tengok. Abang Ahmad yang bantu aku perlahan-lahan untuk atasi ketakutan aku. Katanya, bukan api yang membunuh Umi dan Walid. Api cuma asbab Allah nak panggil kembali Umi dan Walid menghadap-Nya. Api yang marak menjulang tidak membunuh Nabi Ibrahim kerana Allah tak izin.

Amirul Mukminin sedang tercegat beberapa langkah di belakang aku dengan beg plastik di tangan.

"Abang yang suruh dia datang. Kau lapar, kan?" Abang Ahmad mengambil beg plastik daripada Amirul.

Bekas makanan plastik bersama sudu sudu plastik diserahkan kepada aku. Macam manalah nak selamatkan bumi? Penggunaan plastik sudah terlalu berleluasa.

Aku duduk dengan jarak radius 1 meter daripada api. Bekas makanan itu aku buka. Nasi goreng kampung. Entah kenapa, selera aku mati. Aku paling benci rasa ini. Dia datang tak diundang. Rasa pedih yang aku sendiri tak tahu muncul daripada mana. Rasa sedih dan sayu. Dia muncul mengejut.

Aku tutup kembali bekas itu.

"Tak apalah bang, adik nak tidur. Terima kasih susah-susah bawa makanan." Aku letak di tepi dan terus berdiri.

"Kau okay tak ni?" Abang Ahmad bertanya dengan nada bimbang.

"Adik okay." Aku malas hendak memanjangkan cerita.

Bahu aku dipegang oleh Abang Ahmad. Kedua pasang matanya mengimbas wajahku.

"Tak, adik tak okay. Abang besarkan kau bukan sehari dua. Ceritalah." Kata-kata Abang Ahmad membuatkan air mata aku bergenang.

Bintang Paling TerangWhere stories live. Discover now